April 27, 2024

Search
Close this search box.

Perpustakaan UTM Lancar ‘Virtual Gallery’ dan Sistem Pengurusan Perpustakaan Sumber Terbuka (OCEAN)

Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukir sejarah kegemilangan kerana Pelancaran UTM Virtual Gallery dan Sistem Pengurusan Perpustakaan Baharu Sumber Terbuka : OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to Information)  telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail sempena Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021 pada 21 Januari 2021 yang disiarkan langsung secara dalam talian (Live FB).

UTM Virtual Gallery merupakan portal rasmi galeri UTM yang dibangunkan oleh Perpustakaan UTM https://virtualgallery.utm.my. Konsep Galeri Maya ini berperanan sebagai sumber rujukan utama warisan universiti dan menjadi platform perkongsian, penyebaran dan promosi koleksi galeri, artifak dan maklumat berkaitan UTM secara digital di peringkat global. Ini merupakan inisiatif bagi memperkasa sistem pemusakaan ilmu khazanah universiti bagi pembangunan, pemantapan dan pemerkasaan galeri UTM (fizikal dan maya) serta repositori koleksi multimedia universiti. 

                Laman web UTM Virtual Library di pautan https://virtualgallery.utm.my

UTM Virtual Gallery merupakan cetusan idea mantan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar pada Mac 2020.  Keunikan UTM Virtual Gallery membawa pengunjung melayari dan meneroka khazanah warisan koleksi galeri dan artifak dengan hanya menggunakan telefon pintar ataupun komputer. Ianya terdiri daripada empat modul iaitu Virtual 360˚, UTMLenses, Artifak dan Pameran.

a. Modul Virtual 360˚ membolehkan pengunjung melakukan lawatan secara maya Galeri di UTM. Konsep Virtual 360˚ merupakan yang pertama di Universiti Awam di Malaysia. Galeri secara maya meliputi Galerium UTM, Galeri Tangga Ilmu, Galeri Terbuka, Galeri Tokoh Penyelidik, Galeri Raja Zarith Sofiah, Galeri Khazanah Intelektual Johor, Galeri UTMKL, Galeri KALAM dan Galeri Alam Bina.

b. UTMLenses adalah satu platform penyimpanan dan pengaksesan sepusat bahan multimedia UTM yang terdiri daripada gambar dan video berkaitan UTM. Ianya juga merupakan sistem yang pertama seumpamanya di kalangan Universiti Awam. Sistem pengindeksan  yang tersusun dan mudah dikesan ini bakal menjadikannya rujukan utama bahan multimedia koleksi gambar dan video universiti.

c.   Modul Artifak menghimpunkan pelbagai maklumat secara maya berkenaan artifak yang dipelihara dan dipulihara dengan baik mengikut tatacara piawai pemuziuman dunia.

d.    Modul Pameran menghimpunkan aktiviti pameran yang sedang dan telah dianjurkan oleh Galerium UTM.

Perpustakaan UTM terus mengorak langkah dengan inovasi dalam pembangunan sistem pengurusan perpustakaan menggunakan sistem sumber terbuka yang lebih komprehensif, mesra pengguna dan berimpak dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada warga UTM. Inovasi ini direalisasikan dengan kejayaan membangunkan Sistem Pengurusan Perpustakaan Baharu Sumber Terbuka : OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to Information) menggantikan sistem OPAC sedia ada iaitu LESTARI (Library Electronic System & Research Information). 

Sistem OCEAN boleh diakses melalui portal perpustakaan atau pada pautan https://opac.utm.my. Ianya berfungsi dalam pengurusan sistem pencarian bahan, peminjaman, pemulangan, rekod patron, Inter library loan, maklumat pinjaman/dendaan patron dan pengurusan lebih 700 ribu buah buku serta lain-lain bahan.

Paparan depan Sistem Katalog Atas Talian :
OCEAN (Online Catalogue for Easy     Access to Information)

Kejayaan inovasi dengan melaksanakan migrasi dari sistem pengurusan perpustakaan komersial (proprietary) kepada sistem sumber terbuka (open source)  berjaya menjimatkan kos sebanyak RM1.5 juta bagi tempoh 3 tahun dan seterusnya penjimatan kos peruntukan penyelenggaraan sistem dalam tempoh jangka panjang. Pendekatan ini penting dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan perpustakaan yang cekap dan berkesan dapat dikekalkan. 

Pertandingan Mencipta Nama Baharu Sistem Katalog Atas Talian (OPAC) Perpustakaan UTM 2020 yang telah diadakan pada 22-31 Disember 2020 dan terbuka kepada warga UTM. Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 153 penyertaan. Pemenang bagi pertandingan ini adalah saudari Kam Chui Fong, pelajar Tahun 2 dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains dengan nama OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to Information) yang berjaya mencerminkan fungsi sistem pengurusan perpustakaan.

Sistem UTM Virtual Gallery dan OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to Information) berjaya dibangunkan secara kendiri dengan kepakaran Pustakawan Perpustakaan UTM.

Barisan Pengurusan Tinggi Perpustakaan UTM diterajui oleh Ketua Pustakawan, Puan Noraziah Sharuddi turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengurusan Tinggi UTM, staf  dan pelajar UTM yang telah menyokong Perpustakaan UTM selama ini. Sekalung penghargaan dan terima kasih juga  kepada mantan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Bin Omar atas idea, inspirasi dan cabarannya kepada perpustakaan dalam merealisasikan kedua-dua sistem berkenaan.

Sebagai tandahati, perpustakaan menyerahkan sebuah plak QRCode UTM Virtual Gallery kepada Datuk Naib Canselor sebagai simbolik perasmian UTM Virtual Gallery dan dua buah buku sebagai tandahati bagi Perasmian Sistem Pengurusan Perpustakaan baharu iaitu OCEAN (Online Catalogue for Easy Access to information).

Barisan Pengurusan Tinggi Perpustakaan UTM diketuai oleh Ketua Pustakawan, Pn. Noraziah binti Sharuddin (berdiri tengah) 

Oleh:

Urusetia
Jawatankuasa Pelaksana Pelancaran UTM Virtual Gallery & 
Sistem Pengurusan Perpustakaan Sumber Terbuka OCEAN 
Perpustakaan UTM

Explore More