April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Feb. — Community Link Biocompost Open Laboratory di T02, Jabatan Biosain, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), YBhg. Dato’ Haji Adib Azhari bin Daud.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Ahli Majlis MBJB, YBhg Datuk Yahya bin Jaafar, Pengarah Pembangunan Kemasyarakatan MBJB, Tuan Mohamad Khairulanuar Esa, Pegawai Perancang Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Tuan Safwan Shaari serta wakil dari FELDA dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada rangka lawatan yang dianjurkan oleh Pusat Pelestarian Kampus UTM.

Ianya diadakan bertujuan untuk mengadakan sesi perbincangan serampang dua mata bagi berkongsi pengetahuan dan teknologi antara UTM dan pihak berkepentingan lain seperti pihak berkuasa tempatan serta insitusi awam dan swasta.

Pemberian nama Community Link Biocompost Open Laboratory adalah cetusan idea oleh Prof. Madya Dr. Zaiton Abdul Majid yang merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi, Pembangunan dan Alumni Fakulti Sains UTM.

Projek ini diketuai oleh Dr. Nurriza Ab Latif dan dibantu oleh Dr. Huszalina Hussin, Dr. Alina Wagiran, Dr. Azman Abdul Samad dan Dr. Raihana Ridzwan.

Selain staf akademik Jabatan Biosains, pelaksanaan projek ini turut mendapat bantuan dan sokongan daripada En. Mohd Hasrul Ishak, En. Shahril Sazali, En. Nazirul Mubin Normanshah, Cik Wan Aznida Wan Mohd Anuar, Pn. Noor Hidayah Mohd Nooh dan Cik Zaleha Jaafar yang mana merupakan staf makmal dan sokongan Fakulti Sains UTM.

Objektif utama Community Link Biocompost Open Laboratory adalah untuk mewujudkan satu sistem pengkomposan yang sistematik di kawasan T02 sebagai salah satu usaha menyokong usaha pengasingan sisa pepejal selain diharap dapat memupuk semangat kesukarelawan dan kelestarian di kalangan pelajar dan staf Fakulti Sains.

Projek Community Link Biocompost Open Laboratory ini menggunakan teknologi pengkomposan yang lebih efektif hasil penyelidikan oleh Dr. Huszalina Hussin.

Teknik penanaman dan kaedah penjagaan tumbuh-tumbuhan pula adalah atas nasihat dari Dr. Alina Wagiran, Dr. Azman Abdul Samad dan Dr. Raihana Ridzwan yang merupakan pakar dalam bidang tumbuhan dan pertanian. Pengkomposan dan pertanian bandar adalah antara bidang tujahan bagi Jabatan Biosains UTM dan diharap dapat memperkasakan kelestarian alam sekitar dan meningkatkan penjanaan pendapatan komuniti yang terlibat.

Selain itu, projek ini diwujudkan dengan hasrat agar dapat menjadi pusat rujukan dan latihan pengkomposan bagi komuniti di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Johor secara khususnya dan negeri Johor amnya.

Community Link Biocompost Open Laboratory ini juga telah mendapat tajaan daripada beberapa pihak antaranya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Green Technology Application for the Development of Low Carbon Citie (GTALCC) melalui kerjasama United Nations Development Program (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF) serta Pusat Inovasi dan Pengkormesilan (ICC) UTM.

Pihak Community Link Biocompost Open Laboratory turut mengucapkan penghargaan kepada Unit Pengurusan Harta Tanah, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia di atas kebenaran menggunakan plot tapak untuk menjalankan projek ini.


Disediakan oleh:Dr. Nurriza Ab Latif
Dr. Alina Wagiran
Dr Siti Pauliena Mohd Bohari

Explore More