BUDAYA KECEMERLANGAN MEMACU KEUNGGULAN TERBILANG

Ucapan sulung Naib Canselor UTM yang ketujuh, Profesor Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail amat mengujakan. Ada ketika beliau serius dan tegas, disulami jenaka apabila mengungkap beberapa istilah orang Melaka. Pada akhir ucapan, beliau berhenti seketika apabila membaca kata-kata amanah kepimpinan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq.

Dalam keseluruhan ucapan, beliau begitu bersemangat berucap secara maya bertemakan “Memacu Keunggulan, Memperkasa Pembangunan”. Beliau meletakkan budaya kecemerlangan asas keunggulan organisasi.

Sebagai pembuka bicara, Datuk Ahmad Fauzi Ismail mengucapkan terima kasih kepada YB Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad yang meletakkan amanah kepimpinan UTM kepadanya untuk meneruskan kecemerlangan UTM. Tidak lupa, beliau mengucapkan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr. Wahid Omar, seorang tokoh yang dihormatinya, kerana telah memberi sumbangan besar kepada UTM selama tujuh tahun dengan cemerlang.

Beliau menarik perhatian warga UTM dengan menyorot kembali sejarah penubuhan universiti. Ia bertujuan untuk memugarkan kembali roh perjuangan dalam kalangan warga UTM. Sejarah bermula dengan penubuhan Maktab Teknik pada tahun 1946. Pengambilan pelajar pertama dibuat pada tahun 1947. Pada 1 Mac 1955, kampus Maktab Teknik Jalan Gurney dibuka dengan rasminya oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Pada 14 Mac 1972, Maktab Teknik dinaik taraf menjadi sebuah pusat pengajian tinggi dan dinamakan Intsitut Teknologi Kebangsaan.

Bagaimanapun, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan penubuhan UTM pada 1 April 1975. Dari saat itu, UTM menempuh pelbagai cabaran sehingga dinobatkan sebagai Universiti Penyelidikan yang kelima pada 10 Jun 2010. Menurutnya, sehingga kini UTM telah melahirkan hampir 200,000 graduan dalam pelbagai bidang profesional khususnya sains, teknologi dan kejuruteraan.

Menurutnya kejayaan UTM bukanlah ditempa dengan mudah. Ia menuntut perjuangan dan pengorbanan. Justeru, beliau menyeru kepada seluruh warga UTM supaya terus menyuburkan budaya kerja cemerlang untuk memastikan keunggulan UTM sebagai sebuah universiti gemilang. Dengan nada serius dan empatik, beliau menyeru seluruh warga UTM bersama-sama menjunjung amanah yang besar ini.

Beliau juga mengajak warga UTM supaya mempertahankan maruah bagi mengekalkan status Universiti Penyelidikan. Kesemua ini menunjukkan tanda kasih kita yang tidak berbelah bahagi kepada UTM Universiti Sanjungan Bangsa. Menurut Naib Canselor, kesemua ini dilaksanakan semata-mata Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Datuk Fauzi menjelaskan kepimpinan terdahulu telah meletakkan landasan yang kukuh bagi menggemilangkan pusat pengajian tinggi ini. Sebagai anak kandung UTM, beliau bukan asing di universiti ini. Selepas menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai Penolong Penyelidik dan Pegawai Penyelidik, dan seterusnya dilantik sebagai pensyarah UTM pada tahun 1993. Lebih menarik lagi, Datuk Fauzi telah diletakkan sebagai antara tokoh akademik negara yang tersohor dengan memenangi pelbagai anugerah berprestij di peringkat nasional dan global.

Menurutnya, keunggulan UTM semakin terserlah. Namun seluruh warga UTM tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan yang sedia ada. Menurut penilaiannya, pencapaian UTM “It is not too bad but also not too good”. Ini bermakna terlalu banyak ruang dan peluang untuk ditambahbaik yang meneruskan keunggulan UTM ini.

Dalam suasana negara kita turut dilanda pandemik COVID-19, Datuk Fauzi mengajak seluruh warga UTM untuk meneruskan perjuangan dalam bidang kerja masing-masing. Kita perlu melangkah ke hadapan dengan berfokus kepada kecemerlangan. Sehubungan dengan itu, beliau yakin misi UTM amat selari dengan enam fokus bidang yang diketengahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia termasuklah:

1) Memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan. Infrastruktur ICT akan dipertingkatkan dengan pelaksanaan projek menaik taraf MyREN dengan peruntukan sebanyak RM50 juta dalam Belanjawan 2021.

2) Memantapkan jaringan kolaborasi strategik. Ia merupakan model baharu penajaan pengajian diketengahkan sebagai alternatif kepada pembiayaan biasiswa oleh kerajaan.

3) Memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, KPT bertanggungjawab dalam Pendidikan Nasional dan TVET sepertimana yang dinyatakan dalam Majlis Pekerjaan Negara.

4) Memacu kesejahteraan komuniti yang menekankan tentang keperluan untuk menggiatkan sumbangan kepakaran universiti kepada komuniti.

