November 26, 2024

Search
Close this search box.

Webinar BOS Bincang Survival Akademik, Mental dan Kerjaya Susulan Cabaran Pandemik Covid-19

JOHOR BAHRU, 24 Jan. — 92 orang pelajar dibimbing untuk membina motivasi, kemahiran dan strategi pembelajaran yang lestari menerusi pembangunan keyakinan, ketahanan dan mengupayakan daya juang mahasiswa yang terlibat melalui sebuah program dalam bentuk webinar, iaitu Bio Outdoor Survival (BOS).

Webinar tersebut merupakan anjuran Jabatan Biosains, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan disertai oleh pelajar sarjana muda Sains Biologi dan Biologi Industri.

Program ini dilaksanakan selaras dengan perancangan “Faculty of Science’s Roadmap” (MyRoadmap @ FS) dan diselia oleh koordinator Jawatankuasa Pembangunan dan Kebajikan Pelajar (JKPP Biosains), Dr Mohd Farizal bin Ahmad Kamaroddin serta bekerjasama dengan jawatankuasa alumni Biosains dan Kelab Persatuan Pelajar Biosains (Symbiosis).

Berbeza daripada sebelum ini, program BOS dilaksanakan secara fizikal di kawasan-kawasan terbuka yang menguji daya mental dan ketahanan para pelajar namun, disebabkan pandemik Covid-19, Jabatan Biosains telah mengambil inisiatif untuk melaksanakannya melalui webinar.

Webinar BOS ini telah dibahagikan kepada 3 slot iaitu “Academic Survival”, “Mental Survival” dan “Career Survival” untuk memenuhi 3 jam tempoh webinar.

Ketiga-ketiga slot ini diambil alih oleh empat orang ahli panel yang juga merupakan Alumni Biosains terdiri daripada Muhammad Redza (Academic Survival), Muhammad Ramziuddin (Mental Survival), Farah Diyana dan Syed Nazirul (Career Survival).

Webinar BOS ini bermula pada jam 2 petang yang diketuai oleh Dr Mohd Farizal sebagai moderator dan dibantu oleh dua pelajar yang lain untuk menanyakan soalan kepada ahli panel yang juga merupakan alumni Biosains.

Slot yang pertama dimulakan dengan “Academic Survival” oleh saudara Muhammad Redza dengan perkongsian teknik belajar yang diamalkannya dan memberi tips belajar pada saat-saat akhir. Selain itu, beliau juga berkongsi cerita tentang dirinya yang sedang menyambung pelajaran pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan memberi tips menyambung PhD dengan secara “fast-track”.

Slot kedua “Mental Survival” oleh saudara Muhammad Ramziuddin dimulakan dengan beberapa ujian penilaian mental yang disediakan oleh beliau untuk mengetahui keadaan mental para pelajar yang menyertai program webinar BOS ini. Slot ini merupakan slot yang begitu menarik perhatian para peserta berikutan keadaan pada masa kini di mana kaedah pembelajaran dilaksanakan secara atas talian yang menjadi masalah utama kesihatan mental para pelajar. Selain itu, beliau juga mendedahkan pengertian stress dengan caranya yang tersendiri dan cara untuk mengendalikannya.

Slot yang terakhir ialah slot “Career Survival” dimulakan dengan saudari Farah Diyana berkongsi pengalaman bekerja luar dari bidang yang dipelajarinya serta berkongsi cerita bagaimana dia memperoleh pekerjaan sebelum bergraduasi lagi. Kemudian, slot itu disambung oleh saudara Syed Nazirul yang menceritakan tentang pengalamannya untuk mencari kerja ketika berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau mendapat pekerjaan di satu syarikat minyak dan gas yang agak jauh dari bidang yang dipelajarinya iaitu Biologi. Beliau menyatakan bahawa walaupun CGPA tidak begitu tinggi tetapi dia tetap berusaha untuk mendapatkan pekerjaan dengan membaiki kemahiran-kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi dan mengaplikasikannya sebaik mungkin sewaktu menghadiri sesi temu duga pekerjaan.

Di akhir webinar BOS ini, sesi soal jawab berlangsung di antara pelajar yang menyertai program ini dengan para panel, yang diajukan oleh dua moderator, Anas Azizi bin Mohd Asri dan Siti Nur Nasuha binti Wahid melalui soalan yang terkumpul sepanjang program berjalan.

Secara keseluruhannya, program webinar BOS ini berlangsung dengan jayanya dan mendapat maklum balas yang positif dan baik daripada peserta yang menyertainya.

Disediakan oleh: Dayang Nur Aida Hamieza, Nurul Farah Haidah dan Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin

Explore More