April 19, 2024

Search
Close this search box.

AMTEC UTM Bekal Air Bersih Terawat kepada Komuniti Sekolah di Pedalaman Dengan Teknologi Membran

Kesejahteraan Komuniti Sekolah Terus Mendapat Perhatian Pihak KPM Dan UTM

Usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE), Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC) dalam pelaksanaan projek kemasyarakatan bagi kesejahteraan komuniti sekolah-sekolah di pedalaman tetap diteruskan walaupun dalam suasana pandemik yang sangat membimbangkan di seluruh negara.

Terkini satu lagi komuniti sekolah di pedalaman telah berjaya dibantu dengan pembekalan sistem air bersih terawat mudah alih menggunakan teknologi membran. Pelaksanaan program pemasangan peralatan ini di Sekolah Kebangsaan Pos Poi, Sungai Siput Perak telah dilaksanakan dengan jayanya.

Selain aktiviti pemasangan, pengoperasian dan penyerahan rasmi sistem rawatan air ini kepada pihak Sekolah Kebangsaan Pos Poi ini, program ini juga telah melibatkan aktiviti lawatan tapak sekolah-sekolah lain bagi pengumpulan maklumat dan pemilihan sekolah yang akan menerima bantuan ini iaitu Sekolah Kebangsaan Pos Piah, Sekolah Kebangsaan Pos Perwor, Sekolah Kebangsaan Pos Legap dan Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu di Sungai Siput, Perak.

Program pemasangan, penyerahan & lawatan tapak ini telah disertai oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail yang juga merupakan Ketua Projek ini, Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan Malaysia, En. Ramzi Mansor, Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Bahan Keterhadapan Prof. Dr. Safian bin Shariff, Timbalan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Guru Besar, Pegawai-pegawai KPM, PPDKK & Guru-guru sekolah yang terlibat.

Sebagai rekod sehingga kini pihak UTM telah berjaya menghantar dan memasang 13 buah sistem rawatan air mudah alih ini di sekolah-sekolah pedalaman. Pemilihan sekolah-sekolah ini telah ditentukan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berdasarkan tahap kritikal bekalan air bersih di sekolah-sekolah pedalaman di Malaysia.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga menyasarkan bagi memperluaskan lagi projek pembekalan air bersih ini di sekolah-sekolah lain di Malaysia dengan pelaksanaannya secara berfasa.

Ketua Projek, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pembangunan sistem ini telah berjaya dihasilkan melalui geran-geran tajaan penyelidikan yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebelum ini melalui dana penyelidikan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS), Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), program NBOS4 yang telah diterima oleh beliau bermula pada 2010 sehingga kini.

Impak daripada geran-geran penyelidikan ini, pihak UTM melalui AMTEC telah berjaya membangunkan sistem rawatan air bersih terawat yang bersifat mudah alih dan kos pengoperasiannya yang sangat rendah dan praktikal bagi kegunaan komuniti yang menghadapi masalah bekalan air bersih, mangsa-mangsa bencana alam, kawasan yang mengalami musim kemarau, terputus bekalan air bersih serta pihak industri yang mengitar semula air yang dihasilkan daripada proses pembuatan dan pengilangan.

Menurutnya lagi, isu bekalan air bersih terawat di sekolah-sekolah merupakan antara isu yang sangat kritikal terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman di Malaysia yang mana ia memberi kesan yang besar kepada tahap kesihatan dan keselesaan komuniti sekolah secara khasnya. Justeru itu ia perlu ditangani dengan segera dan tuntas dengan penglibatan pihak-pihak yang berkaitan bagi memberikan kemudahan, keselesaan serta meningkatkan kesihatan para pelajar dan guru-guru di sekolah.

Sistem ini mampu merawat air dari sumber seperti air sungai, air bawah tanah dan air banjir. Sistem ini dilengkapi dengan 7 peringkat penapisan iaitu pra-penapisan, tapisan mikron, membran turasan ultra, membran osmosis balikan, pasca-penapisan dan nyahkuman bagi memastikan air ini selamat dan bersih serta mengikut piawaian standard air minum kebangsaan.

Reka bentuk, spesifikasi sistem rawatan dan perancangan pelaksanaan program ini ini diketuai oleh Ts. Dr. Ng Be Cheer dan Ts. Mohd Sohaimi Abdullah dengan dibantu oleh 8 orang tenaga kerja teknikal. Sistem ini dibangunkan oleh tenaga penyelidik UTM sendiri mengikut kesesuaian kualiti air, jenis sumber air dan menggunakan bahan anti-karat. Untuk memastikan kualiti air sistem ini terjamin selamat, pemeriksaan dan analisa kualiti air akan dijalankan dari masa ke semasa.

Sistem yang berkapasiti 1000 sehingga 2000 liter sehari bagi air minuman dan 5000 liter bagi air kegunaan harian ini mampu membekalkan air minum kepada 500 orang dalam satu masa. Sistem ini juga mudah dioperasi dan tidak menggunakan tenaga yang tinggi dan dilengkapan dengan penjana genset untuk beroperasi sekiranya kawasan tersebut tidak mempunyai bekalan ataupun terputus bekalan elektrik.

Sehingga kini sebanyak 62 buah unit telah berjaya dibangunkan dan diaplikasikan kepada pihak berkuasa tempatan, mangsa bencana alam dan pemain industri melalui kerjasama syarikat Membrane Technology (M) Sdn. Bhd. iaitu syarikat hiliran UTM dan bantuan teknikal oleh kumpulan CSR UTM AMTEC.

Antara cabaran yang besar terpaksa dilalui bagi menjayakan projek ini adalah dari sudut logistik dan pergerakan ke tapak sekolah-sekolah di kawasan pedalaman tersebut. Kumpulan CSR UTM AMTEC ini terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda untuk melalui jalan balak dan ladang kelapa sawit serta terpaksa menggunakan sewaan bot persendirian bagi membawa peralatan dan kakitangan semasa aktiviti pemasangan, pengujian dan pengoperasian sistem tersebut.

Selain dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan air bersih kepada komuniti sekolah, projek berimpak tinggi ini juga dapat mendekatkan komuniti universiti dengan komuniti sekolah dan juga masyarakat setempat melalui program motivasi, aktiviti masyarakat dan program pemindahan ilmu dan teknologi.

C:\Users\sohaimimmra1\Downloads\WhatsApp Image 2020-12-30 at 22.35.14 (1).jpeg

 

 

C:\Users\sohaimimmra1\Downloads\WhatsApp Image 2020-12-30 at 22.38.14.jpeg

Sistem rawatan air mudah alih di Sekolah Kebangsaan Pos Poi, Sungai Siput Perak

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail semasa sesi pemasangan
Kerja-kerja pemasangan sistem, pengujian dan pengoperasian sedang dijalankan sendiri oleh kakitangan Universiti Teknologi Malaysia.

Explore More