5) Mempersada kecemerlangan institusi berasaskan business model syarikat induk Universiti Awam (UA) dan peranan GLC lain.

6) Menyemarakkan semangat #KPTPrihatin, bagi menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus dengan kerjasama semua UA.

Berdasarkan keenam-enam fokus strategik tersebut, UTM telah berusaha membuat pemetaan bagi menjadi penggerak modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Dalam pada itu, Datuk Fauzi menyatakan bahawa pengurusan universiti amat menitikberatkan amalan terbaik organisasi. Beliau akan meneruskan empat nilai strategik UTM yang dibangunkan sejak tahun 2018 iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan (Excellence) dan Lestari (Sustainability).

Justeru, pihak universiti akan menginstitusikan ISES menerusi program pembudayaan yang berterusan di semua peringkat. Menurutnya, nilai ISES ini begitu serasi dengan nilai teras KPT iaitu Speed (cepat), Sinergi, Solidariti, Strategik dan Standard.

Dalam ucapan ini juga, Datuk Fauzi menekankan lima perkara penting yang menjadi agenda utama UTM bagi tahun 2021.

1) Mengutamakan pengurusan dan pembangunan mahasiswa dan staf.

2) Menginstitusikan ISES dan mengurus sumber manusia.

3) Memperkasa impak penyelidikan dan pembangunan.

4) Melaksanakan good governan berdasarkan perundangan negara dan peraturan universiti.

5) Menjayakan sistem penyampaian berprestasi tinggi.

Bagi menjayakan misi dan visi UTM, beliau mengetengahkan falsafah kehidupan iaitu kebahagiaan seseorang amat bergantung kepada minda (mindset) dan sikap (attitude). Justeru, beliau mengajak seluruh warga mengubah mindset ke arah menjayakan amanah yang diberikan kepada seluruh staf. Dengan itu, warga UTM dijangka menghasilkan outcome berimpak tinggi. Antaranya ialah:

1) Kemampuan yang terbaik, kebahagiaan staf, dan seluruh warga UTM adalah sebuah keluarga besar.

2) Cerita-cerita kejayaan mahasiswa pelbagai peringkat ijazah dan alumni.

3) Penyelidikan yang unggul, kajian yang hebat, pengkomersilan hasil kajian, paten dan kerjasama universiti-industri.

4) Universiti berimpak kepada kesejahteraan komuniti.

Selain daripada itu, seluruh warga akademik disarankan mempelopori gagasan penyelidikan dan pembangunan (R&D) penggerak aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau “research-led teaching”. Beliau juga berharap warga akademik memberi fokus kepada penyelidikan, penulisan jurnal, berkeperluan industri dan berimpak kepada komuniti.

Dalam suasana dan cabaran pandemik masa kini, warga universiti perlu memainkan peranan penting dan menjadi penggerak utama kepada pembangunan komuniti. Keberadaan UTM di Johor sejak 36 tahun telah meninggalkan impak yang hebat. Di Johor umpamanya, banyak aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah projek penyelidikan JIVE di seluruh negeri Johor, penggubalan dasar-dasar kerajaan, program Bangsa Johor Bahagia, projek SULAM, program khidmat komuniti HEP, aktiviti sukarelawan dan sebagainya.

Dalam mengakhiri ucapannya, beliau meninggalkan tiga perkara sebagai pesanan atau “take home message” iaitu :

  1. Adakah kita sudah berpuashati?
  2. Adakah sudah cukup apa yang sedia ada?
  3. Adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab 100%?

Dalam memacu keunggulan UTM, Datuk Fauzi amat menitikberatkan tentang konsep tanggungjawab bersama. Ini bermakna tanggungjawab melibatkan perana semua pihak. Dalam konteks UTM, terdapat banyak lapisan kepimpinan dari peringkat pengurusan tertinggi sehinggalah kepimpinan di peringkat bawah.

Dengan nada sebak, beliau mengakhiri ucapan dengan memetik kata-kata Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang menyentuh tentang kepimpinan. Menurutnya, “ikutlah saya selagi melaksanakan amanah dengan betul, dan tegurlah saya, jika melakukan sebarang kesalahan”.

Kesimpulannya, ucapan sulung Datuk Fauzi sebagai Naib Canselor UTM ketujuh dibuat secara terus terang. Beliau merujuk kepada data dan maklumat bagi menjelaskan sesuatu fenomena. Itulah ciri budaya ilmu.

Menurutnya, sejarah telah merakamkan bahawa UTM telah menempa kejayaan demi kejayaan yang amat dibanggakan. Namun masih banyak ruang untuk ditambah baik bagi mencipta kejayaan. Justeru, beliau mengajak kesemua warga UTM untuk sama-sama memegang erat amanah dan perjuangan ini semata-mata “Kerana Tuhan Untuk Manusia”.

Ringkasnya, beliau mempromosi budaya kecemerlangan untuk memacu keunggulan terbilang.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *