April 20, 2024

Search
Close this search box.

Bengkel Latihan Pendidikan Sains Komputer Anjuran Kumpulan Penyelidikan HuCKM, FTIR, ISTIC dan KPM Guna Pendekatan IBSE

Menurut tafsiran semasa, pengetahuan dan pembelajaran ‘Sains Komputer’ mempunyai dua komponen utama iaitu konsep ‘unplugged’ yang mana komputer tidak perlu digunakan sama sekali dan konsep ‘plugged’ di mana aktiviti berkaitan menggunakan komputer.

Ini berbeza dengan pemahaman biasa Sains Komputer yang merujuk kepada penggunaan komputer untuk meningkatkan pembelajaran dan pengetahuan, dan kemahiran dalam menggunakan perisian seperti Microsoft Word, Microsoft Power Point dan sebagainya.

Untuk merungkai lebih lanjut, sebuah bengkel latihan untuk Guru Pelatih Utama (Master Trainer) telah dianjurkan secara bersama oleh Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa untuk Kerjasama Selatan-Selatan di bawah naungan UNESCO (ISTIC) dan kumpulan penyelidikan Human Capital and Knowledge Management (HuCKM), Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bengkel yang berlangsung selama 5 hari bermula 19 April 2021 hingga 23 April 2021 menggunakan platform dalam talian.

Ia melibatkan seramai 22 orang guru yang terpilih sebagai Tenaga Pengajar Utama atau Guru Pelatih Utama (Master Trainer) dari seluruh negeri di Malaysia yang turut bertindak sebagai pelatih kepada guru-guru yang lain di seluruh Malaysia di setiap zon yang ditentukan.

Objektif utama bengkel latihan ini adalah untuk menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan kepada peserta yang terdiri daripada guru-guru pengajar mengenai Sains Komputer melalui aktiviti ‘unplugged’ dan ‘plugged’ dan mengaplikasikannya ke dalam aktiviti pedagogi.

Keistimewaan bengkel ini adalah ianya menyerapkan pendekatan konsep ‘Inquiry-Based Science Education (IBSE)’ dan Pemikiran Komputan (Computational Thinking). Konsep IBSE menekankan pendekatan pengajaran sains menggunakan kaedah pengajaran berasaskan inkuiri.

Bengkel telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Tadbir ISTIC, Professor Datuk Dr Halimaton binti Hamdan. Turut hadir ialah Ketua Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan, Dr Ihsan bin Ismail dan Pengarah ISTIC, Puan Tengku Sharizad binti Tengku Dahlan.

Buku panduan ‘1, 2, 3…Code! Teaching Computer Science at Primary School and Middle School’ yang dibangunkan oleh La main à la pate Fondation” untuk kelas di Perancis dengan menggunakan pendekatan bertema, yang meliputi tema yang berbeza termasuk sejarah sains komputer dan teknik, algoritma, bahasa, pengaturcaraan dan sebagainya, dan memberi penekanan kepada projek dan pedagogi berasaskan inkuiri (IBSE) telah digunakan dalam perlaksanaan bengkel ini.

Ia merangkumi sumber yang telah diuji di dalam bilik darjah seperti aktiviti ‘unplugged’ dan ‘plugged’ yang membolehkan guru memberi tumpuan kepada algoritma, robotik dan pengaturcaraan.  

Bengkel ini merupakan projek di bawah program geran sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), Kementerian Pendidikan Malaysia, diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Maslin binti Masrom. Penyelidik yang juga jurulatih bengkel dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTM terdiri daripada Prof. Dr. Nik Hasnaa binti Nik Mahmood, Dr. Wan Normeza binti Wan Zakaria, Dr. Azizul bin Azizan dan Ts. Dr. Norshaliza binti Kamaruddin.

Jurulatih dari ISTIC terdiri daripada En Mohd Azim bin Noor. Manakala jurulatih dari Kementerian Pendidikan Malaysia terdiri daripada Dr. Lay Ah Nam, Dr. Hashiroh binti Hussain, Dr. Haji Emran bin Yunus, En. Saifulnizam bin Che Ismail, En. Choo Choon How, Puan Azlin binti Mohd Rosdi, dan Puan Rimi Mas Adilla binti Mohari.

Sebanyak 4 modul telah dibentangkan dalam bengkel tersebut, iaitu

Modul 1:  Pengenalan kepada konsep IBSE dan Pemikiran Komputan

Modul 2:  Pengaturcaraan menggunakan Bahasa ‘Unplugged Activity’ – Algoritma &

                 Bahasa, ‘Cryptography & Shortest Route Problem’

Modul 3: ‘Block Coding Scratch’

Modul 4:  Robotik -Tiny: bit

Di akhir program ini, pembentangan projek dibentangkan oleh para Guru Pelatih Utama bagi memastikan mereka mampu menyampaikan modul ini kepada guru-guru di negeri dan peringkat zon masing-masing.

Pengarah ISTIC, Puan Tengku Sharizad binti Tengku Dahlan sedang memberikan ucapan alu-aluan kepada peserta
Ketua Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan, Dr Ihsan bin Ismail turut memberikan ucapan
Antara peserta yang menyertai bengkel

Explore More