November 26, 2024

Search
Close this search box.

Umumnya masih ramai masyarakat sekitar Kuala Lumpur yang masih belum mengetahui tentang kewujudan sebuah projek pertanian kebun komuniti yang bertempat di Hilir Sg. Bunus, Kuala Lumpur. Namun bagi warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan beberapa kumpulan komuniti sekitarnya, ianya bukanlah suatu perkara baharu.

Kebun komuniti yang telah beroperasi hampir lima tahun ini telah berjaya mendatangkan begitu banyak manfaat kepada pengusaha kebun, juga terhadap komuniti sekitar. Manfaat yang dimaksudkan bukan hanya dari segi hasil tuaian tani sahaja, ianya juga banyak menyumbang kepada aktiviti kelestarian ilmu dan perpindahan teknologi kepada komuniti tersasar melalui program-program berkala yang dianjurkan setiap bulan.

Kebun Komuniti merupakan aktiviti pertanian yang dijalankan di kawasan kejiranan. Projek ini merupakan cetusan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mewujudkan komuniti yang mengamalkan kelestarian dan telah diterjemahkan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara DBKL dengan pelbagai institusi dan komuniti termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2016.

Bagi melaksanakan projek ini, UTM melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dipertanggungjawabkan untuk memberi khidmat nasihat dalam tanaman herba, pokok buah-buahan dan sayuran, berkongsi kepakaran kaedah penanaman, menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta mendapatkan penyertaan dalam kalangan pelajar serta staf bagi menyokong pelaksanaan aktiviti yang dirancang.

Oleh itu sejak 2016, CCIN telah menjalankan pelbagai aktiviti bagi melaksanakan program ini dan segalanya berjalan dengan lancar. Namun pada penghujung 2019, masyarakat telah dikejutkan dengan serangan wabak Pandemik Covid-19. Seluruh dunia menerima kesannya. Tidak terkecuali juga dengan Malaysia.

Covid-19 telah merubah norma harian masyarakat. Aktiviti serta rutin harian rakyat Malaysia tidak lagi seaktif dahulu. Tiada lagi aktiviti keramaian, percutian keluarga, malah bersantai di kedai kopi pon telah menjadi satu kesalahan buat masa kini.

Begitu juga halnya dengan aktiviti pertanian di kebun komuniti di Sg. Bunus. Sehingga tarikh artikel ini ditulis, aktiviti pertanian di Kebun Bandar Sg Bunus masih lagi ditangguhkan. Kebun komuniti ini juga kurang terjaga dan belum lagi dibuka kepada komuniti sekitar.

Situasi ini mengundang kepada persekitaran kebun yang semakin tidak terurus dan berbahaya. Persoalannya, apakah masih releven aktiviti berkebun pada musim pandemik ini? Bagaimanakah pendekatan yang paling sesuai dan selamat untuk mempertahan serta menjamin kelangsungan aktiviti di kebun pada musim pandemik ini?

Inilah dia cabaran alaf baru yang perlu ditangani oleh masyarakat moden sekarang. Dengan berbekalkan teknologi canggih, serta informasi di hujung jari, adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk meneruskan hidup dan rutin harian dengan norma baharu, supaya ianya masih setanding dengan zaman sebelum pandemik melanda.

Pokok terung organik yang hidup subur di Kebun Bandar Sg Bunus

Banyak faktor yang menjadi sebab, mengapa aktiviti pertanian di Kebun Bandar Sg. Bunus wajar diteruskan. Salah satunya adalah faktor jana semula ekonomi. Pandemik Covid-19 telah menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk. Rakyat terjejas sumber pendapatan dan peluang pekerjaan juga semakin berkurang. Pada masa ini, hasil tani sedikit sebanyak dapat membantu meringankan ekonomi keluarga komuniti yang terjejas. Bahan asas makanan harian seperti ulam-ulaman, buah, juga sayuran kontan dapat dituai dengan percuma.

Juga terdapat ratusan ikan tilapia yang menghuni dasar Kolam Tebatan Banjir Sg. Bunus yang sedia untuk dipancing bagi dijadikan santapan harian. Mungkin jumlahnya tidak banyak, namun ianya memadai bagi menampung keperluan pengusaha kebun dan masyarakat sekitar yang memerlukan. Oleh yang demikian, masyarakat dapat berjimat dalam perbelanjaan harian.

Namun begitu, tahap kesedaran masyarakat terhadap usaha kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 ini haruslah sentiasa ditingkatkan. Bilangan ahli yang terlibat dalam suatu aktiviti, pada satu-satu masa hendaklah dihadkan mengikut saranan pihak MKN. Sebaiknya, perbanyakan notis mahupun kain rentang berkaitan keperluan menjaga SOP di sekitar Kebun Bandar Sg. Bunus, agar pengusaha kebun sentiasa berwaspada terhadap jangkitan wabak ini.

Antara lain, kaedah penggiliran terhadap sembilan pemegang taruh yang bertanggungjawab terhadap operasi pertanian di Kebun Bandar Sg. Bunus ini juga wajar dilaksanakan bagi menjamin kelestarian aktiviti pertanian ini. Ini bertujuan bagi mengelakan keadaan sesak dan situasi yang terlalu ramai di kebun komuniti tersebut. Ahli kebun juga dinasihatkan supaya dapat memastikan dirinya berada dalam keadaan benar-benar sihat, bebas dari sebarang simptom yang meragukan, sebelum hadir berkebun.

Antara tanaman lain yang ada di Kebun Bandar Sg. Bunus

Norma baharu bagi aktiviti berkebun ini dijangkakan bakal berterusan buat masa yang panjang, berikutan masih belum ada vaksin yang benar-benar berkesan telah tercipta. Tahun 2020 dan 2021 dijangka menjadi tahun yang amat mencabar buat dunia dan masyarakat Malaysia khususnya kerana ujian serta dugaan Pandemik Covid-19 yang melanda.

Semoga wabak ini akan segera berakhir bagi membolehkan aktiviti pertanian di Kebun Bandar Sg. Bunus dapat dijalankan seperti biasa.

Diharap agar masyarakat sentiasa mengamalkan konsep 3P dalam aktiviti harian, iaitu Pakai Pelitup Muka, Pencucian Tangan dan Penjarakan Sosial. Elakkan juga 3S iaitu Tempat Sesak, Tempat Sempit dan Sembang secara Dekat. Semoga Malaysia kembali pulih dan rakyat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

#KitaJagaKita

Explore More