April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Mac — Keadaan ekonomi negara yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 menjadikan mahasiswa universiti berada dalam keadaan dilema memikirkan tentang peluang pekerjaan selepas bergraduan.

Disebabkan itu, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil satu inisiatif dengan menganjurkan program From Campus to Corporate (C2C) dengan harapan agar mahasiswa dapat mempersiapkan diri terutama daripada aspek penulisan resume, kemahiran komunikasi dan kemahiran berfikir secara kritikal dalam menempuh dunia kerjaya yang lebih mencabar.

Inisiatif ini sememangnya bertepatan dengan nilai teras pertama enVision UTM 2025, demi melahirkan mahasiswa holistik dan berbakat di peringkat global.

Program ini juga turut menarik penyertaan daripada pihak industri seperti GTI Media Sdn. Bhd, Top Glove Corporation Bhd, Thinker Space (M) Sdn. Bhd dan AMR Enviromental Sdn. Bhd.

Walaupun dijalankan secara atas talian menerusi aplikasi persidangan video Cisco Webex dan FB Live, program ini tetap mampu menarik penyertaan seramai 200 orang peserta terutama dalam kalangan mahasiswa tahun akhir UTM.

Pn. Nurul Izzaty dan Pn. Karen Lim, wakil GTI Media Sdn Bhd menyampaikan perkongsian mengenai penulisan resume dan tip temuduga berkesan.
En. Mohd Ridzuan Johary, wakil Thinker Space berkongsi pengalaman beliau dalam memulakan perniagaan.

Program ini turut menampilkan beberapa personaliti dari industri seperti Pn. Karen Lim dan Pn. Nurul Izzaty (GTI Media Sdn. Bhd), En. Nooraffendi Ariffin (Top Glove Corporation Bhd), En. Mohd Ridzuan Johary (Thinker Space (M) Sdn Bhd) dan Ir. Ammar Mohd Rashid (AMR Enviromental Sdn Bhd).

Antara intipati perkongsian yang disampaikan kepada para peserta ialah mengenai teknik komunikasi berkesan, tatacara penulisan resume yang profesional, garis panduan temuduga yang efektif dan kaedah-kaedah mengenal pasti peluang pekerjaan yang berpotensi.

Tip-tip untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan turut dikongsikan terutama untuk mahasiswa yang mempunyai kecenderungan dalam membuka perniagaan selepas bergraduan.

En. Nooraffendi Ariffin, wakil Top Glove Crporation Bhd menyampaikan perkongsian mengenai persiapan ke alam kerjaya.
Ir. Ammar Mohd Rashid, wakil AMR Environmental Sdn Bhd memberikan tip ciri-ciri pekerja idaman majikan.

Program C2C melabuhkan tirai pada pukul 5.30 petang dengan majlis ringkas perasmian penutup disempurnakan oleh Dr. Norahim Ibrahim, Pengetua KTHO. Adalah diharapkan, penganjuran program ini mampu mempersiapkan mahasiswa UTM untuk lebih yakin dan berketrampilan bagi menempuh alam pekerjaan selepas bergraduan, sekaligus mencapai sasaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran mahasiswa di seluruh negara.

Barisan wakil industri sedang berkongsikan tip-tip persediaan menuju alam kerjaya kepada para peserta program.

Explore More