UTM Rintis Teknologi Dron Untuk Keselamatan Kampus

JOHOR BAHRU, 26 Apr. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membangunkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) yang dikenali sebagai ‘JAGADrone’ untuk sistem rondaan dan pengawasan kampus bagi tujuan keselamatan.

JAGADrone merupakan sebuah inisiatif UTM sebagai universiti premier dalam bidang teknologi untuk menerapkan penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam sistem keselamatan dan pengawasan kampus.

‘Hexacopter’ yang mampu terbang sehingga 15 meter per saat

Sistem JAGADrone terdiri daripada komunikasi jarak jauh, kawalan berasaskan web, pangkalan data awan dan boleh disatukan dengan platform sistem rondaan pengawal berasaskan Internet Kebendaan (IoT) sedia ada, GuardExpert Pro, yang telah dilaksanakan di kampus UTM untuk pengurusan operasi jejakan terestrial rondaan keselamatan secara masa sebenar yang cekap.

Sistem ini akan dapat merealisasikan visi keselamatan kampus masa hadapan dengan menawarkan penyelesaian keselamatan kampus yang komprehensif seperti dalam Rajah 1.

Kemampuan tambahan dalam bentuk pengawasan dan rondaan udara menggunakan dron ini sangat berguna terutamanya untuk kampus besar seperti UTM yang mempunyai banyak lokasi yang sukar dijangkau dan berisiko tinggi.

Station’ atau Tapak Pelancaran JAGADrone di mana JAGADrone akan ‘standby’

JAGADrone akan menjadi responden pertama terhadap kecemasan kampus seperti bertindak kepada amaran panik yang dicetuskan dari aplikasi mobil oleh alat mudah alih yang dibawa oleh pengawal bertugas atau mengesan pencerobohan sempadan kampus.

Ia juga dilengkapi dengan ciri seperti geofencing yang dapat dikendali dan dikonfigurasi dari sistem pelayar web di stesen pangkalan bumi dan tersedia dalam mod kawalan manual dan automatik.

Ciri-ciri lain termasuk eye-in-the-sky dengan aliran video dan gambar masa sebenar, pulang secara automatik ke pad pengecas, pengangkut kit pertolongan cemas, mesra alam dengan sistem pendorong yang bebas karbon dan rendah hingar.

JAGADrone dibangunkan menerusi Program ICONIC di bawah Profesor Fakulti Kejuruteraan UTM, Prof. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim dan diketuai oleh Ketua Projek, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UTM, Dr. Mohd Nazri Bin Mohd Nasir.

Program ICONIC merupakan geran UTM RA ICONIC diberikan oleh UTM untuk melaksanakan projek R&D yang dapat menyumbang kepada penemuan idea baharu dan kemajuan pengetahuan dalam sains gunaan, dengan fokus pada penyelidikan berimpak tinggi dan inovatif.

Projek UTM CAPSS Drone: UTM Campus Autonomous Patrol and Surveillance System merupakan salah satu projek di bawah pemantauan Innovative Engineering Research Alliance (IERA) dan untuk menjayakan program ini, tiga lagi bidang projek turut diberi perhatian iaitu penggubalan kertas polisi pengawasan dron untuk pertimbangan pihak bertanggungjawab, pembangunan sistem komunikasi dron yang mantap dan pembangunan sistem pemantauan aktiviti keselamatan kampus bersepadu.

Ketua Projek, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UTM, Dr. Mohd Nazri Bin Mohd Nasir di Tapak Pelancaran JAGADrone

Beberapa inisiatif telah dijalankan untuk berkolaborasi dengan agensi-agensi dan kementerian yang berkaitan, di antaranya, seperti Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC) dan SIRIM dalam pelaksanaan program ini.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai objektif program iaitu kepatuhan terhadap peraturan operasi dron di samping mengetengahkan UTM sebagai pelopor kertas dasar penggunaan dron untuk operasi unit keselamatan kampus yang diharapkan akan memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti kampus dalam jangka masa panjang.

Secara tidak langsung, program pembangunan JAGADrone untuk sistem rondaan dan pengawasan kampus UTM juga mendukung pelaksanaan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang dilancarkan dalam pertengahan tahun 2020 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menguji cuba teknologi baru seperti penggunaan robot dan dron, kecerdasan buatan (AI) dan IoT dalam penawaran perkhidmatan dan pengkomersialan produk tempatan.

Rangka Tindakan Keselamatan Kampus UTM

Memandangkan keterlibatan pelbagai pihak seperti JUPEM dan CAAM dalam kelulusan dan pengeluaran permit untuk penggunaan dron, program ini juga mengenalpasti keperluan mewujudkan satu sistem berpusat maya atau dalam talian (One-Stop-Center) yang menempatkan agensi-agensi dan majlis tempatan berkaitan di mana setiap maklumat dan urusan berkaitan permohonan permit dapat dilaksanakan dengan telus, pantas dan efektif dalam persekitaran selamat dan terkawal.

Ini secara langsung juga menyokong inisiatif kerajaan dalam memangkin usaha ke arah pendigitalan penawaran perkhidmatan dan peningkatan pengkomersialan produk tempatan berasaskan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R & D) yang baharu.

Pelancaran JAGADrone telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 26 April 2021 bertempat di Dewan Senat, UTM Kampus Johor Bahru.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah, berbaju biru) semasa sesi penerangan JAGADrone pada Majlis Pelancaran JAGADrone di Dewan Senat, UTM Kampus Johor Bahru.
Terdapat sesuatu yang menarik perhatian Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah, berbaju biru) semasa sesi penerangan JAGADrone pada Majlis Pelancaran JAGADrone di Dewan Senat, UTM Kampus Johor Bahru.