Disember 22, 2024

“Wacana Dekolonisasi Intelektual” Memenuhi Keperluan Kursus Umum Falsafah Dan Isu Semasa

Bermula sesi pengajian 2019/20 kursus Falsafah dan Isu Semasa wajib diambil oleh mahasiswa dalam tempoh pengajian mereka di universiti sebagai prasyarat graduasi. Kursus ini merangkumi pengenalan terhadap ilmu falsafah yang turut mencakupi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukunegara.

Penggunaan falsafah sebagai alat untuk memurnikan budaya pemikiran dalam kehidupan melalui seni dan kaedah berfikir serta konsep insan. Topik utama dalam falsafah iaitu epistemologi, metafizik dan etika dibincangkan dalam konteks isu semasa. Penekanan diberi kepada falsafah sebagai asas bagi menjalin dialog antara budaya serta memupuk nilai sepunya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Menerusi kursus ini juga, pelajar diharapkan akan mampu melihat pelbagai disiplin ilmu sebagai suatu ‘body of knowledge‘ yang komprehensif dan saling berkait antara satu sama lain. Usaha mewajibkan kursus Falsafah dan Isu Semasa ini bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memfokuskan kepada agenda reformasi pendidikan di Malaysia yang antaranya menekankan pendidikan berteraskan nilai dan kemanusiaan.

Justeru dalam memberikan pemahaman dengan lebih baik dan membuka minda para pelajar, satu inisiatif diambil dengan mengadakan wacana anjuran Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (iLeaGue), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Wacana Dekolonisasi Intelektual ini akan memberi penekanan kepada pemahaman konsep dekolonisasi serta mengajak pelajar untuk berfikir secara kritis isu-isu kontemporari yang muncul daripada pelbagai ideologi. Pelajar akan didedahkan dengan pelbagai isu kontemporari dan cuba menghubungkait isu tersebut mengikut perspektif falsafah agar tidak terpengaruh dengan ideologi yang songsang dan merosakkan.

Wacana ini dianjurkan juga adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada pelajar berkenaan dekolonisasi dan isu kontemporari berkaitan dekolonisasi. Selain itu juga, sebagai persediaan kepada pelajar dari segi mental dan kefahaman pelajar berkaitan pelbagai isu kolonisasi minda.

Dua panel berpengalaman dalam bidang falsafah dan isu semasa diundang dalam mengupas topik yang diberikan iaitu Prof. Dr. Kamaruzaman bin Yusoff dari Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia dan Prof. Madya Dr. Nasruddin bin Yunos dari Pusat Citra UKM yang di moderatorkan oleh Dr. Nur Najwa Hanani Binti Abd Rahman. Hasil wacana ini diharapkan pelajar mampu mendapat pemahaman yang baik serta menyeluruh tentang budaya sendiri dan orang lain untuk mempertimbangkan isu semasa yang melibatkan kepelbagaian nilai dan pandangan.

Wacana Dekolonisasi Intelektual ini dianjurkan secara dalam talian menggunakan aplikasi webex dan siaran langsung melalui Facebook Akademi Tamadun Islam dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM. Program ini berjalan dengan lancar dan jayanya.

Seramai hampir 3500 peserta yang terdiri daripada pelajar UTM yang menyertai wacana ini malah mendapat sambutan juga dari pelajar dan pensyarah dari universiti lain seperti UKM, USIM dan UPSI. Rata-rata mendapat maklum balas yang psotif dari para pelajar dan peserta yang menyatakan wajar wacana seperti ini dianjurkan lagi kerana mereka mendapat banyak input dan manfaat.

Penganjuran  Wacana  ini diketuai oleh Dr. Nur Najwa Hanani Abd Rahman dan dibantu oleh, Dr. Mohammad Naqib Hamdan, Dr. Akmaliza, Abdullah, Dr. Mohd Khairy Kamaruddin, Dr. Nasiibah Ramli dan Dr. NorHidayu Mohammad Zain merupakan pensyarah-pensyarah dari Akademi Tamadun Islam.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan Wacana Dekolonisasi Intelektual 2021 Siri 1.

Explore More