PKP : POTENSI ATAU PENGHALANG?

GUNAKAN WAKTU PKP SEBAGAI MATA LEBAH UNTUK MENCARI PEDOMAN DAN HIKMAH DALAM KEHIDUPAN.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) telah masuk fasa kesekian kalinya, kali ini terbahagi kepada 3 zon PKP, PKPB dan PKPD. Siapa sangka dalam tempoh 2 minggu berlanjutan hingga ke 3 bulan sehingga 6 bulan dan kini setahun, sehingga ia diberi nama baharu sebagai Normal Baharu yang perlu diadaptasi oleh setiap golongan masyarakat.

Banyak yang telah dibincangkan dalam artikel-artikel lain pada musim PKP ini, ada yang menyatakan ia sebenarnya telah lama berlaku dan diamal kan seperti pelaksanaan kelas online menggunakan teknologi, memasak di rumah dan kebersihan diri yang perlu dijaga. Sebagai contoh ialah apa yang diamalkan dalam ajaran agama Islam iaitu mengambil wudhu sebanyak 5 kali sehari sebelum menunaikan solat wajib. Cuma apabila berlaku PKP, ia direalisasikan secara mendadak oleh semua pihak demi meneruskan kelangsungan hidup pada kala wabak pandemik.

Syukur Alhamdullilah di sebalik ujian yang berlaku, pelbagai manfaat yang telah di perolehi di Musim PKP. Sesungguhnya, Allah swt tidak akan menguji hamba-Nya luar dari kemampuan mereka. Di sebalik ujian, terserlah pelbagai hikmah dan terdapat pelbagai kebaikan yang telah diperolehi di Malaysia.

Sebagai contoh Askar dan Polis bersatu menjalankan tugas demi mengelakan wabak covid-19 tersebar luas, warga Pusat Kesihatan dan hospital menjadi frontliner utama dalam mengurangkan risiko wabak, peranan ahli politik dan Menteri Malaysia dalam memastikan negara sentiasa selamat dari ancaman coronavirus, akhir sekali setiap ahli masyarakat menggunakan masa PKP sebaik mungkin bersama keluarga di rumah dan memastikan ahli keluarga mereka sentiasa selamat dari wabak coronovirus ini.

Di kala wabak ini berlaku, kita mendengar pelbagai berita di media yang menyatakan air sungai menjadi semakin bersih, jika dulu tiada ikan yang datang dan kini ada ikan, tiada lagi asap kilang dan kenderaan yang mengakibatkan penipisan ozon, industri revolusi 4.0 di adaptasi sepenuhnya melalui komunikasi alam maya, keadaan rumah yang semakin terjaga jika dahulu tiada kesempatan dan pelbagai manfaat lagi.

Kini masyarakat telah sedar setiap masalah yang berlaku itu, jawapan hanya bukan melalui suatu kaedah sahaja. Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah, tidak semestinya secara bersemuka malah masalah juga boleh diselesaikan secara online atau dari jauh. Ini menunjukan dunia ke arah fleksibiliti dan tidak lagi rigid dengan cara yang lama iaitu mesti bersemuka setiap masa untuk penyelesaian masalah.

Penulis juga ingin mengucapkan kesyukuran ke hadrat illahi atas limpah kurnia-Nya, wabak covid 19 ini menyebabkan ahli keluarga yang beragama Islam dapat solat berjemaah bersama di rumah dan kebetulan ia berlaku di bulan Ramadhan pada tahun lepas. Kali pertama dalam sejarah solat sunat tarawih dan Solat Sunat Aidilfitri berlaku di kalangan ahli keluarga. Adik-beradik dan ahli keluarga bergading bahu dalam memastikan amalan mulia ini berterusan walaupun di musim PKP.

Selain itu, kebiasaannya anak – anak yang berkerja di perantauan akan balik kampung dua atau tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Akan tetapi kali ini, ahli keluarga dapat berbuka dan bersahur bersama ibu dan ayah lebih daripada dua minggu. Waktu dan masa orang tua kita tidak lama, gunakan masa ini sebaik mungkin untuk berbakti kepada mereka. Mereka adalah penyokong kita dalam apa jua situasi yang berlaku. Yang dapat berada di rumah bersama orang tua, pastikan rumah anda sentiasa selamat dari wabak covid-19. Ikut arahan yang telah diberikan oleh kerajaaan dan jangan keluar rumah tanpa kawalan seperti penggunaan face mask dan hand sanitizer kerana wabak ini mudah dijangkiti kepada golongan orang tua dan bayi. Justeru, setiap orang perlu mainkan peranan masing masing supaya tidak berlaku sebarang musibah akibat kecuaian terhadap covid-19.

Selain itu, pada masa PKP ini ramai pakar – pakar yang ada di Malaysia telah keluar dan turun padang untuk membantu masyarakat. Pelbagai kelas, forum, bengkel, kursus secara online telah dijalankan. Hampir setiap hari masyarakat Malaysia boleh memilih channel pilihan untuk belajar dan menuntut ilmu. Malahan universiti terkemuka dunia seperti Harvard membuka kelas online secara percuma.

