April 25, 2024

Search
Close this search box.

FABU Julung Kali Raikan Graduan Melalui Konvokesyen Dalam Talian

Johor Bahru, 21 Feb – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan Majlis Meraikan Graduan FABU 2020  pada 21 Februari 2021 yang lalu untuk meraikan graduan yang telah menamatkan pengajian mereka di FABU dengan cemerlang.

Penularan wabak Covid-19 yang diklasifikasi sebagai pandemik telah memberi impak kepada penganjuran Majlis Konvokesyen di peringkat Universiti.

Oleh yang demikian, pihak pengurusan FABU telah mencetus inisiatif untuk meraikan seramai 728 orang graduan yang terdiri daripada 543 orang graduan Ijazah Sarjana Muda, 145 orang graduan Ijazah Sarjana dan 40 orang graduan Ijazah Doktor Falsafah.

Manakala 152 orang graduan Ijazah Sarjana Muda merupakan penerima Anugerah Dekan bagi tahun 2020.

Majlis yang gilang-gemilang ini telah membuka tirainya dengan ucapan aluan oleh Dekan FABU, Y.Brs. Prof. Sr Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali. Dalam ucapannya, beliau menyeru para graduan untuk membina kekuatan bagi menghadapi ranjau yang mendatang selain berfikir secara pragmatik dan realistik dalam mencari pekerjaan pada kala pandemik yang melanda negara dan dunia.

Beliau juga menyeru agar para graduan untuk berani meneroka peluang di luar kebiasaan untuk membangungkan dan meneruskan kerjaya.

Y.Brs. Prof. Sr Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor UTM, Y.Bhg Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan kepada FABU untuk menuju kecemerlangan.

Gambar 1: Ucapan aluan oleh Dekan FABU, Y.Brs. Prof. Sr Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali

Majlis ini juga telah memberi peluang kepada dua (2) orang wakil graduan untuk menyampaikan ucapan penghargaan serta berkongsi pengalaman mereka sepanjang pengajian di FABU, UTM.

Wakil graduan pascasiswazah ialah Dr. Dalhatu Aliyu Sani dari graduan Ijazah Doktor Falsafah Geoinformatik dan wakil graduan prasiswazah Saudari Suhaili Najwa binti Masrul, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Geoinformatik.

Gambar 2: Ucapan penghargaan oleh wakil pascasiswazah, Dr. Dalhatu Aliyu Sani
Gambar 3: Ucapan penghargaan oleh wakil prasiswazah, Saudari Suhaili Najwa binti Masrul

Dalam ucapan mereka, telah dikongsikan pengalaman suka dan duka sepanjang mereka berada di FABU secara khususnya bagi menyelesaikan pengajian dan matlamat masing-masing.

Di kesempatan itu juga, wakil graduan tersebut mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pensyarah, pihak pengurusan fakulti dan universiti atas usaha yang teguh dalam membantu pelajar-pelajar untuk terus cemerlang sehingga mereka berjaya menamatkan pengajian.

Majlis Meraikan Graduan FABU 2020 melaburkan tirainya dengan nyanyian lagu Keunggulan Terbilang dan lambaian terakhir daripada graduan, pensyarah, staf dan ibu bapa. Dengan itu, seramai 543 orang graduan FABU 2020 secara rasminya telah menjadi alumni UTM. Semoga majlis ini membawa kegembiraan kepada semua graduan yang diraikan.

Gambar 4: Sesi bergambar bersama para graduan, pensyarah dan staf FABU melalui Webex

Link Facebook Majlis Meraikan Graduan FABU 2020 : https://fb.watch/3P754cYR_J/

Disediakan oleh:

Hanis Amirah binti Roslin

Pembantu Setiausaha Pejabat

Fakulti Alam Bina dan Ukur

Explore More