Biro Kerohanian dan Sosial, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) dan sokongan penuh daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM (HEP UTM) telah menyusun beberapa aktiviti bagi mengimarahkan lagi kedatangan bulan Ramadan 1442 H/2021 M.
Antara pengisian aktiviti yang dilaksanakan adalah solat tarawih berjemaah yang diadakan di Dewan Seri Merbau (DSM) KTHO pada setiap malam sepanjang bulan Ramadan.
Persiapan lokasi solat tarawih juga telah mengambil kira operasi prosedur standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UTM sendiri dengan tumpuan persiapan terarah kepada penandaan saf solat mengikut penjarakan fizikal 1 meter, di samping prosedur standard mengambil suhu dan mengimbas kod QR My Sejahtera sebelum masuk ke dalam DSM.
Purata 100 jemaah terutama dalam kalangan warga KTHO akan hadir pada setiap hari bagi mengimarahkan sesi solat tarawih. Barisan imam dan bilal yang dilantik terdiri daripada Felow dan Pembantu Felow, serta mahasiswa prasiswazah yang menetap di KTHO. Selingan tazkiran, taklimat dan peringatan penting juga turut disampaikan oleh Pengetua KTHO, Dr. Norahim Ibrahim dan jawatankuasa pengimarahan Ihya’ Ramadan KTHO selepas selesai solat witir. Jamuan moreh ringkas turut disediakan bagi mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan warga KTHO.
Selain solat tarawih berjemaah, Biro Kerohanian dan Sosial JKM KTHO turut mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Forum Bicara Empat Penjuru pada 17 April 2021, yang dianjurkan secara maya bagi memberi peluang kepada warga UTM yang masih belum berada di kampus untuk turut sama merasai kemeriahan Ramadan pada kali ini. Forum yang membincangkan tajuk ‘Nilai Murni dalam Menjaga Keharmonian Masyarakat Berbilang Agama di Malaysia’ ini dibarisi oleh panelis seperti Dr. Jaysuman Pusppanathan (Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan), Dr. Lai Jau Choy (Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan), Tpr. Dr. Gobi Krishna A/L Sinniah (Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur) serta Prof. Dr. Lee Chew Tin (Profesor dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan).
Forum berlangsung dalam suasana yang harmoni dan mencapai kata sepakat bahawa setiap penganut agama-agama utama di Malaysia perlu memainkan peranan yang penting terutama dalam menunjukkan akhlak dan tingkah laku yang baik dan terpuji sekaligus memastikan keharmonian di negara ini berterusan.
Forum ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 mahasiswa dan mahasiswi UTM tanpa mengira agama.
Usaha-usaha yang dirancang oleh Biro Kerohanian dan Sosial JKM KTHO diharap mampu mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan kali ini dan seharusnya dimanfaatkan oleh mahasiswa dan mahasiswi UTM terutama warga KTHO untuk melipat gandakan ibadah dan amalan masing-masing di sepanjang bulan yang barakah ini, sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W:
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi S.A.W bersabda : Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)