April 20, 2024

Search
Close this search box.

Biro Pendidikan dan Penyelidikan dengan kerjasama Biro Teknologi dan Kelestarian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) telah menganjurkan satu sesi webinar ‘Campus Waste Management: Towards Green and Sustainable Campus’ pada 21 Mac 2021 bersempena dengan Hari Hutan dan Hari Menanam Pokok Sedunia. Inisiatif penganjuran webinar ini sememangnya bertepatan dengan nilai teras keempat enVision UTM 2025 di bawah keutamaan strategik yang keenam iaitu menyediakan suasana kampus lestari kepada pelajar, staf dan masyarakat sekitar UTM.

Sesi webinar ini menampilkan perkongsian daripada Pengarah UTM Kampus Lestari UTM (UTM CS), Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md. Din selaku antara ikon kelestarian yang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan warga UTM. Program yang bermula pada jam 8.15 malam ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga KTHO dengan penyertaan seramai 250 orang mahasiswa.

Hebahan sambutan Hari Hutan Sedunia dan Hari Menanam Pokok Sedunia pada 21 Mac 2021 menerusi media sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Antara isi kandungan webinar adalah perkongsian mengenai elemen 5P (people, planet, prosperity, peace, partnership), yang mana unsur ini berkait rapat dalam mewujudkan sebuah kampus lestari. Amalan 3R (reuse, reduce, recycle) juga turut ditekankan dengan mahasiswa amat digalakkan untuk membawa botol air dan bekas makanan sendiri ke kafe, di samping mempraktikkan amalan pengasingan sisa organik dan bukan organik. Satu video tentang program kesedaran kitar semula bersama pelajar pertukaran budaya dari Jepun di kolej kediaman UTM turut dikongsikan, dengan harapan supaya mahasiswa UTM dapat mencontohi amalan kitar semula yang sistematik sebagaimana yang dipraktikkan oleh masyarakat di Jepun.

Pengisian webinar ‘Campus Waste Management’ yang disampaikan oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md. Din, Pengarah UTM Kampus Lestari.
Demonstrasi teknik kitar semula yang ditunjukkan oleh pelajar pertukaran budaya dari Jepun.

Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil juga turut berkongsikan kepada para peserta mengenai usaha UTM untuk mempraktikkan kitar semula aliran tunggal (single stream recycling) dengan menempatkan beberapa sangkar (cage) di beberapa lokasi strategik seperti sekitar kolej kediaman bagi proses pengumpulan sisa-sisa yang boleh dikitar semula. Menurut Prof., UTM juga turut melancarkan program dan kempen seperti ‘Beach Clean Up’, ‘Say No to Single Use Plastics’ serta program kolaborasi seperti ‘Clean Our Plate’.

Kempen dan program kampus lestari ini juga turut mendapat liputan yang meluas dari pihak media seperti rancangan TV AlHijrah, sekaligus menjadi platform publisiti, hebahan dan juga pendidikan mengenai kepentingan gaya hidup lestari kepada masyarakat di Malaysia. JKM KTHO sememangnya amat berharap agar program webinar yang dianjurkan ini mampu membuka mata semua mahasiswa UTM terutama warga KTHO untuk lebih cakna mengenai pengurusan sisa di kampus, di samping menjadi duta kelestarian kepada masyarakat di luar sana.

Antara usaha dan kempen yang dijalankan untuk menjayakan program Kampus Lestari di UTM.

Explore More