September 17, 2024

Search
Close this search box.

KTHO Sahut Inisiatif Kelestarian Universiti Menerusi Teknik Penyuburan Tanah Menggunakan Sisa Makanan dan Sesi Praktikal Percambahan Biji Benih

JOHOR BAHRU, 27 Mac — Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengatur langkah untuk menyahut inisiatif Kampus Lestari, bertepatan dengan nilai teras keempat enVision UTM 2025 di bawah keutamaan strategik yang keenam iaitu menyediakan suasana kampus lestari kepada pelajar, staf dan masyarakat sekitar UTM.

Inisiatif tersebut diterjemahkan dengan penganjuran aktiviti rawatan penyuburan tanah menggunakan sisa makanan dan praktikal percambahan biji benih, di bawah inisiatif projek ‘KTHO Waste to Wealth Hub’.

Aktiviti yang bermula jam 8.30 pagi ini diketuai oleh Pengetua KTHO, Dr. Norahim Ibrahim diperkasakan dengan penyertaan warga KTHO yang terdiri daripada Majlis Felow Merbauan (MAFAN), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa KTHO (JKM KTHO), pelajar-pelajar Jabatan Biosains, Fakulti Sains dan juga pelajar-pelajar prasiswazah dari KTHO sendiri, mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sepanjang aktiviti berlangsung.

Aktiviti dimulakan dengan proses penggemburan tanah di sekeliling kawasan blok L01 Pejabat Pentadbiran KTHO, diikuti sesi rawatan penyuburan tanah menggunakan sisa makanan seperti lebihan nasi, ikan, sayur-sayuran, kulit bawang dan buah-buahan yang sudah busuk, yang didapati dari sekitar kolej kediaman.

Sisa-sisa makanan ini kemudiannya dimasukkan ke dalam besen, kemudian ditambah dengan serbuk bokashi, dan kompos tinjak ayam sebelum dimasukkan semula bagi membekalkan tanah dengan sumber nutrien penting bagi pertumbuhan tanaman.

Lebihan sisa makanan seperti sayur, kulit bawang, nasi, kulit pisang dan buah ciku yang dikumpulkan dan didapati dari sekitar KTHO digunakan sebagai bahan-bahan utama di dalam perawatan tanah.

Para peserta menceraikan sisa-sisa makanan yang dikumpulkan kepada cebisan-cebisan kecil sebelum digaul di dalam besen.

Serbuk bokashi digaulkan bersama ke dalam besen berisi sisa makanan bagi membekalan mikrob yang akan mempercepatkan proses pereputan di dalam tanah.

Sisa makanan ditabur semula ke dalam tanah selepas digaul bersama bahan-bahan lain.

Pengisian program diteruskan dengan sesi perkongsian teknik percambahan biji benih, secara teori dan praktikal yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains, Dr. Alina Wagiran.

Beliau berkongsi info berkaitan struktur asas biji benih, faktor-faktor penting percambahan biji benih dan teknik asas semaian biji benih.

Demonstrasi secara praktikal bagi proses semaian biji benih kacang bendi, kacang panjang, sawi, kunyit dan jagung turut dilakukan oleh Dr. Alina sebelum para peserta turut terlibat sama menyemai biji-biji benih tersebut ke dalam tray semaian (germination tray) yang disediakan.

Dr. Alina menerangkan kepada para peserta teori percambahan biji benih.

Sesi praktikal proses semaian biji benih oleh Dr. Alina sebaik sahaja selesai sesi teori.

Program berakhir dengan penyerahan setiap tray semaian (germination tray) kepada para peserta untuk dijaga sehingga biji-biji benih itu bercambah bagi aktiviti seterusnya. Menurut saudari Wan Sarah Qistina Wan Ahmad Sofian, salah seorang peserta program dari Sekolah Kejuruteraan Kimia, persepsi beliau terhadap penyediaan baja organik berubah apabila mendapati ia rupanya mudah disediakan, kerana bahan-bahan yang diperlukan sememangnya berada di sekeliling dan amat mudah didapati.

Malah, program ini menarik minat beliau untuk mengikuti dengan lebih mendalam konsep penanaman secara organik bagi memastikan kelestarian alam selepas ini.

Penyerahan tray semaian (pot tray) kepada para peserta untuk dijaga sehingga biji benih bercambah.

Pengisian aktiviti kali ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Semua peserta sangat berpuas hati dengan pendedahan secara teori dan praktikal kaedah penyuburan tanah menggunakan lebihan sisa makanan, di samping memperoleh pengetahuan berkaitan teknik menyemai biji benih.

Semoga inisiatif kelestarian dari KTHO ini memberikan manfaat bukan sahaja kepada warga KTHO dan UTM, malah segenap lapisan masyarakat di sekitarnya.

Explore More