Pada 13 April lalu, Biro Kerohanian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9&10 telah bekerjasama dengan Pusat Islam UTM menjalankan sebuah program dipanggil Program Quran Time 2021 (Siri 5).Program ini dijalankan selama 1 jam dan merupakan sebuah forum yang mengupaskan topik-topik yang bermanfaat seperti Tilawah Al-quran, Terjemahan, Tajwid dan makhraj huruf serta Tafsir ayat Al-quran. Program ini disertai oleh 96 orang melalui platform Webex dan Facebook Live Kolej 9&10. Program ini telah berjaya mencapai matlamat utama program iaitu untuk memberi pendedahan secara khusus tentang Al-quran dari segi Tilawah, Terjemahan, Tajwid dan Tafsir.Perkongsian ilmu dari panel jemputan Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim merupakan suatu perkongsian yang mengkaji secara lebih mendalam mengenai surah Al-Fatihah dari segi Tilawah, Terjemahan, Tajwid serta Tafsir.
Menurut Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim, Surah Al-Fatihah ini merupakan surah yang sering dibaca dalam solat sekurang-kurangnya 17 kali. Ianya merupakan surah yang amat penting untuk diteliti dari segi bacaannya, kerana kesalahan yang besar akan mengakibatkan terbatalnya solat yang dilaksanakan.
Surah ini juga merupakan surah yang didahulukan dalam Al-quran walaupun hanya 7 ayat yang terkandung di dalamnya. Al-Fatihah ini merupakan makanan rohani kepada diri, serta zikir yang selalunya dibaca sebagai pembuka kepada sesebuah majlis. Segala persoalan yang terkandung di dalam surah Al-Fatihah ini dijawab oleh surah-surah yang seterusnya.Program ini diteruskan dengan sesi bacaan tilawah serta terjemahan bagi setiap ayat dari surah Al- Fatihah. Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim menyebut setiap ayat dengan jelas bagi membantu para peserta untuk memperbaiki bacaan surah Al- Fatihah masing-masing.
Menurut Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim juga, terdapat beberapa perkara utama yang perlu difahami dan didalami dalam surah Al-fatihah. Bahagian yang pertama adalah berkenaan dengan akidah, iaitu dengan menyakini bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Esa. Setiap orang yang beriman perlu berpegang dan meyakini bahawa Allah adalah Tuhan yang Maha Esa yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
Bahagian yang kedua pula menceritakan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah seperti kejadian alam dan perubahan siang kepada malam. Sifat orang beriman adalah iman mereka akan bertambah apabila melihat segala kejadian yang diciptakan Allah, yang mana disebutkan oleh Hamka iaitu “Bumi itu adalah Gurumu”. Bahagian yang ketiga pula adalah berkenaan dengan Hari Kebangkitan yang mengajak orang beriman untuk sentiasa bersegera dalam bertaubat kerana dengan amalan ini, Allah akan memberikan ganjaran syurga seluas langit dan bumi. Seterusnya pula adalah berkenaan dengan perhambaan, iaitu dengan mengakui diri sebagai hamba, dan seterusnya menjaga pantang larang serta tidak menolak takdir yang ditetapkan Allah.
Bahagian kelima pula adalah berkenaan dengan doa yang sering dibaca dalam surah Al-Fatihah iaitu pada ayat yang keenam yang meminta kepada Allah agar diberi kekuatan serta kemudahan dalam melaksankan kewajipan sepanjang siang dan malam. Bahagian yang keenam adalah berkaitan dengan golongan yang Allah kurniakan nikmat, yang banyak disebutkan kisah-kisah mengenai golongan ini dalam Al-quran bagi setiap diri insan untuk mengambil pengajaran. Bahagian yang terakhir pula adalah berkenaan dengan gologan yang dimurkai Allah seperti golongan Yahudi dan Nasrani.
Konklusinya, antara hikmah dari program ini adalah untuk memupuk rasa cinta terhadap Al-quran serta melahirkan generasi yang cellik Al-quran dan mentadabbur serta memahami isi kandungan Al-quran.