April 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Apr. — Suasana pandemik Covid-19 yang masih lagi belum reda di negara kita menjadi inspirasi kepada Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dan ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. untuk turut sama menyumbang dalam menaikkan semangat barisan hadapan Covid-19 yang terus mencurahkan bakti tanpa mengira masa hatta di bulan Ramadan yang mulia ini.

Oleh sebab itu, JKM KTHO dan ADABI Consumer mengambil inisiatif dengan menganjurkan pertandingan ‘ADABI: Sedia, Masak dan Kongsi’ dalam Program Dapur KTHO Berasap 2021 (DESAP ’21).

DESAP ’21 ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi terutama yang masih berada di rumah untuk menonjolkan bakat menyediakan menu makanan dalam bentuk video pendek ala-ala pempengaruh media sosial (media social influencer) seperti Khairulaming, seterusnya menyumbang dan mengagihkan hasil masakan tersebut kepada barisan hadapan negara yang sedang bertugas sebagai menghargai jasa mereka.

Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga UTM.

Antara juadah yang menjadi pilihan peserta adalah ketupat sotong, pulut kuning Palembang, daging Palembang, ayam masak butter, tepung pelita, kek batik dan kuih loyang.

Untuk pertandingan ‘ADABI: Sedia, Masak dan Kongsi’, saguhati dimenangi oleh saudari Sharifah Khairunnisa binti Syed Muhammad Nasir dengan tempat ketiga menjadi milik Nur Hafizatul Husna binti Mohamad Hafizi. Naib juara dan juara masing-masing digondol oleh saudari Nur Hazwani binti Mohammad Sobri dan saudari Nor Yus Amierah binti Yusliza.

Juara video ‘ADABI: Sedia, Masak dan Kongsi’ hasil kreativiti saudari Nor Yus Amierah binti Yusliza.
Naib juara video ‘ADABI: Sedia, Masak dan Kongsi’ hasil kreativiti saudari Nur Hazwani binti Mohammad Sobri.
Tempat ketiga video ‘ADABI: Sedia, Masak dan Kongsi’ hasil kreativiti saudari Nur Hafizatul Husna binti Mohamad Hafizi.
Video ‘ADABI: Sedia, Masak dan Kongsi’ hasil kreativiti saudari Sharifah Khairunnisa binti Syed Muhammad Nasir yang mendapat saguhati.

Bukan itu sahaja, program DESAP ’21 turut dimeriahkan dengan pertandingan-pertandingan seperti Food Nutrition Wow Facts, yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kesihatan UTM dan juga Explore the Juz.

Pertandingan Food Nutrition Wow Facts memperlihatkan kreativiti mahasiswa UTM dalam menyunting video mengenai khasiat dan manfaat sesebuah jenis makanan, manakala Explore the Juz menyerlahkan bakat mahasiswa UTM dalam menyunting poster yang mana ia menerangkan ringkasan kisah dan pengajaran yang dapat diambil daripada juzuk Al-Quran yang dipilih.

Hebahan pertandingan Food Nutrition Wow Facts dalam DESAP ’21.
Hebahan pertandingan Explore the Juz dalam DESAP ’21.

Bersempena dengan bulan Ramadan al-Mubarak, DESAP ’21 juga turut tidak ketinggalan dalam menyajikan santapan rohani kepada mahasiswa dan mahasiswi UTM terutama warga KTHO.

Forum Lets Discover Science in Fasting dan sesi perkongsian Simple Rules of Tajweed dilaksanakan secara maya bagi memberi peluang kepada warga UTM yang masih berada di rumah untuk turut sama mengambil manfaat.

Forum Lets Discover Science in Fasting dibarisi dua panelis iaitu Dr. Naemah binti Hamzah, Penolong Pengarah Pusat Islam UTM dan Dr. Syafaf binti Jumiran, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bukit Goh, manakala sesi perkongsian Simple Rules of Tajweed diserikan dengan kehadiran saudari Wan Suhaila binti Wan Abd Razak, selaku alumni persijilan Darul Quran-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sesi 2019/2020.

Dr. Naemah binti Hamzah, Penolong Pengarah Pusat Islam UTM antara panelis dalam Forum Lets Discover Science in Fasting.
Dr. Syafaf binti Jumiran, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bukit Goh turut tampil sebagai panelis dalam Forum Lets Discover Science in Fasting.
Sesi perkongsian Simple Rules of Tajweed oleh saudari Wan Suhaila binti Wan Abd Razak yang menerangkan hukum nun sakinah dan mim sakinah.

Menurut Pengarah Program, saudara Muhammad Haikal bin Othman, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di bawah DESAP ’21 merangkumi elemen tanggungjawab sosial universiti (USR), kerohanian, kesihatan , dan kebajikan untuk manfaat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Adalah menjadi harapan beliau untuk menyaksikan program DESAP ini dapat diadakan setiap tahun dengan penglibatan dan sinergi daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak industri, persatuan dan pusat-pusat tanggungjawab di UTM, sekaligus memberi manfaat kepada lebih ramai golongan sasar terutama dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UTM.

Explore More