November 22, 2024

Search
Close this search box.

Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hj Hasni Mohammad, menjelaskan visinya untuk menjadikan bidang sukan sebagai sebuah industri ekonomi yang baharu. Belanjawan tersebut menyaksikan sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi membangunkan Johor Sports Masterplan 2030. Pelan induk ini akan memberikan halatuju baharu kepada industri sukan negeri Johor bukan sahaja untuk gaya hidup dan pembangunan atlet semata-mata tetapi menjadikan sukan sebagai sumber ekonomi baharu kepada negeri Johor.

Menerusi pemberian Geran Subsidi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) kepada kesemua 41 Persatuan Sukan Negeri Johor yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan bernaung di bawah MSNJ ini adalah untuk memperkasa peranan Persatuan Sukan Negeri Johor supaya lebih proaktif, berdaya saing, dan berfokus. Di samping itu, pendekatan ini turut menggalakkan persatuan menjalankan program pembangunan yang berstruktur, membangun potensi atlet, jurulatih, dan teknikal serta mengawalselia keaktifan Persatuan.

Disamping itu, perlaksanaan Program Profesionalisasi Persatuan Sukan turut di ketengahkan dengan harapan persatuan yang dipilih mengikuti program ini akan dapat memperkasa peranan mereka dari segi fungsi dan perancangan seterusnya mampu bergerak sendiri tanpa mengharapkan subsidi.

Sehubungan dengan itu, perkaitan dengan penangguhan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2022, inisiatif ini disifatkan dapat membantu semua pihak untuk lebih daya saing dan mempunyai tadbir urus bersistematik sekaligus merancakkan program sukan negeri Johor dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet muda yang berkualiti pada masa hadapan. Keselarian ini dilihat berpotensi dalam membangunkan industri sukan serta memacu pembangunan sektor pelancongan sukan.

Penyediaan platform untuk rakyat bersukan turut dirancang dan dilaksanakan dimana peruntukkan sebanyak RM1.98 juta disediakan bagi membantu rakyat kekal aktif dengan bersukan. Karnival Sukan Makmur Xtif Johor yang membabitkan tiga jenis sukan iaitu sukan sepak takraw, badminton dan bola jaring turut dianjurkan.

Menerusi persepsi individu dan masyarakat yang prihatin pula, pada asalnya sukan dikatakan boleh memberi tubuh badan yang sihat, tetapi kini telah menjadi aset sesebuah negara atau negeri dalam mempelopori kemasyhuran. Justeru itu, pelbagai initiatif telah dirancang dan pihak yang terlibat seharusnya berani untuk bertindak. Pelbagai aktiviti sukan dilihat masih mampu dilaksanakan. Rata-ratanya disarankan untuk memilih platform secara maya dan medium ini menjadi keutamaan dalam bidang sukan secara amnya. Penggunaan aplikasi teknologi dilihat berkesan dan lebih terjamin bagi pendaftaran dan yuran peserta. Ini menunjukkan masyarakat masih boleh bersukan dan secara tidak langsung organisasi sukan yang terlibat boleh mengekalkan pendapatan ekonomi mereka. Platform secara maya sangat digalakkan dan sesuai bagi memastikan masyarakat boleh kekal bersukan dengan selamat.

Tuntasnya, sukan bukan sahaja berkenaan dengan aktiviti sukan dan rekreasi mahupun aktiviti yang menyihatkan tubuh badan namun, sukan juga merupakan industri penting yang akan memberi impak positif yang ketara dalam membantu ekonomi negara membangun dengan pesat. Apatah lagi, sukan secara maya mula dijadikan karier dalam menjana pendapatan sampingan menerusi pelbagai tajaan dan lain-lain. Maka organisasi dan badan sukan dimana jua haruslah sepakat, kita mampu melakukan yang luar biasa untuk memastikan bakat yang ada tidak kita siakan.

DR. ADJAH NAQKIAH MAZLAN

Pensyarah Kanan (Sains Sukan)

Sekolah Pendidikan,

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Explore More