November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pada 1 Disember 2020 yang lalu, Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS) Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Prosis KTHO 2 Months BMI Challenge secara dalam talian.

Program ini merupakan sebuah program perkongsian ilmu senaman dan diet seimbang yang dijalankan secara maya melalui platform Cisco Webex Meeting.

Program telah dijalankan selama dua bulan bermula (1 Disember 2020) sehingga (1 Februari 2021) untuk mencapai objektif BMI ideal mengikut komposisi badan peserta yang terlibat.

Setiap peserta diberi tunjuk ajar oleh barisan fasilitator mengenai kaedah pemakanan seimbang dan senaman yang sesuai untuk diprakktikkan dalam aktiviti seharian.

Walaupun masih berada dalam situasi pandemik Covid-19, namun program ini tetap mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 50 orang peserta.

Usaha yang dicetuskan oleh Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS) KTHO sememangnya amat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha untuk memastikan mahasiswa kekal sihat dan cergas walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kecergasan fizikal dan kecerdasan minda menjadi elemen yang amat penting untuk mahsiswa kekal fokus mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara maya, di samping terus bergiat aktif menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dianjurkan universiti.

PROSIS KTHO ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutama Dr. Norahim Ibrahim selaku Pengetua KTHO, Majlis Felow Merbauan (MAFAN), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), Pusat Kesihatan UTM dan warga KTHO dalam usaha menjayakan program ini. Adalah menjadi harapan PROSIS KTHO untuk menganjurkan program seperti ini pada masa akan datang, demi merealisasikan hasrat melahirkan generasi mahasiswa yang sihat, cergas dan cerdas.

Explore More