April 25, 2024

Search
Close this search box.

Webinar ‘Mari Belajar Silat Dari Rumah’ Kukuhkan Kefahaman Asas Pertahanan Melalui Perkongsian

Ditulis Oleh: Mohamad Izzuan Mohd Ishar, Ain Sofia Zulaikha Abd Rahman, Rosnizam Maarof, Nur Syahirah Azmi

JOHOR BAHRU, 22 Jan. — Seminar secara dalam talian Mari Belajar Silat Dari Rumah telah memberikan pendedahan awal tentang kaedah dan kemahiran asas dalam mempertahankan diri daripada situasi bahaya, serta telah juga membantu menaikkan semula salah sebuah cabang seni mempertahankan diri yang semakin hilang ditelan zaman.

Seminar tersebut merupakan anjuran Kursus Silat Gayung UKQF 2712 di bawah Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM ILeague), Universiti Teknologi Malaysia.

Webinar ini diketuai oleh saudari Nur Syahirah Azmi di bawah penasihat Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar dan pengajar En. Rosnizam Maarof menyasarkan keterlibatan seluruh warga UTM termasuk staf dan pelajar serta orang ramai yang bertujuan memberikan kefahaman tentang asas pertahanan dan melakukan sesi perkongsian.

Program Service-Learning, iaitu program signature UTM Mari Bersilat Dari Rumah ini dilaksanakan secara dalam talian bermula jam 9 malam sehingga 10 Malam.

Program ini membawa satu matlamat iaitu bagi memberi pendedahan asas mengenai seni mempertahankan diri seni Silat Gayung dalam kalangan masyarakat.

Program yang dianjurkan amat menitikberatkan isu semasa yang berlaku terutama ketika pandemik ini iaitu isu jenayah ragut dan rompak yang boleh mengancam nyawa. Pendedahan asas yang dikongsi ini dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat untuk kegunaan masa hadapan.

Masyarakat semua sedia maklum bahawa mempertahankan diri menjadi asas untuk melindungi diri dan keluarga. Namun seni mempertahankan diri terutama seni silat seperti sudah malap kerana masyarakat lebih memilih untuk mempelajari taekwando, muay thai dan sebagainya. Seni warisan silat ini tidak lagi menjadi ikutan terutama dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu, masyarakat seharusnya memainkan peranan dalam memberi persediaan kepada diri dalam menghadapi sebarang cabaran.

Sehubungan itu, pendekatan secara menyeluruh kepada masyarakat adalah perlu bagi menyelami dan mengetahui asas-asas dalam mempertahankan diri.

Oleh yang demikian, pengetahuan dan pendedahan ringkas seperti webinar ini mampu diguna pakai oleh setiap lapisan masyarakat untuk masa hadapan sebagai satu pendekatan untuk mempertahankan diri apabila ditimpa sebarang bencana atau musibah.

Program yang berlangsung selama satu jam melalui platform Google Meet ini dilaksanakan secara langsung dengan penyampaian daripada pengajar kursus Silat Gayung UKQF2712 iaitu En. Rosnizam Maarof yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam seni Silat Gayung dan merupakan seorang pengajar di Akademi Pro Silat Negeri Johor. Program ini juga telah mendapat kerjasama penuh daripada Kelab Silat Gayung UTM (PSSGUTM) serta Akademi Pro Silat Negeri Johor.

Seramai 165 peserta yang telah mendaftar untuk menyertai program ini dan hanya 100 orang peserta sahaja yang berpeluang untuk menyertai dan sebahagian besar daripada peserta tersebut merupakan pelajar daripada UTM kampus Johor Bahru.

Sesi perkongsian ini berlangsung selama satu jam dan terbahagi kepada dua slot iaitu Slot 1 bagi sesi perkongsian mengenai cara-cara untuk mempertahankan diri yang efektif oleh En. Rosnizam Maarof selaku penceramah dan Slot 2 adalah sesi soal dan jawab antara para peserta dan penceramah.

Semua sesi perkongsian ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya dengan kerjasama yang telah diberikan oleh semua ahli jawatankuasa semasa program tersebut berlangsung.

Diharapkan webinar ini menjadi teras kepada pembinaan karakter yang boleh dibentuk melalui kepimpinan, adaptabiliti dan pembelajaran sepanjang hayat.

Sesi pembukaan oleh moderator webinar, saudari Nurul Hanis Hannani Mohd Anuar
Sesi perkongsian oleh penceramah, En. Rosnizam Maarof
Antara senarai soalan yang diperolehi daripada peserta semasa sesi soal jawab
Sesi bergambar beramai-ramai melibatkan kesemua peserta webinar Mari Belajar Silat Dari Rumah

Explore More