Virtual Sport Innovation Carnival 2020 Perkasa Kreativiti dan Inovasi Dalam Kalangan Pelajar

Disediakan oleh : Diyana Zulaika Abdul Ghani, Asha Hasnimy Mohd Hashim, Zainal Abidin Zainuddin, Halijah Ibrahim & Nur Arissha Shafiqa binti Mohd Aris

Penganjuran Virtual Sport Innovation Carnival 2020 (VSIC2020)yang julung kalinya dianjurkan oleh pelajar-pelajar program Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Sains Sukan) telah menjadi satu wadah kepada pelajar untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam bidang sukan.

Program ini diadakan bagi menyokong Program Online Global Classroom (OGC) dan Festival Keusahawanan, Inovasi dan Kebolehpasaran Graduan (FesKIK), FSSK UTM. 

Penganjuran VSIC2020 telah mendapat sokongan dan kerjasama yang baik bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia.

Program VSIC2020 dibahagikan kepada dua acara iaitu Virtual Sport Innovation Showcase (VSIS) dan Webinar Online Global Classroom. VSIS telah memberi ruang kepada peserta (pelajar dan penyelidik) untuk mempamerkan serta mempertandingkan projek inovasi sukan yang bermula dari 2 hingga 27 Disember bagi meraih Anugerah Kategori Inovasi Terbaik dan Poster Terbaik.

Penentuan pemenang projek inovasi diumumkan pada 31 Disember 2020 semasa Webinar Online Global Classroom melalui penjurian oleh Juri Khas yang terdiri dari pihak universiti dan industri.

Inilah yang akan menjadi asas kepada kecemerlangan universiti sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berinovasi dan menyerlahkan daya kreativiti. Kreativiti dan inovasi juga merupakan elemen penting dalam agenda pembangunan negara selari dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) kerana ia meningkatkan produktiviti dan daya saing untuk menjadi sebuah negara maju dan inklusif.

Acara kemuncak program VSIC2020 iaitu Webinar Online Global Classroom telah dilaksanakan pada 31 Disember 2020 yang telah bersiaran secara langsung selama 4 jam tanpa henti di tiga platform secara dalam talian.

Ia telah berjaya menarik lebih dari 1.5k viewers dari dalam dan luar negara melalui platform Facebook Festival Keusahawanan Inovasi dan Kebolehpasaran Graduan (FesKIK2020), Facebook FSSK, UTM dan saluran youtube FSSK, UTM.

Sesi perkongsian ilmu melalui Webinar Online Global Classroom yang dikendalikan oleh empat penceramah iaitu Dr. Diyana Zulaika binti Abdul Ghani (Pensyarah Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, UTM), Ts. Dr. Hadafi Fitri bin Abdul Latip (Timbalan Pengarah Pusat Inovasi Sukan dan Teknologi (SITC), Fakulti Kejuruteraan, UTM), Dr. Nurul Ihsan, M.Pd (Timbalan Dekan III Bahagian Kemahasiswaan dan Alumni, Fakulti Keolahragaan, Universitas Negeri Padang), dan Ts Mohamad Fauzi Ibrahim (Ketua Cawangan Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Sukan, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Institut Sukan Negara) telah berjaya mengupas dan membincangkan isu yang berkaitan.

Program ini dilihat sangat membantu pelajar dalam menghasilkan idea inovasi bagi kemajuan sektor sukan negara. Selain berupaya mencabar peserta untuk bersikap berani dan berdaya saing, peserta juga berpeluang untuk mempunyai pemikiran kreatif dan kritis sesuai dengan era revolusi industri 4.0. Kreativiti dan inovasi merupakan aset kepada kecemerlangan prestasi universiti dan pada masa sama melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran daya pemikiran tinggi.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan Virtual Sport Innovation Carnival 2020 (VSIC2020).

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *