Disember 26, 2024

Oleh : Prof Madya Dr. Arieff Salleh Bin Rosman

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada ‘al-Asyhur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati).

Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)….”
Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan.

Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya’ban.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.


Antara amalan soleh yang digalakkan untuk dilakukan pada bulan Rejab ialah:
1) Berdoa pada malam 1 Rejab
‘Abd al-Razzaq melaporkan, “Dan telah menceritakan kepada aku seseorang yang telah mendengar Baylamani menceritakan daripada bapanya, daripada Ibnu ‘Umar, bahawa dia telah berkata, ‘Terdapat lima malam, yang tidak ditolak doa padanya, iaitu malam Jumaat, malam pertama bulan Rejab, malam nisfu Sya’ban, malam Hari Raya Fitri dan malam Hari Raya Adha.’” (‘Abd al-Razzaq, al-Musannif, jil. 4, hlm. 317) Imam al-Syafi’i berkata, “Telah sampai kepada kami khabar yang mengatakan bahawa doa akan dimakbul pada lima malam: malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, malam pertama bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban…Saya suka kepada semua khabar yang menjelaskan tentang kelebihan beramal pada kelima-lima malam tersebut, dengan syarat ia tidak dianggap sebagai wajib.” (al-Syafi’i, Kitab al-‘Um, jil. 1, hlm. 264

Kita turut digalakkan berdoa sepanjang bulan Rejab. Anas bin Malik melaporkan, “Apabila masuk bulan Rejab, Nabi akan berdoa, ‘Allahumma barik lana fi Rajab wa Sya’ban, wa ballighna Ramadhan (Ya Allah. Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban. Sampaikan kami bertemu dengan bulan Ramadhan).” Hadis da’if direkodkan oleh Imam al-Suyuti (al-Suyuti, al-Jami’ al-Saghir, hadis no. 6660).

2) Berpuasa sunat
Antara amalan sunat yang digalakkan pada bulan Rejab ialah berpuasa. Uthman bin Hakim al-Ansari melaporkan, ‘Saya bertanya kepada Sa’id bin Jubayr berkaitan puasa sunat bulan Rejab, pada ketika itu kami sedang berada dalam bulan Rejab. Sa’id bin Jubayr menjawab, ‘Saya pernah mendengar Ibnu ‘Abbas berkata, ‘Rasulullah saw berpuasa sunat pada bulan Rejab, sehingga kami berkata, ‘Baginda berpuasa setiap hari, tanpa meninggalkannya.’

Terkadang baginda tidak berpuasa, sehingga kami berkata, ‘Baginda tidak berpuasa sepanjang bulan Rejab.’” Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim (Muslim, Sahih Muslim, jil. 2, hlm. 811, hadis no. 1157)

Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i, puasa sunat yang terbaik selepas puasa wajib Ramadhan adalah berpuasa pada bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Yang paling afdal ialah puasa sunat bulan Muharram, kemudian bulan Rejab, dan selanjutnya bulan Zulkaedah dan Zulhijjah (Al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, jil. 3, hlm 474; al-Nawawi, al-Majmu’, jil. 6, hlm. 386; Ibnu Hajar al-Haytami, al-Minhaj al-Qawim, jil. 1, hlm. 264, Tuhfat al-Muhtaj, jil 3, hlm. 461; al-Khatib al-Syarbini, al-Iqna’, jil. 1, hlm. 246; al-Malibari, Fath al-Mu’in, hlm. 281; al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, jil 3. Hlm 211; al-Qalyubi & ‘Umayrah, Hasyiata Qalyubi wa ‘Umayrah, jil 2. Hlm 94; al-Jamal, Hasyiah al-Jamal, jil 2, hlm. 348; al-Bujayrami, Hasyiah al-Bujayrami, jil 2, hlm 407; al-Bakri, I’anah al-Tolibin, jil 2, hlm 307; Nawawi al-Banteni, Nihayat al-Zayn, jil 1, hlm 197)
al-Mawardi (w 450H) menjelaskan, “Disunatkan berpuasa pada ‘Syahr Allah al-Asam’ (bulan Allah yang agung) iaitu bulan Rejab” (al-Mawardi, al-Iqna’ fi al-Fiqh al-Syafi’i, hlm. 80). Beliau selanjutnya menjelaskan dalam kitabnya ‘al-Hawi al-Kabir’, “Antara bulan yang disunatkan berpuasa ialah bulan Rejab…diriwayatkan oleh ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah saw bersabda, “Berpuasa pada hari pertama bulan Rejab menjadi kaffarah dosa yang dilakukan selama tiga tahun. Berpuasa pada hari kedua bulan Rejab, menjadi kaffarah dosa yang dilakukan selama dua tahun.

Manakala berpuasa pada hari ketiga bulan Rejab, menjadi kaffarah dosa yang dilakukan selama setahun. Kemudian puasa sunat pada hari yang selanjutnya, puasa satu hari, menjadi kaffarah bagi dosa yang dilakukan selama sebulan.” (Al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, jil. 3, hlm 474). Hadis ini merupakan hadis da’if (al-Suyuti, al-Jami’ al-Saghir, hadis no 5034)

Ibnu al-Solah (w 643H) menjelaskan fatwanya berkaitan isu orang yang berpuasa sunat sebulan penuh pada bulan Rejab, “Orang yang melakukan puasa sunat selama sebulan penuh di bulan Rejab tidak berdosa, serta tiada ulama’ yang mengatakan orang itu berdosa kerana puasa tersebut. Walaupun sebahagian para ulama’ huffaz hadis menjelaskan bahawa tiada hadis sahih yang menyatakan tentang kelebihan berpuasa sunat pada bulan Rejab secara khusus, namun ia tidak menjadi penghalang bagi seseorang zahid ahli ibadah untuk melakukan puasa sunat Rejab.

Kerana terdapat dalil yang bersifat umum tentang kelebihan berpuasa sunat. Serta hadis yang dikemukakan dalam kitab Sunan, seperti Sunan Abu Daud, dan lain-lain, yang menyatakan kelebihan berpuasa sunat pada bulan haram, sudah mencukupi untuk dijadikan dalil menggalakkan berpuasa sunat di bulan Rejab” (Ibnu al-Solah, Fatawa Ibnu al-Solah, jil. 1, hlm. 180)

Oleh : Prof Madya Dr. Arieff Salleh Bin Rosman

Akademi Tamadun Islam,

Universiti Teknologi Malaysia

Explore More