November 5, 2024

Search
Close this search box.

Pada 16 Mac 2021, Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM telah menganjurkan program Improve Health Fight Against Drugs (I.H.A.D) 2.0. Ia merupakan salah satu daripada dua program anjuran Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM yang terpilih menjadi program Top Bidder di bawah seliaan Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama padu daripada Pusat Kaunseling UTM, UTM International, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia, PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan.

Senario penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga belia hari ini dilihat sangat membimbangkan. Statistik daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (Jan-Jun 2020) mendapati bahawa seramai 61,851 orang di kalangan belia berumur 19-39 tahun telah dikenalpasti terlibat dalam penyalahgunaan atau penagihan dadah serta bahan yang terlarang.

Daripada jumlah itu pula seramai 3,664 orang daripadanya adalah dari kalangan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi  Malaysia. Masalah ini berpunca daripada pelbagai faktor, samada perasaan ingin tahu individu, tekanan jiwa, latar belakang keluarga atau masalah kewangan.

Justeru, penganjuran program IHAD 2.0 ini merupakan salah satu langkah proaktif yang diambil oleh Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM bagi menyokong usaha kerajaan mencapai sasaran Dadah Terkawal 2025.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program IHAD 1.0 yang telah dilaksanakan buat julung kalinya pada 1 Disember 2020 tahun lalu.

Penganjuran program ini bertujuan menimbulkan kesedaran kepada mahasiswa/i UTM tentang pentingnya meningkatkan kesedaran diri untuk mencegah penyalahgunaan dadah melalui cara yang proaktif, bersepadu dan berkesan.

Selain itu, ia dirangka bagi mempromosikan gaya hidup sihat tanpa dadah dan substan di kalangan mahasiswa dan staf UTM khususnya serta komuniti umumnya.

Menerusi penganjuran program ini, ia telah dapat membina satu platform perkongsian ilmu secara digital yang sistematik dan berkesan dalam  membincangkan isu serta berkongsi pengalaman dengan agensi terlibat berkaitan usaha-usaha yang giat dijalankan bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.

Program ini telah disiarkan secara langsung di Facebook Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM dan Pusat Kaunseling UTM yang dikuasakan oleh Streamyard.  Ia telah ditonton secara langsung oleh seramai 867 peserta yang berdaftar. 851 peserta terdiri daripada mahasiswa UTM serta beberapa IPT lain dan juga orang awam di seluruh Malaysia.

Manakala baki 16 orang lagi merupakan peserta di kalangan mahasiswa antarabangsa UTM yang telah mengikuti program ini dari negara masing-masing seperti Yaman, Nigeria, Arab Saudi dan lain-lain.

Program ini diserikan dengan kehadiran 3 orang penceramah jemputan yang ditampilkan dalam 3 sesi webinar berbeza. Sesi pertama webinar bertajuk “Dadah dan Kesannya Terhadap Kesihatan Mental Manusia” menampilkan Y.Brs. Dr Nor Hana binti Ahmad Bahuri, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Sesi webinar yang dikendalikan dalam Bahasa Melayu ini membincangkan berkaitan kesan dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh golongan belia  bagi mengelak diri daripada terjerumus dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan gandingan Saudara Mohamad Ridhwan (pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (TESL)) sebagai Moderator dan Yg. Bhg. Dr Nor Hana binti Ahmad Bahuri, (Ketua Penolog Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor) selaku penceramah program bagi sesi pertama.

Sesi webinar kedua bertajuk “Peranan Mahasiswa : Ke Arah Manifestasi Kampus Bebas Dadah dan Bahan Terlarang” turut dikendalikan dalam Bahasa Melayu telah menampilkan   Yg. Bhg. Supt R. Azizan Bin Ibrahim, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sebagai wakil rasmi kepada Yg. Bhg. Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Johor.

Dalam sesi ini, panel telah mendedahkan kepada para penonton berkaitan kepentingan golongan belia untuk lebih cakna serta bersikap asertif untuk mempertahankan diri daripada anasir-anasir luar yang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi menjerumuskan belia ke dalam aktiviti tidak berfaedah yang boleh memudaratkan masa hadapan.

