April 20, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh : Panji Alam Bin Mazhisham

Buat julung kalinya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Islam dengan kerjasama Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institut Pengajian Tinggi Malaysia (JAHEIS) telah menganjurkan Tilawah Al – Quran Universiti-Universiti Peringkat Antarabangsa 2021 bermula 10 Mac 2021 hingga 21 April 2021 secara dalam talian.

Sebanyak 63 penyertaan diterima daripada universiti awam dan swasta dalam juga luar negara.

Antara penyertaan luar negara adalah daripada Universiti Al-Azhar, Universiti Negeri Yogyakarta, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Sekolah Tinggi Al-Quran (STIQ) Provinsi Kepulauan Riau dan United Arab Emirates University.

Seiring dengan penganjuran bertaraf antarabangsa, sesi penilaian hakim telah diadakan pada 9 April 2021 (Jumaat) di Dewan Al- Ghazali, Masjid Sultan Ismail, UTM Johor Bahru.

Sesi ini melibatkan mantan Qari dan Qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Program ini juga ditunjangi oleh Persatuan Mahasiswa Islam UTM dengan kerjasama Pusat Islam UTM dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata penganjuran ini ialah usaha yang berterusan ke arah memartabatkan syiar dan syariat Islam sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bagi Malaysia.

Tambah beliau, majlis ini memainkan peranan yang penting kerana di samping memperdengarkan ayat- ayat suci al-Quran serta tafsirannya, juga berjaya mengumpulkan umat Islam di serata negara-negara dalam suasana keagamaan dan persaudaraan yang dapat merapatkan lagi barisan ummah.

“Salah satu strategi kepentingan mengadakan pertandingan ini adalah dapat memberi pemahaman dan penghayatan terhadap si pembaca Al Quran mahupun si pendengar.

Alunan yang indah ayat suci Al Quran memberi seribu segala kebaikan kehpada si pembaca dan ini dapat meningkatkan lagi qari dan qariah secara terperinci dan dinamik serta banyak lagi peluang dan kebaikan yang boleh didapati dari penghayatan Al Quran selain menghidupkan semula peranan rohani dalam membangun komuniti Islam di setiap lapangan hidup disamping mengingatkan kita tentang nikmat kehidupan dan azabnya kematian,” kata beliau.

Bagi penganjuran kali ini, Zakquan Izuddin bin Zahari dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan dilantik sebagai Pengarah Program dengan kekuatan krew seramai 25 pelajar.

Hebahan program dilakukan melalui media sosial dan jemputan rasmi.

Pertandingan akhir akan disiarkan secara langsung di Facebook Musabaqah Tilawah Al-Quran 2021 pada 21 April 2021 (Rabu).

Kepada yang berminat boleh menyaksikan program ini melalui pautan (3) Musabaqah Tilawah Al-Quran 2021 | Facebook

Explore More