November 24, 2024

Search
Close this search box.

Program ‘1 Warga KTHO, 1 Pokok’ Sokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Kampus UTM

JOHOR BAHRU, 3 April – Agenda global Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat sebagai satu penanda aras bagi memastikan kelestarian bukan hanya dilihat dari sudut alam sekitar semata-mata, malah ia turut mencakupi kesejahteraan masyarakat sekeliling dan juga pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, demi kemampanan hidup generasi akan datang.

Menyedari hakikat ini, Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) di bawah inisiatif ‘KTHO Waste to Wealth Hub’ telah menjalankan program ‘1 Warga KTHO, 1 Pokok’ bagi menyokong agenda SDG peringkat kampus UTM.

Program yang bermula pada jam 8.30 pagi ini diketuai oleh Dr. Norahim Ibrahim, selaku Pengetua KTHO diperkasakan dengan penyertaan warga KTHO yang terdiri daripada Majlis Felow Merbauan (MAFAN), En. Mohd Rasdan Jamian @ Raduan selaku Penolong Pegawai Tadbir KTHO, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), pelajar-pelajar Jabatan Biosains, Fakulti Sains dan juga pelajar prasiswazah dari KTHO sendiri, mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka sepanjang aktiviti berlangsung.

Aktiviti bermula dengan proses pembuatan baja daripada sisa makanan domestik menggunakan teknik bokashi.

Program pada kali ini mengumpulkan sisa makanan seperti lebihan perut dan kepala ikan, hampas kelapa, kulit telur, kopi, kulit bawang, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan kapasiti lebih 100kg, yang mana sisa-sisa makanan ini diperolehi dari kawasan persekitaran UTM.

Secara tidak langsung, ia menjadi satu pendekatan di dalam mendidik masyarakat supaya mengamalkan budaya kitar semula sisa-sisa makanan di setiap kediaman.

Sesi penerangan pembuatan baja daripada sisa-sisa makanan dengan menggunakan teknik rawatan bokashi yang disampaikan oleh Dr. Norahim Ibrahim.

Seterusnya, aktiviti kali ini diteruskan lagi dengan sesi setiap peserta menanam anak pokok jagung yang telah berjaya dicambahkan oleh peserta-peserta pada minggu sebelumnya, menerusi perkongsian ilmu bersama Dr. Alina Wagiran, Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains.

Penyediaan tapak tanaman.

Anak-anak pokok jagung yang telah berjaya dicambahkan, sedia untuk dipindahkan dari tray semaian (germination tray).

Setiap peserta menanam anak pokok jagung ke kawasan yang telah disuburkan dengan sisa makanan.

Pengisian program diteruskan lagi dengan sesi perkongsian ilmu mengenai teknik pertanian moden lain iaitu hidroponik dan akuaponik, yang telah disampaikan oleh Dr. Norahim Ibrahim dan En. Mohd Rasdan Jamian @ Raduan.

Ringkasnya, hidroponik ialah kaedah penanaman di dalam larutan nutrien tanpa menggunakan tanah, yang mana tanaman diletakkan di atas takungan larutan nutrien. Kaedah ini tidak memerlukan siraman kerana akar pokok mendapat bekalan nutrien mencukupi secara berterusan.

Sementara itu, kaedah akuaponik pula merupakan gabungan teknik akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan hidroponik. Secara konsepnya, sistem akuaponik ini berfungsi di dalam persekitaran simbiotik.

Sisa buangan daripada ternakan akuatik (ikan air tawar) akan menyediakan sumber makanan organik untuk tanaman dengan bantuan bakteria yang menukarkan ammonia kepada nitrat. Seterusnya, tanaman pula menyerap nitrat melalui akar-akarnya yang secara semulajadi menapis air untuk hidupan akuatik di dalamnya.

Sesi perkongsian daripada Dr. Norahim Ibrahim dan En. Mohd Rasdan Jamian @ Raduan mengenai teknik tanaman hidroponik dan akuaponik.

Pengisian aktiviti berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Rata-rata peserta melahirkan rasa keterujaan mereka kerana dapat bersama-sama menjayakan program ‘1 Warga KTHO, 1 Pokok’ di samping memperoleh pengetahuan baru mengenai teknik pertanian bandar.

Adalah diharapkan bahawa program ini mampu merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) demi kesinambungan legasi anak cucu kita di masa hadapan.

Explore More