April 27, 2024

Search
Close this search box.

Pada 14 Mac 2021 sebuah program dipanggil Research Week@FS 2021 telah dianjurkan oleh Fakulti Sains (FS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan telah berlangsung secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Webex dan juga secara siaran langsung di Facebook.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Dekan, YBrs Prof. ChM. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff dan merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Fakulti Sains, UTM.

Bertujuan untuk membudayakan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti penyelidikan dalam kalangan kakitangan akademik Fakulti Sains UTM, program ini juga telah dirancang dengan bantuan dan kerjasama dari semua Kumpulan Penyelidikan di Fakulti Sains, UTM dan sekaligus menonjolkan peranan penting Kumpulan Penyelidikan dalam usahasama memenuhi aspirasi penyelidikan Fakulti Sains, UTM.

Dalam ucaptama pembukaan beliau, Prof Rahim telah berkongsi tentang Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MySTIE) serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.  

Dalam ucapan beliau juga, saranan turut diberikan kepada semua penyelidik FS UTM agar pergerakan aktiviti-aktiviti penyelidikan haruslah selari dengan dua inisiatif nasional yang telah ditetapkan oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) untuk pembangunan negara.

Bagi  memperkasakan budaya penyelidikan di Fakulti Sains UTM, pelbagai aktiviti seperti bengkel dan ceramah telah berjaya dirancang dan berlangsung sepanjang Research Week@FS 2021 yang bermula dari 14 Mac 2021 hingga 21 Mac 2021.

Antara kandungan yang telah berjaya dirancang dan dijalankan sepanjang Program Research Week@FS 2021 adalah seperti berikut:

  1. How to Collaborate our Research Effectively Through MoU/MoA
  2. Copyright: Teaching Module as an Intellectual Asset
  3. Impactful Community Project
  4. People@UTM Website Update Clinic
  5. Sharing Session: How to Write a Review Paper
  6. Edited Book Workshop
  7. Researcher Global Visibility: Online Profiling Guides
  8. FRGS Proposal from Reviewer’s Point of View – What Can Be Improved?
  9. How to Apply ICC Grant? (Technical and Winning Strategy)
  10. Tips on How to Get into Industry, Transdisciplinary and AIM4STAR Consortium
  11. International Grant Opportunities: What and How?
  12. Intellectual Properties – Hands-on Filing Workshop
  13. Forum: From Research to Business

Aktiviti-aktiviti yang dinyatakan diatas dirangka khas buat kakitangan akademik Fakulti Sains UTM.

Manakala, satu pertandingan video pembentangan poster penyelidikan secara dalam talian telah dikendalikan oleh Persatuan Pelajar Pascasiswazah Fakulti Sains (PGSSFS) bagi kategori pelajar-pelajar pascasiswazah.

Dengan wujudnya pertandingan seperti ini, kebolehan pelajar dalam menyampaikan idea saintifik mereka dapat diserlahkan pada platform yang betul.

Selain itu, sempena Research Week@FS 2021,  Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UTM dengan CSC Screen Process Supplies Sdn. Bhd. telah berlangsung dengan jayanya pada 16 Mac 2021.

Secara tuntas, dengan adanya Research Week@FS 2021, pihak penganjur berharap agar semua aktiviti penyelidikan di Fakulti Sains UTM akan terus menyerlah dan memacu kehadapan serta dapat mencapai sasaran Audit Fakulti Sains; Malaysia Research Assessment (MyRA II) 2021.

Dekan FS, YBrs Prof. ChM. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff semasa merasmikan secara dalam talian

Disediakan oleh: Dr. Ganesan A/L Krishnan & Muhammad Izz Rosli

                            Dr. Siti Pauliena Mohd Bohari

Explore More