April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Mac — Biro Kerohanian dan Sosial, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) UTM sesi 2020/2021 dengan kerjasama Pusat Islam UTM dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM telah menganjurkan program Quran Time Siri 1 menerusi aplikasi persidangan video Cisco Webex.  

Program ini disertai oleh 116 orang mahasiswa merupakan antara inisiatif bersama Pusat Islam UTM, Pejabat HEP UTM dan JKM KTHO dalam usaha untuk mendekatkan mahasiswa untuk lebih mendalami Al-Quran menerusi elemen 4T (Tilawah, Tajwid, Tafsir & Tadabbur).

Program bermula pada pukul 9.00 malam, dengan perkongsian disampaikan oleh Ustaz Panji Alam bin Mazhisham, Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Aktiviti Pelajar Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM.

Perkongsian Quran Time siri pertama ini menyentuh dan membincangkan mengenai Surah Al-Baqarah ayat 183 hingga 186. Program dimulakan dengan sesi tilawah secara bertalaqqi, kemudian disusuli dengan perbincangan hukum-hukum tajwid pada ayat-ayat pilihan. Antara hukum tajwid yang dibincangkan adalah hukum mad jaiz munfasil, ikhfa’ hakiki, qolqolah sughro dan qolqolah kubro.

Program diteruskan dengan segmen tafsir dan tadabbur ayat. Ayat 183 menerangkan mengenai kewajipan berpuasa di bulan Ramadan sebagaimana kefarduan puasa yang telah pun ditetapkan untuk umat-umat terdahulu, supaya kita termasuk dalam golongan yang bertaqwa. Ayat 184 pula menyentuh mengenai rukhsoh (keringanan) berpuasa bagi golongan yang sakit, musafir dan tidak berdaya.

Turut dibincangkan adalah konsep menggantikan puasa (qodo’) dan juga fidyah bagi golongan yang diberikan keringanan. Ayat 185 pula memberi penekanan mengenai turunnya Al-Quran dalam bulan Ramadan, yang mana ia menjadi petunjuk kapada orang-orang beriman.

Manakala, ayat 186 memperlihatkan bahawa antara syarat doa dimakbulkan adalah dengan menjadi orang yang beriman, iaitu mematuhi perintahNya serta menjauhi laranganNya. Program berakhir tepat jam 10.00 malam.

Kesimpulannya, program ini mendapat sambutan yang hangat daripada warga KTHO yang rata-ratanya sangat berpuas hati dengan pengisian yang disampaikan. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan panduan oleh mahasiswa dalam usaha untuk terus istiqamah memperbaiki bacaan Al-Quran, di samping tidak melupakan untuk mentadabbur dan mangamalkan apa yang telah disampaikan, sepertimana firmanNya di dalam Surah Sad ayat ke-29:

‘’Inilah sebuah kitab yang kami turunkan kepada kamu dengan penuh berkat supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya (tadabbur) dan supaya orang yang mempunyai akal fikiran mengambil pelajaran daripadanya.’’

KTHO membuka tirai program Quran Time dengan siri pertama yang diadakan pada 16 Mac 2021.
Perkongsian Quran Time siri pertama disampaikan oleh Ustaz Panji Alam bin Mazhisham.
Para peserta tekun mengikuti, menghayati dan mempelajari ayat 183-186 Surah Al-Baqarah.

Explore More