April 20, 2024

Search
Close this search box.

Bersama membina budaya cemerlang – Naib Canselor

JOHOR BAHRU, 21 Jan. — Naib Canselor ketujuh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Datuk Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail menyeru warga universiti memperkasakan prestasi untuk pembangunan universiti selaras dengan permulaan pelaksanaan Envision 2025.

Menurut beliau, UTM telah mencatatkan pelbagai sejarah dan kejayaan yang hebat sejak diasakan sebagai Maktab Teknik pada 16 September 1946 dan diberikan status universiti penyelidikan yang kelima di Malaysia pada 10 Jun 2010.

“UTM terus cemerlang dengan pelaksanaan Pelan Global Universiti I hingga III bermula tahun 2012 hingga 2020, antaranya adalah seperti telah melahirkan hampir 200,000 alumni yang begitu banyak jasa kepada pembangunan negara kita.

Kejayaan ini akan diteruskan dengan pelaksanaan dokumen strategi yang diberi nafas baharu iaitu Envision2025 bermula pada tahun 2021-2025,” kata beliau.

Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi bin Ismail semasa menyampaikan pada Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021

Beliau berucap dalam Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021 secara dalam talian yang dipancarkan secara langsung melalui Facebook UTM Community.

Bertema ‘Meningkatkan Kecemerlangan, Mengukuhkan Pembangunan’, Datuk Fauzi menyampaikan amanat yang pertama sejak dilantik menjadi Naib Canselor UTM ke-7 pada 1 Jan 2021 lalu.

“Peningkatan dana penyelidikan antarabangsa sebanyak 26% dan dana penyelidikan peribadi sebanyak 19% adalah kejayaan yang sangat boleh dibanggakan dengan pelbagai projek yang dikurniakan kepada UTM seperti Johor Innovation Valley, Universiti Untuk Masyarakat, Projek Bangsa Johor Bahagia dan sebagainya.

Dengan penyelidikan ini, kita akan mobilize (menggerakkan) kepakaran untuk perkasakan komuniti dan masyarakat,” kata beliau.

Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi bin Ismail semasa lintas langsung dari Studio UTMLead

“Envision2025 telah menggariskan hala tuju universiti dengan meletakkan 8 Strategic Priorities (Keutamaan Strategik) iaitu : 1) menghasilkan bakat holistik, 2) perhebat kemahiran staf 3) pemerkasaan nilai teras universiti, 4) pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan 5) membina kolaborasi strategik industri dan komuniti, 6) Pelaksanaan pelestarian kampus 7) pembudayaan budaya kerja berpandukan data dan 8) Kesohoran Global sebagai Universiti Penyelidikan.

Lapan strategic priorities ini juga adalah selari dengan enam fokus strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seperti yang telah diumumkan oleh Menterinya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 7 Januari lalu,” kata beliau.

“Oleh itu, warga UTM perlu memacu kecemerlangan institusi dengan mengubah budaya kerja ke arah kecemerlangan.

Untuk mempunyai budaya kecemerlangan yang holistik tersebut, terdapat dua faktor utama iaitu 1) peranan institusi dan 2) peranan ketua dan setiap warga kampus dalam memacu kecemerlangan universiti,” kata beliau.

Untuk mencapai budaya kecemerlangan tersebut Datuk Fauzi telah menggariskan lima perkara utama untuk difokuskan serta dua keutamaan tertinggi pada tahun 2021.

Lima perkara tersebut ialah 1) penambahbaikan pengurusan staf, 2) menginstitusikan nilai teras universiti, 3) memperkasakan impak penyelidikan kepada komuniti dan masyarakat 4) pemerkasaan tadbir urus yang baik seperti ketelusan, akauntabiliti, responsif dan inklusif 5) penyampaian berprestasi tinggi.

Keutamaan tertinggi pula ialah pelajar dan kebajikan staf.

Tambah beliau, dengan adanya budaya kecemerlangan serta pelaksanaan lima perkara utama tersebut, harapan beliau universiti akan memiliki staf yang cemerlang, kejayaan dan kecemerlangan pelajar dan alumni, penyelidikan yang unggul yang mampu menyelesaikan masalah komuniti serta kerjasama universiti-komuniti yang berimpak tinggi.

Mengakhiri amanat beliau, Datuk Naib Canselor turut menyeru warga UTM untuk sama-sama menyokong aspirasi universiti dan memainkan peranan masing-masing seperti yang telah diamanahkan agar UTM mampu melakar lebih banyak lagi kejayaaan-kejayaan pada masa akan datang.

Explore More