April 26, 2024

Search
Close this search box.

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung-julung kalinya telah mencipta sejarah sebagai fakulti pertama di UTM mengadakan majlis meraikan graduan fakulti bagi graduan tahun 2020.

Susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB), UTM telah menangguhkan majlis Konvokesyen ke-64 yang dijadualkan pada Oktober 2020 bagi semua graduan yang terlibat.

Dijangkakan jika keadaan kembali ke norma yang biasa, Majlis Konvokesyen ke-64 dan ke-65 akan diadakan menjelang Oktober 2021 yang akan datang.

Memahami dan menyelami isi hati para graduan, pihak pengurusan FSSH telah membuat keputusan untuk mengadakan majlis meraikan khas kepada 529 orang graduan yang terlibat.

Program tersebut diadakan secara ‘blended’ bagi pihak pengurusan FSSH dan dalam talian sepenuhnya bagi semua graduan yang diraikan bersama keluarga masing-masing.

Bagi majlis meraikan graduan kali pertama ini, seramai 65 orang ialah graduan Doktor Falsafah, 269 orang peringkat Sarjana manakala 195 orang lagi dari peringkat Sarjana Muda telah diraikan secara maya ini.

Daripada jumlah 195 orang graduan peringkat Sarjana Muda tersebut, seramai 70 orang merupakan penerima Anugerah Dekan iaitu 35 dari Sekolah Pendidikan (SoE) dan selebihnya dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS).

Program gilang gemilang ini dimulai dengan ucapan aluan dari Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana iaitu Prof Madya Dr Azlina Mohd Kosnin yang juga merupakan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), FSSH.

Pihak majlis juga telah memberikan kesempatan kepada tiga (3) orang wakil graduan untuk memberikan ucapan penghargaan dan terima kasih serta berbicara mengenai pengalaman mereka sepanjang mengikuti pengajian di FSSH,UTM sehinggalah mereka menamatkan pengajian di dalam bidang pengajian masing-masing.

Mereka yang diberikan penghormatan ini ialah graduan peringkat Phd dari Sekolah Pendidikan, Dr Aini Najwa bin Azmi dan 2 orang graduan peringkat Sarjana Muda iaitu Sdr Syed Ahmad Huzaimi bin Syed Mazlan dari Sekolah Pendidikan (SOE) dan Sdr Syazwina Bte Muhammad Khir dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi.


Pada majlis ini juga, Prof Dr Mohamad Sukri Bin Saud dari Sekolah Pendidikan (SOE) telah dipilih untuk menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak seluruh warga akademik FSSH, khususnya para penyelia yang telah bertungkus lumus membantu mengraduankan pelajar masing-masing.

Dalam ucapan yang disampaikan secara santai tersebut, beliau telah menyampaikan ucapan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dan menyampaikan nasihat untuk mereka terus menimba ilmu sepanjang kehidupan mereka selepas bergraduan nanti.

Majlis tersebut sampai ke kemuncak program iaitu ucapan perasmian dari Y.Brs. Prof. Ts. Dr. Zaidatun binti Tasir, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH).

Dalam ucapan yang penuh berinspirasi, Y.Brs. Prof. Zaida telah menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua graduan khususnya dan juga seluruh ahli keluarga graduan – ibu, bapa, suami, isteri dan anak-anak – atas kejayaan seluruh graduan yang berkenaan.



Beliau menyeru agar semua graduan juga terus menimba ilmu dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini dan terus menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melalui ilmu yang telah diperolehi sepanjang menimba ilmu di FSSH dan UTM.

Semua graduan sangat-sangat diharapkan dapat menyumbang kepada masyarakat menerusi ilmu dan kemahiran mereka ada.

Beliau juga mengalu-alukan semua alumni UTM ini dapat menjadi alumni aktif kepada Persatuan Alumni UTM khususnya dalam menyumbang semula kemahiran, ilmu dan pengetahuan mahupun dalam bentuk kewangan mereka kepada pada junior yang ada pada ketika ini melalui pelbagai platform yang disediakan oleh fakulti dan UTM

Buat julung-julung kalinya di peringkat fakulti telah diadakan Anugerah Tesis kepada graduan Phd dan Sarjana, serta Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik (PSM) kepada mereka yang terpilih melalui penilaian ketat yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Khas dan Panel Penilai terpilih.

Dari jumlah graduan Phd seramai 65 orang, seramai tiga (3) orang graduan telah dipilih memenangi Anugerah Tesis Terbaik iaitu :

1. Nasiru Mukhtar – Sekolah Pendidikan
2. Lau Ung Hua – Sekolah Pendidikan
3. Ahmed A. A. Shehab – RZS-CASIS

Dari jumlah graduan sarjana seramai 269 orang, hanya seorang (1) orang graduan telah dipilih memenangi Anugerah Disertasi Sarjana Terbaik iaitu :

1. Jibrin Mohammed Geidam – Sekolah Pembangunan Sumber Manusia Dan Psikologi

Dari jumlah graduan Sarjana seramai 269 orang juga, seramai dua (2) orang graduan telah dipilih memenangi Anugerah Projek Sarjana Terbaik iaitu :

1. Nadhratulhidaayah Binti Ismail – Sekolah Pendidikan
2. Khairunnisa Binti Sharom – Sekolah Pendidikan

Manakala dari jumlah graduan Sarjana Muda seramai 195 orang, seramai sepuluh (10) orang graduan telah dipilih memenangi Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik iaitu :

1. Noorfarahana Binti Ismail – Sekolah Pembangunan Sumber Manusia Dan Psikologi
2. Dan Wei Yee – Sekolah Pembangunan Sumber Manusia Dan Psikologi
3. Amira Binti Mohamad – Sekolah Pendidikan
4. Che Suhana Binti Che Mohd Nor – Sekolah Pendidikan
5. Mohd Amirul Bin Mohd Alias – Sekolah Pendidikan
6. Mohd Shaquile Bin Mohd Rostam – Sekolah Pendidikan
7. Muhammad Haziqhail Bin Ab Mubin – Sekolah Pendidikan
8. Nadhirah Nuruliman Binti Jailani – Sekolah Pendidikan
9. Nur Alwani Syahirah Binti Azmi – Sekolah Pendidikan
10. Yazlin Izzati Binti Yaakop – Sekolah Pendidikan

Melalui perancangan yang teliti dan kerjasama yang baik dari semua ahli jawatankuasa pengelola program, program ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan teratur serta mendapat sambutan yang baik dari semua graduan FSSH yang terlibat.

Akhirnya adalah menjadi harapan besar pihak fakulti semoga majlis meraikan graduan FSSH tahun 2020 ini berjaya memberikan kegembiraan dan keriangan kepada 572 orang graduan yang diraikan ini.

Semoga detik sejarah ini menjadi memori indah buat mereka sementara menunggu majlis Konvokesyen mereka yang di jadualkan pada Oktober 2021 yang akan datang.

*Link Majlis Meraikan Graduan FSSH 2020 – 2 Feb 2021 – https://www.facebook.com/humanities.utm/videos/322126572544745/
*Link eBook Majlis Meraikan Graduan FSSH 2020 – https://tinyurl.com/1x92qllz
*Link Video – https://www.facebook.com/367141090487913/posts/979631869238829/

Disediakan oleh :

Khairull Azmi bin Ishak
Timbalan Pendaftar
Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan

Explore More