November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 8 Jan. — Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Johor Bahru mengambil inisiatif yang bermanfaat untuk memberi inspirasi dan mencetus semangat guru-guru untuk beroleh peluang memenangi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) melalui sebuah perkongsian ‘Tips Menang HLP’.

Perkongsian ini diadakan secara dalam talian melibatkan panel yang bertanggungjawab dan berpengalaman terhadap permohonan HLP.

Seiring dengan matlamat dan seruan sumbangan pihak universiti kepada masyarakat untuk membangunkan insan yang berkualiti, program ini lebih tertumpu kepada perkongsian pengalaman dan bagaimana tindakan yang sewajarnya diambil oleh guru-guru untuk meraih kemenangan skim ini dan secara tidak langsung untuk menyuntik semangat guru bagi meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.

 Menurut Puan Nur Izzati Marzuki, Ketua Penolong Setiausaha Cawangan Penawaran Bahagian Biasiswa dan Pembiayaan Kementerian Pelajaran Malaysia, kini hanya tiga penawaran pembelajaran yang dibuka bagi guru-guru iaitu menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Hadiah Latihan Persekutuan Separuh Masa /  Sambilan (HLPS) dan Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBPTB).

Untuk makluman para guru, HLP merupakan cuti yang diluluskan kepada pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran (PhD) di dalam dan luar negara secara sepenuh masa.

Manakala HLPS pula merupakan program pengajian yang diluluskan kepada PPP untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan PhD dalam negara secara separuh masa atau sambilan.

Bagi progam CBBPTB, cuti belajar yang diluluskan kepada PPP untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan PhD dalam negara secara sepenuh masa tetapi yuran pengajian adalah di bawah tanggungan sendiri.

Secara ringkasnya, perbezaan antara ketiga-tiga penawaran skim ini adalah dari segi pemberian cuti belajar, gaji dan juga yuran serta biasiswa. Bagi penawaran HLP, pemohon diberikan cuti belajar, bergaji penuh, yuran dan biasiswa.

Manakala bagi penawaran HLPS, pemohon tidak diberikan cuti belajar tetapi mereka layak untuk mendapat gaji penuh, yuran dan biasiswa.

Seterusnya, bagi penawaran CBBPTB pula, pemohon diberikan cuti belajar, bergaji penuh tetapi mereka tidak mendapat tanggungan yuran serta biasiswa.

Walaubagaimanapun, penawaran yang berjaya bergantung kepada pemprosesan permohonan yang memenuhi semua syaratyang telah ditetapkan oleh kementerian.

Selain itu, program tips menang HLP ini juga turut menampilkan perkongsian eksklusif daripada penerima-penerima biasiswa HLP seperti Puan Nur Syuhada Rusli (HLP 2020), Puan Siti Noorehan Mon (HLP 2020) dan Dr Mohd Munir Hj Baharom (HLP 2015).

Rata-rata penerima menyatakan bahawa persediaan awal dari segi mental dan fizikal haruslah kukuh dan penglibatan diri dengan program ilmu seperti seminar dan bengkel berkaitan dengan permohonan tawaran merupakan salah satu teknik kejayaan mereka.

Selain itu, berhubung dengan rakan-rakan yang pernah menerima dan berjaya dalam tawaran ini juga merupakan salah satu langkah kejayaan mereka kerana perkongsian pengalaman dan persediaan sangat diperlukan sebagai pemandu arah kepada mereka.  

Tips seterusnya yang dikongsikan adalah dari segi pemilihan penyelia kajian yang sesuai dengan kajian yang ingin dijalankan. Sebelum pilihan dibuat, disarankan untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu seseorang calon memilih penyelia yang sesuai dan berhubung dengan calon penyelia tersebut merupakan langkah awalan yang baik kerana ianya menunjukkan kesungguhan dan secara tidak langsung semangat positif dapat dipupuk.

Menerusi pengalaman calon yang berjaya, mereka mendapat panduan dan khidmat perkongsian maklumat daripada calon penyelia yang dihubung dalam teknik menyediakan proposal  yang baik.

“Jika pernah gagal dalam permohonan sebelum ini, janganlah berputus asa untuk mencuba lagi”. Ini merupakan perkongsian kata-kata daripada seorang calon penerima biasiswa HLP yang pernah gagal beberapa kali dalam permohonan beliau.

Walaubagaimanapun dengan semangat yang tidak pernah kenal erti berputus asa, beliau meraih kejayaan dalam menerima biasiswa HLP pada tahun 2020. Minat, komitmen yang tinggi dan niat yang baik untuk menyambung pengajian merupakan tonggak utama yang dipegang oleh beliau sebagai semangat untuk terus berjuang.   

Signifikan tips yang dikongsikan adalah berkaitan dengan sumbangan luar (akademik) seperti menghasilkan penulisan, penglibatan dalam kajian dan pembangunan (R&D), inovasi dan sebagainya. Saranan juga diberikan kepada pemohon untuk merekodkan senarai kejayaan dan penglibatan itu dari peringkat yang tinggi ke seterusnya iaitu dalam bentuk susunan hierarki.

Perkongsian ini dikatakan sebagai satu kelebihan kepada pemohon untuk meraih kejayaan biasiswa ini.

 Seterusnya, perkongsian tips daripada penerima HLPS mengatakan biasiswa ini lebih berkesan dalam kajian beliau kerana tempoh masa lebih panjang berbanding HLP. Kajian juga lebih mudah dijalankan kerana menerusi pengalamannya, data boleh diambil di sekolah yang beliau sedang berkhidmat.

Walaubagaimanapun, beliau menyatakan bahawa setiap tawaran biasiswa yang disediakan tetap mempunyai kelebihan dan terpulang kepada individu itu sendiri dalam penetapan permohonan biasiswa yang sesuai dengan keadaan masing-masing. Calon juga diingatkan supaya memilih tawaran yang sesuai dengan keadaan dan kajian, hal ini kerana pemohon hanya boleh memohon sekali sahaja bagi setiap tahun.

 Secara kesimpulannya, kesemua penerima biasiswa ini menyatakan sikap positif dan sabar perlu dipupuk dalam kalangan mereka yang ingin menerajui untuk mendapatkan permohonan ini. Semangat jangan mudah putus asa perlu dibendung dan tanamkan semangat yang sentiasa inginkan kejayaan kerana matlamat kejayaan kita sendiri yang tetapkan dan untuk meraih kemenangan itu tidak mudah jika kita tidak bersedia dari awal.

Rebutlah peluang yang ada kerana kejayaan tidak akan datang bergolek. Kita usaha, kita dapat. Teruslah percaya dan berusahalah sehabis mungkin untuk meraih cita-cita.

Penulis: Dr. Adjah Naqkiah Mazlan dan Dr. Chuzairy Hanri , Pensyarah Kanan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Explore More