April 26, 2024

Search
Close this search box.

PROF. DATUK TS. DR. AHMAD FAUZI DILANTIK NAIB CANSELOR UTM KE-7

JOHOR BAHRU, 21 Dis. – Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021.

Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melalui sebuah kenyataan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dikeluarkan hari ini berkata pelantikan tersebut adalah untuk tempoh 3 tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023.

Datuk Seri Dr. Noraini menzahirkan kepercayaan melalui pelantikan ini, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan kecemerlangan UTM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terbaik negara.

Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi, 54 merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM sejak 15 Januari 2015 dan telah diberi kepercayaan menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor menggantikan Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar mulai 1 September 2020 sehingga kini.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda (BSc.) Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana (MSc.) Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dari University of Strathclyde, Scotland, United Kingdom.

Pencapaian Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi sememangnya terbukti diiktiraf melalui sumbangan beliau dalam bidang penyelidikan yang telah memberi impak bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa.

Beliau telah memenangi lebih dari 130 anugerah bagi hasil penyelidikan dan pembangunan serta inovasi produk seperti rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Saintis Muda ASEAN, Anugerah Harta Intelek Negara dan Anugerah Inovasi Negara sebanyak 2 kali, ‘The World Academy of Sciences’ (TWAS), Prize in Engineering Sciences for 2019 dan Anugerah Merdeka 2014 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.

Peranan beliau sebagai pengasas dan Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) pada 1 Ogos 2013 sehingga 24 Jun 2018 sebelum ini telah berjaya memberi manfaat kepada komuniti khususnya melalui penghasilan teknologi membrane bagi pengeluaran air bersih di lokasi terpencil atau lokasi bencana.

Melalui teknologi tersebut juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberikan kepercayaan untuk projek pembekalan sistem rawatan air mudah alih bagi sekolah-sekolah pedalaman di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dengan peruntukan RM8.1 juta. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi juga telah diiktiraf sebagai ‘Highly Cited Researcher, Malaysia’s Research Star Award’ selama 3 tahun.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar atas kepimpinan beliau menerajui UTM selama 7 tahun.

Sehingga kini, beliau telah menerbitkan lebih 900 jurnal berwasit, 8 buah buku karya asli, 66 bab dalam buku dan telah menyunting 10 buah buku serta turut terlibat dalam penghasilan lebih 30 paten. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi dalam kenyataanya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPT atas kepercayaan yang diberikan dan berharap agar pengurusan tertinggi universiti serta seluruh warga UTM dapat terus bersama-sama menjayakan agenda universiti seterusnya membawa UTM ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Explore More