November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pada 25 Januari yang lalu, satu siri Kuliah FSSH Profesor Adjung telah diadakan dengan menggunakan platform Facebook. Siri pada kali ini membawakan Prof Dr Keith S. Taber dari University of Cambridge untuk berkongsi tentang perspektif teori konstruktivisme dalam pembelajaran. Moderator pada siri ini ialah Prof Dr. Fatin Aliah Phang, Pengerusi Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Sebagai pembukaan kuliah, Prof Taber memberikan definisi berkenaan konstruktivisme dalam pembelajaran. Walaupun teori konstruktivisme adalah teori pembelajaran dan bukan pengajaran, tetapi, teori pembelajaran dikatakan mampu membentuk pedagogi seorang guru. Prof Taber menerangkan tentang tahap analisis dalam pembelajaran yang terdiri daripada tiga tahap iaitu tahap mental, sistem pengkomputeran (kefungsian) dan tahap fizikal yang lebih menjurus kepada konteks logikal.

Menurut Prof Taber, pembelajaran manusia hampir sama dengan sistem komputer. Memprogramkan komputer untuk berfungsi mempunyai model dan sistemnya tersendiri. Begitu juga manusia, ada model yang digunakan untuk menerangkan bagaimana sesuatu ilmu itu diterima. Seorang pelajar adalah satu sistem yang mana kawasan bahagian luar adalah persekitaran yang menjadi sebahagian daripada sistem.

Dalam sistem wujudnya pancaindera, kesedaran (kewarasan) dan memori. Kesedaran (kewarasan) seseorang menjadi pemangkin kepada pemindahan ilmu, manakala ilmu baharu akan tersimpan dalam memori. Dalam kuliahnya, Prof Taber mempersoalkan adakah model ini sesuai untuk dikaitkan dengan sistem pembelajaran?

Prof Taber menjelaskan tentang beberapa definisi ilmu yang boleh mengubah potensi tingkah laku seseorang. Dalam perkongsiannya, Prof Taber turut menyatakan bahawa teori konstruktivisme adalah satu teori yang seharusnya mudah diaplikasikan.

Konsep pembelajarannya merupakan satu proses aktif yang mengambil tempat dalam minda seorang pelajar. Ia seharusnya menerbitkan dua persoalan iaitu apa yang mungkin seseorang fikirkan tentang pembelajaran ataupun adakah pembelajaran bukan satu proses sosial?

Prof Taber juga mengaitkan teori konstuktivis Piaget dengan epistemologi genetik yang memfokuskan hal-hal ilmu (epistemik). Justifikasi, kebenaran dan kepercayaan adalah antara kupasan yang terperinci diberikan oleh Prof Taber. Satu pendekatan secara pragmatik bagi pendidik ialah ilmu yang diperolehi oleh pelajar ditentukan oleh apa yang mereka percaya tentang sesuatu perkara.

Maka pembelajaran boleh meliputi perubahan kepada beberapa sifat tertentu seperti ilmu sedia ada dan ilmu baharu. Prof Taber juga menerangkan tentang acceptance (penerimaan), connectedness (keterhubungan), multiplicity (kepelbagaian) dan explicitness (kejelasan).

Dalam kuliah Profesor Adjung ini juga, Prof Taber memberi kefahaman kepada penonton tentang maksud ilmu yang diperolehi dari persekitaran. Beberapa imej gambar yang penonton agak biasa dengan fenomena tertentu ditunjukkan seperti orang Korea, gerhana matahari, graduasi, Yang Dipertuan Agong dan sebagainya. Kemudian, Prof Taber juga menjelaskan bahawa pemerolehan ilmu adalah dari penjanaan dan pembinaan makna berbanding pemerolehan dari persekitaran.

Prof Taber juga memberikan penerangan tentang fungsi memori yang bekerja dalam sistem pembelajaran. Pembelajaran dikatakan sebagai konservatif sekiranya bahan pengesan dapat menjangkakan corak dan boleh men-chunking. Pembelajaran melibatkan iterative (pengulangan), interpretive (pentafsiran) dan incremental (peningkatan) mampu menghasilkan dapatan yang lebih baik.

Memori pula disifatkan sebagai yang boleh diingati apabila ianya menjadi suatu kebiasaaan. Prof Taber membandingkan model memori dengan model kognisi (model mental).  Teori minda menyatakan bahawa seorang manusia boleh mengecam corak tertentu berdasarkan persekitaran melalui pemikiran, perasaan dan pemahaman. Budaya juga menjadi salah satu faktor yang terlibat dalam penyebaran ilmu. 

Akhir sekali, Prof Taber bertanyakan tentang wujudkah peranti yang boleh menyimpan ilmu dengan efisien sekali namun jawapannya adalah tiada. Prof Taber memberikan pelbagai perbandingan dari segi perbezaan model, perbezaan kepercayaan dan status ekonomi.  Penjelasan mengenai model mental diulang semula dan menegaskan bahawa persepsi adalah dibina, memori juga adalah dibina-semula.

Guru-guru digalakkan membentuk pedagogi yang berkesan menerusi 3 elemen yang biasa dinyatakan oleh para penyelidik iaitu iterative (pengulangan), interpretive (pentafsiran) dan incremental (peningkatan) bagi membentuk pengajaran yang lebih baik.

Untuk mengulang semula rakaman kuliah Prof Keith S Taber boleh layari link berikut:

https://web.facebook.com/367141090487913/posts/971873303348019/?_rdc=1&_rdr

Nota tambahan Prof Taber juga boleh diperolehi dari link ini:

https://science-education-research.com/about-keith/universiti-teknologi-malaysia/constructivist-learning-lecture-preview/

Penulis: Dr. Noorzana Khamis, Dr. Adjah Naqkiah Mazlan, Dr Nina Diana Nawi. Pensyarah Kanan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Explore More