Disember 29, 2024

WEBINAR PEMAJUAN WAKAF UTM SERU MASYARAKAT AMALKAN ”WAKAF AIR” MELALUI TABUNG WAKAF AIR NASIONAL

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kumpulan Penyelidik Syariah Law and Economics (SLEC) Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan Unit Dana Wakaf Pendidikan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan International Institute of Islamic Waqf (IIIW) telah menganjurkan Webinar Pemajuan Wakaf pada hari ini.

Webinar ini dikenali sebagai WAW2020 (Waqf Advancement Webinar 2020) dengan tema “Advancing Waqf With Technology” telah dijalankan secara maya dengan menggunakan platform facebook.

Ucaptama seminar telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Wakaf Malaysia, Prof Madya Dr. Amir Bin Shaharuddin dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh bin Gadot.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail yang menjalankan Fungsi Naib Canselor telah menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Webinar Pemajuan Wakaf tersebut.

Webinar ini telah dirasmikan oleh YB Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Haji Tuan Ibrahim bin Tuan Man.

Dalam ucapan beliau, YB Menteri telah menekankan tentang kepentingan berwakaf dan komitmen yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menjayakan projek Tabung Wakaf Air Nasional (Wakaf Air).

Matlamat utama Wakaf Air adalah untuk menyediakan bekalan air kepada penduduk luar bandar dan mereka yang menghadapi masalah bekalan air ketika krisis.

Untuk itu, projek Wakaf Air mengajak masyarakat awam dan pihak syarikat untuk turut sama berwakaf dengan menyumbang ke Tabung Wakaf Air Nasional.

Dana yang terkumpul akan digunakan untuk pembiayaan pelaksanaan infrastruktur bekalan air berskala kecil tidak melebihi RM50,000 seperti penggalian perigi, pembelian peralatan pam, penyediaan mini empangan dan tangki-tangki simpanan air.

UTM sendiri juga komited dalam memperkasakan wakaf melalui program penjanaan dengan berlandaskan konsep wakaf am melalui sumbangan dana berbentuk wang tunai dan harta.

Pejabat Wakaf UTM telah memulakan operasinya mulai tahun 2017. Sehingga Jun 2020 jumlah dana wakaf UTM yang terkumpul adalah sebanyak RM4.6 Juta.

Antara projek-projek yang telah dan sedang dijalankan ialah ‘Wakaf Sekolah Agama’, ‘Wakaf Karpet Masjid Sultan Ismail UTM’, ‘Wakaf Penapis Air’ dan ‘Wakaf Kerusi dan Meja’.

Manfaat dari dana wakaf ini telah disalurkan kepada penerima yang terpilih dalam kalangan pelajar B40 UTM seperti projek Free Food, projek juadah berbuka puasa Ramadan, agihan Duit Raya, dan bantuan kewangan. Seramai 752 orang pelajar telah mendapat manfaat dari agihan manfaat wakaf ini.

Waqf Advancement Webinar 2020 (WAW2020) menjadi salah satu platform untuk pengkongsian maklumat berkenaan pemajuan wakaf dalam kalangan ahli akademik dan pemain industri tempatan di mana telah diadakan Forum Nazir Khas Wakaf Negeri Johor yang menjadi peneraju utama wakaf di Johor.

Menurut pengarah program, Dr. Mohd Khairy Bin Kamarudin, ahli-ahli panel forum adalah terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf An-Nur, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor, Pengarah Dana Wakaf Pendidikan UTM, Ketua Pusat Wakaf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dan Pengarah Wakaf dan Endowmen UTHM.

“Forum ini telah mengupas peranan Nazir Khas Wakaf dan cabaran yang dihadapinya. Turut dibincangkan hala tuju pemajuan wakaf ke arah menyediakan road map Pelan Induk Wakaf Nasional.

Webinar ini turut mengadakan Forum Wakaf Timur Tengah dalam Bahasa Arab dengan memfokuskan amalan wakaf di Jordan, Algeria dan Maghribi. Ahli panel adalah terdiri dari ahli akademik dan pengamal wakaf di peringkat antarabangsa dengan mengutarakan isu dan pelaksanaan wakaf di negara masing-masing. Begitu juga ditekankan tentang cabaran dan potensi wakaf secara global,” kata beliau.

Tambah beliau, webinar ini telah membuka minda para peserta di samping telah memberi ruang kepada penyelidik-penyelidik wakaf untuk menambah jaringan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Explore More