April 20, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh : Norazlina binti Md Zaid & Dr Naemah binti Hamzah

JOHOR BAHRU, 5 Feb. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan inisiatif prihatin, kali ini melalui sinergi Bahagian Pengurusan Organisasi, Jabatan Pendaftar dan Pusat Islam menjalankan Program Misi Sukarelawan Skuad Bantuan Banjir UTM Prihatin di Kampung Sepakat Baru dan Kampung Laut, di sini.

Pelaksanaan program tersebut merupakan usahasama ahli pasukan Sahabat UTM Prihatin UTM yang terdiri daripada Pusat Islam UTM, BPO Jabatan Pendaftar, UTM Marshall, PERTISAS, BAKES, PERKABA serta penglibatan sukarelawan daripada pelbagai PTJ seperti Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) , UTMiLeaGue kelas Ko-q Pengurusan Bencana, Unit Sukan, AMD dan UTMi.

Encik Haironizam bin Mohamad dari Jabatan Pendaftar selaku Pengarah Program telah melahirkan rasa syukur atas penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak sehingga berjaya merealisasikan misi ini.

“Sokongan dan nasihat daripada dua tonggak utama yang menjadi Penasihat serta Penyelaras Program CSR ini  iaitu Dr. Na’emah binti Hamzah dari Pusat Islam UTM dan Puan Norazlina binti Md Zaid dari Jabatan Pendaftar amatlah dihargai.

Ucapan setinggi-tinggi penghargaan juga buat Tuan Pendaftar, En Abdul Razib bin Hj Shahuddin yang turut sama dalam misi ini dan memberi sokongan padu beliau terhadap usaha murni ini,” kata beliau.

Menurut Haironizam, misi bantuan ini disasarkan kepada staf UTM dan keluarga staf serta penduduk Kampung Sepakat Baru iaitu sebanyak 163 buah rumah dan melibatkan seramai 815 orang yang terjejas dan terkesan akibat banjir yang lalu. 

“Bantuan ini juga akan dipanjangkan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan punca pendapatan mereka terjejas melalui Ketua Kampung,Tn Hj Azmi bin Basiran.

Penglibatan program CSR ini dihadkan kepada 20 orang sahaja yang terdiri daripada ahli jawatankuasa serta sukarelawan dengan pematuhan SOP yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” kata beliau lagi.

Kesemua barangan telah diserahkan kepada Ketua Kampung untuk diagihkan kepada penduduk oleh Tuan Pendaftar, En Abdul Razib bin Hj Shahuddin yang telah berbesar hati merasmikan acara penyerahan tersebut.

Pendaftar turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ahli jawatankuasa serta para sukarelawan yang menjayakan misi bantuan ini.

Tuan Pendaftar, En Abdul Razib bin Hj Shahuddin menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Tn Hj Azmi bin Basiran

“Untuk misi kali ini, pihak urus setia telah menguar-uarkan dan mengalu-alukan sumbangan ikhlas dari warga UTM.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana bukan sahaja sumbangan diterima daripada warga UTM iaitu staf dan mahasiswa malah pihak-pihak lain seperti pesara UTM, NGO, orang perseorangan, persatuan, kelab karom dan rekreasi, Kelas Al Quran Bandar Pulai Jaya & Taman Universiti dan masyarakat luar kampus,” kata beliau.

Menurut Haironizam lagi, sumbangan adalah berupa pencuci lantai, selimut, telekung dan pakaian turut diperolehi daripada beberapa syarikat.

“Dalam masa 5 hari, sumbangan berbentuk bahan makanan kering  seperti beras, susu, maggi, milo, teh, kicap, sardin dianggarkan seberat 2,284 kg (2.2 ton) berjaya dikumpulkan, manakala pakaian, bantal, selimut, toto dan lain-lain sebanyak 2,384 kg (2.3 ton), serta lain-lain keperluan seperti berus gigi, ubat gigi, sabun mandi dan lampin pakai buang adalah sebanyak 100.28 kg (0.1 ton)

Oleh itu, di kesempatan ini, pihak urus setia merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang, ahli jawatankuasa program serta sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga serta keringat dalam menjayakan program ini.

Didoakan agar urusan semua yang terlibat dipermudahkan, kesihatan dipertingkatkan, diberikan kesembuhan pada yang sakit, diberikan kebahagiaan dan berada dalam rahmat Allah selalu,” akhiri beliau.

Antara sumbangan yang dihulurkan
Barisan urus setia merakamkan gambar kenangan bersama penduduk kampung

Explore More