Oktober 11, 2024

Search
Close this search box.

Bengkel Pengaturcaraan Robotik Dalam Talian Terapkan Kemahiran Pemikiran Komputasional Pelajar Sekolah

Johor Bahru, 22 Apr. – Pemikiran Komputasional merupakan kemahiran asas yang sangat penting dalam membantu menyelesaikan masalah dengan menggunakan konsep asas sains Komputer. 

Pengetahuan Pemikiran Komputasional telah diintegrasikan dalam kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bermula dengan murid Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Empat sejak tahun 2016.

Ia merupakan satu inisiatif kerajaan Malaysia supaya golongan murid terdedah dengan kemahiran teknologi digital seperti pengekodan, algoritma dan menyelesaikan masalah.

Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik dari Sekolah Komputeran (SC) dan Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) di bawah Fakulti Kejuruteraan UTM turut mengambil inisiatif bagi menerapkan kemahiran pelajar sekolah dalam pemikiran komputasional ini sekaligus memupuk minat mereka terhadap pengaturcaraan robot dengan menganjurkan program Bengkel Pembelajaran Kemahiran Pemikiran Komputasional Melalui Pendidikan Robotik, bermula dari 20 sehingga 22 April 2021.

Usaha ini adalah sejajar dengan revolusi industri ke-4 (4IR) dalam mencapai pembangunan teknologi masa kini.

Selain itu, program ini dijalankan di bawah tajaan utama geran UTMHR (UTM High Impact Research). Tujuan utama geran Penyelidikan berimpak tinggi UTM ini adalah untuk  menggalakkan hasil penyelidikan yang memberi sumbangan dan impak terus kepada masyarakat.

Justeru program ini telah menjadi salah satu platform di Fakulti Kejuruteraan dalam melaksanakan program khidmat masyarakat setempat di negeri johor yang melibatkan penyelidik dan pelajar UTM terlibat secara lansung dalam aktiviti khidmat masyarakat seperti ini.

Penganjuran program ini mendapat sokongan yang padu dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat dengan penyertaan seramai 45 orang pelajar dan 5 orang guru pembimbing dari lima buah sekolah menengah sekitar DUN Kemelah, Segamat.

Robot yang dibangunkan oleh penyelidik UTM digunakan oleh para pelajar telah disumbang oleh YB Dr. Sulaiman Mohd Nor, ADUN Kemelah. Turut terlibat sama ialah UTMLead yang telah memberikan sokongan menerusi platform Micro-Credential UTM bagi melancarkan lagi bengkel tersebut.

Dengan mengambil kira keadaan pandemik Covid-19, bengkel ini telah di jalankan secara maya di antara kampus UTM dan sekolah-sekolah. Para pelajar berkumpul secara bersemuka di sekolah masing – masing manakala para fasilitator berada di UTM dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Rajah 1. Bilik Operasi Penyelidik UTM

Rajah 2. Bilik Gerakan Fasilitator UTM

Rajah 3. Para Pelajar berada di Sekolah Masing-Masing sepanjang bengkel berlansung

Semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta perlumbaan robot dilakukan secara maya. Walaubagaimanapun, ia tidak menjadi penghalang kepada setiap peserta untuk menunjukkan kreativiti terutama dalam usaha merebut tiga kategori hadiah yang dipertandingkan iaitu kumpulan terbaik, kumpulan dengan kandungan kreatif terbaik dan kumpulan pelumba terbaik.

Enam modul telah dirangka oleh jawatankuasa penganjur yang terdiri daripada tujuh pensyarah dan lapan fasilitator, demi memastikan setiap peserta diberi pendedahan yang secukupnya mengenai elemen-elemen pengaturcaraan robotik, yang akhirnya akan dipraktikan oleh pelajar-pelajar menerusi pertandingan perlumbaan robot yang telah dibekalkan.

Rajah 4. Sesi Ucapan Perasmian Pembukaan oleh Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, Pengerusi Sekolah Komputeran (SC) UTM

Rajah 5. Ucapan Penutupan oleh Tuan Hj. Azmi bin Abu, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Hadir sama dalam majlis perasmian penutup ialah Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohammed Rafiq Bin Abdul Kadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan UTM serta Encik Ismadi Bin Arsad, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid PPD Segamat. Memetik kenyataan Pengarah Program, Prof. Dr. Dayang Norhayati binti Abang Jawawi, program ini dilihat menjadi perintis bagi pertandingan perlumbaan RoboKar secara berpasukan yang diadakan secara dalam talian.

Di samping itu, bengkel ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi yang kreatif dalam menyelesaikan masalah dan berupaya mencipta serta mengubah suai produk teknologi terutama dalam bidang robotik, sekaligus dapat memberi manfaat dan sumbangan kepada masyarakat.

Rajah 6. Sesi Fotografi Bersama Dekan Fakulti Kejuruteraan , Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohammed Rafiq Bin Abdul Kadir, Tuan Haji Azmi bin Abu dan En. Ismadi bin Arsad serta para peserta bengkel di Majlis Penutup Bengkel Kemahiran Pemikiran Komputasional melalui Pendidikan Robotik

Explore More