Panel jemputan juga menerangkan kesan buruk yang bakal dihadapi di sisi undang-undang oleh belia jika disabitkan dengan kes penyalahgunaan atau penyeludupan dadah.


Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan gandingan Saudari Nur Fatini Izzati (pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (TESL)) sebagai Moderator dan Yg. Bhg. Supt R. Azizan bin Ibrahim, (Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Johor) selaku penceramah program bagi sesi kedua sedang menjawab salah satu soalan daripada penonton ‘Facebook Live’.

Manakala sesi webinar ketiga bertajuk “Beginning of The End” telah menampilkan dua orang panel iaitu Yg. Berusaha Dr. Zulfikar Bin Ahmad, Pengarah Pusat Kaunseling UTM serta Yg. Bhg. PM Dr. Mohd Ariffin Bin Abu Hassan, Timbalan Pengarah, Global Education and Experience (GEE) , UTM International.

Sesi ini telah dikendalikan dalam Bahasa Inggeris bagi memberi peluang kepada para peserta di kalangan pelajar antarabangsa turut menyertai perbincangan yang diadakan secara atas talian ini.

Dalam sesi ini, kedua-dua panel telah menerangkan secara terperinci peranan serta perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat Kaunseling dan UTM International dalam pembangunan potensi serta hal-ehwal kebajikan pelajar.


Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan gandingan Saudara Mohamad Fahmi (pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (TESL)) sebagai Moderator dan Yg. Berusaha Dr. Zulfikar Bin Ahmad, (Pengarah Pusat Kaunseling UTM) selaku panel penceramah pertama serta Yg. Bhg. PM Dr. Mohd Ariffin Bin Abu Hassan, (Timbalan Pengarah, Global Education and Experience (GEE) , UTM International) selaku panel penceramah kedua program bagi sesi ketiga sedang mengupas persoalan yang diajukan oleh saudara moderator.

Program ini diakhiri dengan pertandingan Kuiz I.H.A.D 2.0. Ia dikendalikan sendiri oleh Cik Alissa Dalilah binti Dahlan, Pengarah Program I.H.A.D 2.0 secara di atas talian. Melalui kuiz ini, pengetahuan am serta pemahaman para peserta kuiz terhadap perkongsian pengisian yang telah disampaikan sepanjang program ini.

Hanya para peserta yang telah menumpukan perhatian terhadap pengisian program ini dari awal hingga akhir sahaja mempunyai kelebihan untuk menjawab soalan kuiz dengan betul. Pertandingan Kuiz I.H.A.D ini telah dimenangi oleh Nur Afifah Abd Latif iaitu seorang pelajar yang menuntut di University Of Auckland. Beliau telah berjaya membawa pulang hadiah utama sebanyak RM 150.00 yang telah ditawarkan oleh pihak penganjur. Tahniah diucapkan!


Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Cik Alissa Dalilah binti Dahlan yang bertindak sebagai Pengarah Program IHAD 2.0 sedang memberi penjelasan dan penerangan mengenai kuiz yang bakal dijalankan secara atas talian.

Kejayaan program I.H.A.D 2.0 ini membuktikan bahawa Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM tetap relevan dan komited dalam usaha menggiatkan aktiviti pendidikan dan pencegahan dadah di kampus. Ini selaras dengan misi pihak pengurusan UTM untuk menjadikan UTM sebagai kampus bebas dadah, rokok, vape dan lain-lain. Walaupun berhadapan dengan ujian pandemik Covid 19 yang tidak membolehkan program bersemuka dijalankan, namun penganjuran program ini tetap meriah dan dapat mencapai objektif yang digariskan melalui penganjuran program secara atas talian dalam norma baharu. Para kru, moderator dan panel jemputan terlibat semuanya telah mematuhi SOP ketat yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Adalah diharapkan semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.


Gambar menunjukkan sebahagian barisan Ahli Jawatankuasa Program I.H.A.D. 2.0 yang berkampung di UTM bagi mempersiap sedia untuk siaran langsung program yang akan dipancarkan secara terus di ‘Facebook Live’ Kelab Pemadam UTM yang dijanakuasa oleh ‘platform’ Streamyard.

Explore More