November 25, 2024

Search
Close this search box.

Penulis: Yusri Kamin, Darwisyah Abd Aziz, Mohd Zolkifli Abd Hamid, Mohd Safarin Nordin

Pada 21 Januari 2021, satu seminar bertajuk ‘Isu Pemantapan Dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV)’ secara dalam talian telah berlangsung dengan jayanya. Seminar ini dianjurkan oleh pelajar tahun 1 semester 2 kursus Pengantar Pendidikan Teknikal Dan Vokasional (SHPE2022).

Seminar dalam talian ini telah melibatkan seramai 67 pelajar daripada program SHPH, SHPJ, SHPQ dan SHPR dari Sekolah Pendidikan FSSK, dan dilaksanakan menerusi platform Webex.

Tujuan seminar ini dijalankan adalah sebagai suatu medium bagi pelajar untuk menguasai kemahiran generik dan sebagai memenuhi sebahagian daripada keperluan kerja kursus SHPE2022.

Seminar ini telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh Y.Berbhg Dr Mohd Zolkifli  Abd Hamid selaku Penyelaras Kursus, manakala penceramah jemputannya ialah Tuan Haji Ahmad Bin Abu Samah. Tuan Hj Ahmad merupakan Pensyarah Utama di Kolej Komuniti Kluang, Johor dan merupakan Alumni UTM daripada program Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan Kejuruteraan Mekanikal (1993-1996). Seminar dalam talian ini dijalankan bagi mendapatkan pandangan dan perkongsian pengalaman mengenai usaha-usaha pemantapan PTV dalam industri dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengajukan soalan semasa sesi soal jawab.

Antara intipati ceramah tersebut adalah berkenaan tahap kebolehpasaran graduan KV (Kolej Vokasional) kejuruteraan awam dalam industri. Antara faktor yang menyebabkan graduan kejuruteraan sukar untuk mendapat pekerjaan  adalah disebabkan mereka tidak mempunyai kemahiran teknologi baharu. Oleh itu, para pelajar perlu jelas dan mempersiapkan diri  untuk menghadapi cabaran dalam industri pada masa hadapan. Mereka perlu menguasai bukan sahaja kemahiran teknikal tetapi juga kemahiran bukan teknikal yang diperlukan bagi memenuhi kehendak semasa di industri.

Tuan Hj Ahmad juga memfokuskan kepada isu kebolehpasaran graduan PTV di Malaysia. Beliau menyatakan, pada tahun 2018,  90% graduan dari 15 KV berjaya mendapat pekerjaan dalam industri. Namun isu kebolehapasaran ini sedikit sebanyak membawa kerisauan kepada pelajar yang mengikuti program PTV di Malysia.

Oleh yang demikian, pelajar digalakkan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka bagi meningkatkan lagi nilai dalam diri mereka. Secara tidak langsung, topik yang dibincangkan ini memberi gambaran sebenar kepada pelajar tentang realiti yang akan mereka tempuhi apabila mereka memasuki pasaran kerja setelah tamat pengajian nanti.

Selain itu, penceramah turut menyentuh tentang senario dunia pendidikan semasa yang terkesan oleh pandemik COVID-19. Cabaran  pasca pandemik juga merupakan satu lagi isu bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran berubah kepada mod secara dalam talian dengan menggunakan pendekatan pembelajaran secara campuran (blended-learning) atau pendidikan hibrid.

Ia memberi kesan kepada semua pelajar dan warga pendidik terutama yang melibatkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang menekankan kepada kaedah pembelajaran berasaskan amali atau praktikal. Ia turut menjadi cabaran utama tentang bagaimana menangani kaedah pengajaran yang terbaik agar kemahiran dan pengetahuan dalam bidang pengkhususan dapat dikuasai seperti dalam keadaan normal.

Pendekatan kreatif dalam pembelajaran dan pengajaran merupakan perkara yang seharusnya difikirkan bersama. Sebagai contoh, beliau menyatakan, antara cabaran yang dihadapi oleh guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) adalah tahap pengetahuan guru yang masih rendah berkenaan topik yang hendak diajar, peruntukkan masa pembelajaran dan pengajaran (teori dan amali) yang agak terhad, keperluan kursus upskilling kepada guru yang terlibat dan ketersediaan Alat Bantu Mengajar.

Ketika pandemik COVID-19 ini menular secara agresif ke serata dunia, cabaran yang dihadapi oleh guru menjadi lebih besar. Ini adalah kerana mereka tidak dapat mengajar secara bersemuka dan melakukan kerja amali secara hands-on. Justeru kita semua perlu bersedia untuk menempuh cabaran dan rintangan dalam menjalani kehidupan norma baharu.

Ucapan aluan dan perasmian seminar oleh Dr. Mohd Zolkifli Bin Abd Hamid selaku penyelaras program

Seminar dijalankan dengan pembentangan slaid daripada Tuan Haji Ahmad Bin Abu Samah selaku penceramah jemputan

Cik Nur Athierah membacakan soalan daripada pelajar di ruangan sembang sewaktu sesi soal jawab dijalankan

Sesi bergambar bersama penceramah sebelum sesi webinar tamat

Explore More