Disember 22, 2024

Institusi Pembangunan Felow (IPF) Antara Tonggak Utama Barisan Hadapan UTM Hadapi Cabaran PKPD

Ahli IPF UTM terlibat secara langsung sebagai pemudah cara untuk sesi ujian saringan swab test warga UTM kampus Johor Bahru.

Tarikh 21 Mei sehingga 3 Jun 2021 semestinya akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah warga Universiti Teknologi Malaysia ( UTM) susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang dikenakan kepada kampus UTM Johor Bahru menerusi pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, selaku Menteri Kanan (Keselamatan) dan Menteri Pertahanan.

Keputusan pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kadar kes positif yang tinggi iaitu sebanyak 49 kes positif daripada 346 ujian saringan terutama yang melibatkan tiga buah kolej iaitu Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI).

Sebelum pengumuman PKPD dibuat, tugas getir sebenarnya telah menanti barisan hadapan UTM kerana kes-kes positif Covid-19 yang telah dikesan di ketiga-tiga buah kolej tersebut telah menyebabkan semua penghuni dikenakan perintah kuarantin (sekatan keluar masuk) bermula dari 9 Mei hingga 19 Mei 2021.

Ahli IPF UTM terus berkhidmat menyantuni warga UTM walaupun semasa sambutan Aidilfitri.

Situasi yang tidak dijangka ini sememangnya memerlukan tindakan pantas daripada pengurusan UTM untuk menenangkan keadaan memandangkan masih terdapat lebih kurang 3227 warga UTM yang masih berada di kampus.

Institusi Pembangunan Felow UTM (IPF UTM) dilihat antara barisan hadapan UTM yang bertindak pantas memandangkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada Pengetua, Felow dan Pembantu Felow kolej-kolej kediaman merupakan individu yang paling hampir dengan mahasiswa-mahasiswi UTM, sama ada yang berstatus bujang atau berkeluarga.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan IPF UTM diibaratkan seperti pasukan komando disebabkan setiap ahlinya mempunyai kepakaran khusus dalam mengendalikan situasi seperti ini memandangkan masing-masing datang daripada latar belakang pusat tanggungjawab yang berbeza seperti Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Pusat Kesihatan UTM, Pusat Kaunseling UTM, Jabatan Harta Bina UTM, UTM Digital di samping barisan staf akademik dari sekolah-sekolah dan fakulti-fakulti seluruh UTM.

Kebajikan dan kesejahteraan warga kampus terus menjadi agenda utama IPF UTM terutama semasa pelaksanaan kuarantin dan PKPD.

Dengan capaian rangkaian yang meluas, IPF UTM dilihat sebagai sumber premier dalam mengenalpasti data terkini pelajar yang masih berada di kampus, yang mana data ini penting bukan sahaja dalam pengurusan soal makan minum warga kampus, malah data ini signifikan dalam membantu KKM mengenalpasti kontak rapat warga kampus yang positif Covid-19, sekaligus tindakan pantas boleh diambil demi memutuskan rantaian Covid-19 di dalam kampus.

Selain itu, hal ehwal kebajikan warga kampus diberi fokus utama oleh ahli IPF UTM di semua kolej kediaman terutama dalam aspek kesihatan fizikal, kesihatan mental, makanan, minuman dan barang keperluan harian dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) kolej-kolej kediaman dan Majlis Perwakilan Pelajar UTM (MPP UTM).

Malah, hal yang tidak termasuk dalam skop tugas IPF UTM seperti pengurusan parcel-parcel warga kampus dari One Stop Parcel Centre (OPC) dan EziBox turut diuruskan dengan sebaiknya oleh ahli IPF UTM demi memastikan barang-barang kiriman keluarga terutama pelajar yang tidak dapat balik beraya sampai di tangan dengan selamat.

Pengurusan dan agihan barang keperluan asas warga kampus turut dikendalikan oleh ahli IPF UTM di semua kolej kediaman.

Menurut Dr. Norahim bin Ibrahim, Pengetua KTHO yang juga merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM, pelaksanaan kuarantin dan PKPD pada kali ini dilihat lebih mencabar berbanding semasa pelaksanaan PKP 1.0 pada Mac 2020 yang lalu. Hal ini kerana virus Covid-19 sudah mula menular dalam kalangan warga UTM terutama dalam kalangan mahasiswa, dan KTHO merupakan antara kolej yang paling terkesan. Namun begitu, kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh warga IPF UTM terutama dari lain-lain kolej kediaman membantu meringankan tugas dan beban yang ditanggung.

Sesungguhnya, pengorbanan IPF UTM sebagai antara pasukan barisan hadapan UTM ketika pandemik bukanlah suatu jasa untuk dibalas, jauh sekali diberi penghargaan.

Namun, cukup sekadar untuk berkongsi dengan warga UTM bahawa IPF UTM akan terus berkhidmat, mencurahkan kepakaran, tenaga, bekorban masa bersama keluarga hatta wang ringgit demi memastikan kesejahteraan warga kampus UTM sama ada daripada aspek fizikal dan mental terus terjaga.

Tuntasnya, pandemik Covid-19 yang masih mencengkam tanah air di samping pelaksanaan PKPD yang dkuatkuasakan di dalam kampus UTM Johor Bahru membuktikan bahawa IPF UTM terus kekal relevan sebagai institusi barisan hadapan universiti dalam menyantuni kebajikan warga kampus.

Semoga semua ahli IPF UTM terus ikhlas berkhidmat dan hanya mengharap ganjaran dan keredaan dari Allah S.W.T sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

‘Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan satu kesusahannya pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.’

#cekalbersamatakwa

Explore More