April 25, 2024

Search
Close this search box.

Sempena Ramadan semua pihak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlumba untuk merebut berkat dan kebaikan bulan mulia tersebut.

Terbaharu selaras dengan inisiatif UTM Prihatin, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan Pejabat Pentadbiran Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) UTM kampus Kuala Lumpur telah menganjurkan program Rezeki Rasa.

Program perkongsian rezeki sempena Ramadan dan Syawal untuk komuniti B40 sekitar Kuala Lumpur yang dianjurkan ini bertujuan untuk dijadikan platform bagi warga UTM Kuala Lumpur menghulurkan sumbangan berupa makanan kering kepada golongan komuniti sasaran, sekitar kawasan luar Universiti.

Program ini juga bertujuan menyantuni golongan masyarakat berdekatan Universiti di samping dapat mengeratkan silaturrahim antara UTM dengan komuniti setempat. Sebanyak empat kumpulan komuniti yang telah dikenalpasti untuk menerima sumbangan, iaitu Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin, dan warga Surau Jumaat Al-Husna, PPR Seri Semarak yang mana kesemua lokasi mereka terletak dalam radius 5 kilometer dari UTM.

Program telah dimulakan dengan hebahan poster kepada staf UTM KL pada 28 Mei 2021 untuk meminta sumbangan dan seterusnya pada 5 Mei 2021, aktiviti pengumpulan dan pengasingan bahan makanan kering dilakukan di Pejabat Pentadbiran TNCPI di Blok J3.

Keseluruhan sumbangan yang berjaya dikumpulkan dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 200 kilogram bahan makanan kering dengan nilai anggaran berjumlah RM 2,500.

Sesi penyerahan sumbangan kepada komuniti penerima manfaat telah dilaksanakan pada 6 Mei 2021 secara ringkas di lokasi komuniti masing-masing.

Turut sama hadir sewaktu sesi penyerahan sumbangan ialah En Nadzrin Ahmad, selaku wakil dari Pejabat Ahli Parlimen Setiawangsa yang mana beliau kebetulan berada di Surat Jumaat Al-Husna, PPR Seri Semarak, sewaktu sesi penyerahan tersebut.

Semoga dengan sumbangan kecil yang dilakukan oleh warga UTM Kuala Lumpur ini membawa 1001 manfaat buat Universiti serta masyarakat setempat.

Sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2
Sumbangan kepada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia,
Sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin
Sumbangan kepada Surau Jumaat Al-Husna, PPR Seri Semarak
Bersama wakil dari Pejabat MP Setiawangsa

Explore More