November 22, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh : Muhammad Nur Hakimi bin Che Pa, Setiausaha Sayembara Bahasa Melayu 2021. (Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis)

Johor Bahru, 25 April — Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan warisan tulisan Jawi bukan hanya perjuangan satu pihak.

Menyedari hakikat bahawa ianya memerlukan inisiatif pelbagai pihak, Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Sayembara Bahasa Melayu 2021 peringkat Antarabangsa secara dalam talian bermula 27 Mac sehingga 25 April 2021 bagi mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu dan warisan budaya tulisan Jawi.

Penasihat program, Dr. Afikah Binti Rahim berkata, program tersebut merupakan anjuran bersama dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Yayasan Raja Zarith Sofiah (YRZS), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penyair Malaysia dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

“Merupakan pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini, Sayembara Bahasa Melayu 2021 mempertandingkan empat pertandingan iaitu pidato, mendeklamasi sajak, penulisan esei Jawi dan penulisan esei Rumi.

Setiap pertandingan ini terbuka kepada empat kategori iaitu pelajar sekolah menengah atas dan matrikulasi, mahasiswa Malaysia, mahasiswa Nusantara (Singapura, Brunei dan Indonesia) dan mahasiswa Antarabangsa.

Tema setiap kategori yang diberikan akan disampaikan dalam seni pengucapan awam atau gaya penyampaian bertulis yang menarik perhatian panel hakim dan penonton,” kata beliau.

Presiden kelab DEPIKIR merangkap pengarah program, Muhammad Adhar bin Zorobi pula berkata, untuk pertandingan kali ini, sebanyak 14 kategori dipertandingkan dan seramai 1169 penyertaan telah diterima dengan 136 hadiah menanti pemenang manakala 40 panel hakim pula terdiri daripada pelbagai organisasi dalam dan luar UTM untuk menilai dan menentukan pemenang bagi setiap 14 kategori.

Menurut beliau, usaha mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu dan warisan tulisan Jawi merupakan cabaran masa kini.

“Masyarakat khususnya golongan pelajar dan mahasiswa perlu sentiasa cakna dengan perkembangan bahasa. Golongan pendidik bukan hanya mempersiapkan mahasiswa dengan kemahiran insaniah yang lengkap, kecemerlangan akademik tetapi nilai budaya yang tinggi dalam diri pelajar dan mahasiswa.

Maka, atas hasrat mengangkat dan melestarikan bahasa Melayu dan warisan tulisan Jawi dalam diri mahasiswa melalui pengucapan awam dan penulisan esei yang mengemukakan idea dan berhujah bernas berkaitan bahasa dan isu semasa, Sayembara Bahasa Melayu 2021 berjaya menyediakan platform kepada pelajar dan mahasiswa untuk mempraktikkan warisan bangsa supaya warisan tulisan Jawi tidak lekang dek panas tidak lapuk dek hujan dan kekal malar segar,” kata beliau.

Mereka yang mahir menyampaikan ucapan dengan berkesan melalui pengucapan awam atau penulisan mempunyai kelebihan ke arah memiliki kriteria sebagai pemimpin pelapis yang layak menerajui kepemimpinan sesebuah negara atau organisasi suatu hari nanti.

Justeru, pertandingan sebegini adalah satu medan terbaik di universiti sebagai ruang persediaan kepada mahasiswa menggilap potensi berhujah secara berhemah.

Beliau menambah, norma baharu ini bukanlah penghalang yang akan menghentikan usaha memperjuangkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi sebaliknya ia merupakan batu loncatan dengan mengambil peluang keemasan untuk mengadakan pertandingan peringkat antarabangsa, dan usaha ini mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UTM.

Tambah beliau, selain usaha mengangkat bahasa Melayu dan warisan tulisan Jawi, kemunculan bakat kepemimpinan juga akan dapat kita saksikan melalui pertandingan ini.

“Paling membanggakan kerana pertandingan ini adalah pertandingan pada peringkat antarabangsa dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Bahasa Melayu sudah tersebar luas ke seluruh pelosok dunia dengan tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu Wilayah Eropah. Penglibatan peserta dari Universiti Al-Azhar, Mesir; Jordan World Islamic Science and Education, Jordan; Guangdong Foreign Studies University (GFSU), China; Sichuan International Studies University, China; Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi, China; Nanyang Technology Singapore, Singapura; Universitas Maritim Raja Ali Haji, Indonesia; Universitas Seni Indonesia Yogyakarta, Indonesia; Universitas Jambi, Indonesia; Universitas Negeri Semarang dan Universitas Indonesia, Indonesia.

Semoga usaha memperkasakan bahasa Melayu merentas sempadan tidak kunjung padam dan semangatnya sentiasa mekar,” akhiri beliau.

Explore More