April 20, 2024

Search
Close this search box.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang dipenuhi dengan keberkatan, kerahmatan dan kemuliaan menjadikan bulan ini adalah antara bulan yang amat dinanti-nantikan para umat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T.

Oleh itu, Jawatankuasa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI) telah mengadakan program Marhaban ya Ramadhan (MYR’21)  bagi meraikan kehadiran bulan suci ini. Program ini diadakan pada 13 April 2021 bersamaan 1 Ramadhan 1442 bertempat di Dewan Seri Resak Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Semakan suhu dan imbasan kod QR MySejahtera dilakukan sebelum memasuki Dewan Sri Resak KTDI

Para pelajar dinasihati agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dengan memakai penutup muka dan mengamalkan penjarakan sosial sepanjang 1 meter bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dan memastikan program ini dapat berlangsung dengan jayanya.

Program yang berlangsung secara fizikal ini adalah bertujuan berkongsi pengetahuan mengenai bulan suci ini terutamanya menumpukan kepada sunnah yang dapat dilakukan di samping menunjukkan keberkatan bulan ini kepada para pelajar agar dapat mendorong mereka untuk merebut peluang keemasan ini dalam melakukan kebaikan.

Penceramah jemputan, Dr. Nur Najwa Hanani Binti Abd Rahman

Pada tahun ini, JKM KTDI telah menjemput dan mengalu-alukan kehadiran Dr. Nur Najwa Hanani Binti Abd Rahman, Pensyarah Akademi Tamadun Islam sebagai penceramah jemputan bagi menyampaikan perkongsian bertajuk Ramadhan mengikut Sunnah. Perkongsian daripada penceramah jemputan amatlah menggalakkan para pelajar untuk mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W. dan memahami kebaikan disebalik sunnah-sunnah yang dikongsikan.

Pengetua KTDI, Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Bin Hj. Ali Khan semasa memberi ucapan

Program ini diteruskan lagi dengan ucapan oleh Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Bin Hj. Ali Khan dan upacara penutupan program berlangsung dengan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan dari pihak KTDI kepada penceramah jemputan.

Sesi penyampaian cenderamata ke penceramah jemputan

Program seperti ini amatlah digalakkan untuk disertai oleh para pelajar kerana tidak banyak aktiviti dan program yang boleh dilaksanakan secara fizikal terutamanya sewaktu pendemik sedang melanda negara ini. Dengan perlaksanaan SOP yang ketat dengan kerjasama yang baik diberi oleh para pelajar, program seperti ini akan dapat berjalan dengan lancar membolehkan para pelajar untuk memperolehi ilmu dan tidak dilupakan dapat beribadat terawih secara berjemaah di samping merapatkan silaturahim sesama muslim dan muslimat pada bulan suci ini.

Sesi berbuka puasa dan solat terawih selepas slot ceramah

Explore More