Kebiasaannya untuk menjemput pakar-pakar yang ada memakan jumlah kos yang tinggi, akan tetapi di kala fasa PKP ini semua pakar telah berganding bahu untuk sama – sama membantu dan menyediakan platform online untuk masyarakat malahan ada yang dijalankan secara percuma. Persatuan-persatuan dan NGO sedia ada juga tidak kurang hebatnya, turun padang membantu golongan gelandangan dan yang tidak berkemampuan. Mereka bertindak secara luar biasa, iaitu sanggup mengambil risiko covid 19 demi membantu orang susah. Satu usaha murni, yang sangat baik dalam memastikan tiada yang terlepas pandang dalam golongan masyarakat di Malaysia seperti bencana banjir yang baru berlaku. Terima kasih juga kepada pihak kerajaan yang berjaya berfungsi dengan baik dan menyediakan bantuan kepada setiap lapisan masyarakat di kala wabak pendemik dunia ini.

Justeru, setiap orang mempunyai pilihan dalam memastikan diri sendiri agar tidak hanyut disebabkan oleh wabak covid 19 ini. Ya benar, setiap orang mempunyai ujian yang berbeza-beza, dan tidak seharusnya solusi itu di pukul rata kepada semua pihak. Setiap individu perlu memainkan peranan penting dalam membantu ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat di sekeliling kita. Bersama kita berganding bahu dan bersatu-padu agar berjaya menghapuskan wabak covid 19 ini dari terus menular di Malaysia.

Pasti kita tidak mahu mendengar kematian dalam kalangan ahli jemaah yang berdekatan kerana di sebabkan oleh penyakit coronavirus. Gunakan waktu covid 19 ini untuk memberi kemudahan kepada kita untuk mudah bangun malam untuk menunaikan Qiammullai seperti yang diajar dalam ajaran Islam. Ia peluang untuk kita melakukan solat hajat, solat tahajud, solat taubat dan lain lain agar terhindar dari segala fitnah jahat di dunia ini dan terlindung dari wabak penyakit dan perkara yang tidak baik. Jadikan waktu yang anjal dan flexible di kala covid-19 ini untuk kita banyak berdoa mohon bantuan ALLAH SWT, agar kita dilindungi rahmat-NYA.

Situasi wabak covid-19 ini bukan satu penghalang kepada masa depan kita, jadikan ia sebagai satu potensi besar untuk kita terus berjaya. Tiada siapa yang sempurna dan tiada siapa yang kekal abadi, bersama kita muhasabah diri atas kelemahan yang ada dan perbaiki semula untuk meneruskan perjuangan kehidupan ini. Pelbagai spekulasi yang timbul dan pelbagai tanda tanya yang menjadi persoalan, adakah kita sudah sampai di akhir zaman di mana dunia semakin tua malah ada yang mengatakan covid-19 ini adalah satu perbuatan yang terancang sebagai pencetus New World Order dan bukan jadi secara tiba tiba.

Walau apapun tanda tanya di benak pemikiran anda, ada 1 jawapan yang pasti dan tepat. Mati itu bila – bila boleh berlaku dan mati itu adalah pasti. Tiada siapa pun di antara kita tahu dan akan terlepas dari perkara tersebut iaitu bila hari kita akan bertemu ajal kita. Jadi gunakan dan hadamkan setiap khabar berita yang kita dapat dengan penilaian dan keputusan tindakan yang baik dan agar kita tidak sebarkan fitnah yang tidak betul dan akan menjadi bala kepada diri kita sendiri dan masyarakat.

Secara Tuntasnya, jangan takut atau rasa kesal sekiranya apa yang kita lakukan selama ini tidak dihargai dan tidak dinilai secara adil. Yang Maha Adil itu hanya datang dari ALLAH SWT, yang buruk itu datang dari sendiri.  Jadilah seperti UWAIS B QORNI, nama nya tidak dikenali di kalangan manusia akan tetapi terkenal di atas langit. Terus lakukan kebaikan, kerana ALLAH Maha Mengetahui.

Akhir kata, Bulan Ramadahan bakal menjelang tiba nanti dan Hari Raya Aidilfitri itu pasti setiap tahun, akan tetapi wabak covid-19 ini boleh menyebabkan kita tidak jumpa lagi Bulan Ramadhan dan Raya Aidilfitri pada tahun depan dan mendatang. Justeru itu, bersamalah kita mohon dan panjatkan doa memohon bantuan ALLAH SWT di kala pandemik ini agar terlindung dari penyakit, bahaya dan fitnah. Teruskan bangkit Negaraku, bersama kita jaga kita dengan bantuan ALLAH SWT.

Akhir kata, Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Yang Menjalankan Amanah,

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (012-5015090)

Pensyarah kanan dan Felo Penyelidik,

Sports Innovation Technology Centre (SITC)

Institut Human Centred Engineering (IHUMEN)

Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK)

Fakulti Kejuruteraan (FK), Universiti Teknologi Malaysia.