April 26, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Persaraan YB Prof. Dr. Kassim Thukiman, Prof Madya Dr. Rozeyta Omar dan Prof Madya Dr. Norhani Bakri

Oleh: Azra Ayue Abdul Rahman

Bertempat di Kayangan Suites, Pulai Spring Resort, telah diadakan Majlis Persaraan untuk tiga orang pensyarah kanan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Mereka yang diraikan adalah YB Professor Dr. Kassim Thukiman, Professor Madya Dr. Rozeyta Omar dan Professor Madya Dr. Norhani Bakri.

Majlis dirasmikan oleh Professor Dr. Zaidatun Tasir selaku Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dengan diiringi oleh Professor Madya Dr. Siti Aisyah Panatik yang merupakan Pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Kemanusiaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Professor Dr. Durrishah Idrus dan beberapa pesara pensyarah sekolah ini. Sesungguh kehadiran semua mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim sesama staf di sekolah ini.

Sesungguhnya terlalu banyak jasa ketiga-tiga pensyarah kanan yang telah berkhidmat melebihi puluhan tahun di UTM ini. Professor Dr. Kassim Thukiman banyak terlibat dalam penyelidikan dan penulisan mengenai sejarah, khususnya sejarah Malaysia dan sejarah Johor.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Penilaian Subjek Umum Universiti oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan juga sebagai sebagai Jawatankuasa Penilai Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Tinggi. Selain itu, beliau juga merupakan Ahli Majlis Permuafakatan & Perpaduan Negeri Johor.

Dalam ucapan pesaraannya di majlis ini, beliau menyeru agar ahli akademik sentiasa memikirkan usaha untuk menjadikan anak bangsa sebagai orang yang bijak pandai.

Professor Madya Dr. Norhani Bakri pula di sepanjang tempoh perkhidmatannya pernah menjadi Ketua Jabatan Pengajian Siswazah Fakulti, Ketua Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Pengurus Besar bagi Unit Pembangunan Bisnes, UTMSPACE. Kecemerlangan beliau sebagai ahli akademik di UTM telah mendapat pengiktirafan, antaranya beliau pernah dianugerahkan dengan Lifetime Achievement Award oleh Venus International Women Awards di Chennai, India pada 2019.

Beliau juga pernah diundang menjadi pengucap utama, ahli panel, moderator dalam seminar-seminar tempatan dan antarabangsa serta pernah muncul dalam program bual bicara di Astro Awani untuk mengupas isu-isu sosial masyarakat. Beliau dalam ucapan persaraan di majlis ini menyeru agar para pensyarah mengalas tanggungjawab yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas.

Professor Madya Dr. Rozeyta Omar merupakan pensyarah yang terkenal dengan sifat keibuannya dalam kalangan ribuan pelajar yang pernah dididik. Dalam kelembutan itu tersemat pesanan kukuh beliau agar semua pelajar dan juga staf akademik supaya sentiasa beretika dalam menjalankan amanah yang diberikan.

Beliau juga mengingatkan kita sebagai pemimpin agar tidak melupakan ‘sentuhan insaniah’ kerana ia sememangnya meninggalkan kesan di antara orang yang dipimpin dan yang memimpin. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan dan juga Ketua Kumpuan Penyelidikan ‘Integrity and Good Governance’ (IGG). Selain itu beliau pernah terlibat dalam geran penyelidikan-penyelidikan daripada pelbagai agensi dan kementerian.

Antaranya seperti Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Yayasan Pembangunan Keluarga, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Institut Integriti Negara.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada YB Professor Dr. Kassim Thukiman, Professor Madya Dr. Rozeyta Omar dan Professor Madya Dr. Norhani Bakri di atas segala jasa bakti yang dicurahkan sepanjang tempoh berkhidmat di UTM selama ini.

Sesungguhnya banyak contoh tauladan dan ibrah yang boleh diambil dari ketiga-tiga mereka untuk diteruskan sebagai legasi kecemerlangan oleh para pensyarah di sekolah ini.

Perahu bermudik di sungai tenang,
Sungai bertiti tempat menuba,
Budi yang baik sentiasa dikenang,
Jasa dan bakti tidak dilupa.

Explore More