November 22, 2024

Search
Close this search box.

Wabak corona virus yang menjadi pandemik di seluruh dunia ini telah mengubah perjalanan hidup masyarakat pada tahun 2020. Sudah lebih setahun semenjak dunia kita dikejutkan dengan virus berjangkit corona virus ini. Selepas kes ini mula menular di Malaysia pada awal bulan Februari 2020, negara kita menunjukkan data rakyat yang dijangkiti terus meningkat naik sehinggalah November 2020.

Kes COVID-19 ini banyak memberi impak kepada negara kita, antaranya dari segi pengajaran dan pembelajaran, Semua pelajar universiti diarah untuk pulang ke rumah dan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian. Ia bertujuan untuk mengurangkan jangkitan antara satu sama lain di dalam universiti. Ini memberi impak yang besar kepada pelajar yang terpaksa menjalani pembelajaran secara dalam talian.

Pelbagai masalah yang timbul sewaktu belajar secara dalam talian, antaranya ialah masalah rangkaian internet yang terhad di beberapa lokasi dan juga masalah persekitaran yang mengganggu emosi pelajar untuk meneruskan pembelajaran.

Infografik KKM

Walaubagaimanapun, isu pembelajaran secara dalam talian ini dilihat tidak menghalang hubungan pelajar dengan pensyarah terutamanya hubungan dengan Penasihat Akademik (PA). PA di universiti berperanan untuk mewujudkan dan mengemaskini maklumat berkaitan peribadi pelajar serta menguruskan pelajar. PA juga berperanan untuk mengadakan perjumpaan secara berkala dengan pelajar mengikut ketetapan di jadual waktu mereka ataupun pada waktu yang dipersetujui oleh pelajar dan PA itu sendiri.

PA bertanggungjawab untuk mendengar segala permasalahan yang dihadapi oleh pelajar. Dalam waktu pandemik ini, pelajar lebih terbuka kepada masalah rangkaian internet yang terjejas. Terdapat pelajar yang duduk di kawasan pendalaman dan sukar untuk mendapat capaian internet.

Hal ini sedikit sebanyak akan mengurangkan perasaan semangat ingin belajar dalam diri pelajar. Secara tidak langsung pelajar mungkin terdedah kepada situasi yang boleh membawa kepada masalah kemurungan dan tekanan. Masalah kesihatan mental ini adalah penyakit yang paling tinggi dilaporkan di Malaysia.

Penyakit ini dikatakan disebabkan perasaan gelisah apabila mereka tidak dapat memahami apa yang dipelajari sepanjang pembelajaran dalam talian dan tiada siapa yang boleh membantu mereka untuk memahami topik tersebut.  Sebagai penasihat akademik kepada pelajar, pensyarah perlu sentiasa berkomunikasi dengan pelajar, memantau keadaan pelajar dengan sentiasa bertanyakan perihal pembelajaran kepada pelajar. Penasihat akademik juga boleh memikirkan inisiatif yang lain supaya dapat memberi semangat baharu yang positif kepada pelajar.

Antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan perjumpaan secara berkala bersama pelajar.  Objektif perjumpaan berkala ini dilakukan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk meluahkan dan berkongsi masalah yang dihadapi kepada pensyarah.

Pensyarah merupakan pembimbing dan penasihat kepada pelajar, maka pensyarah digalakkan untuk memberi kata-kata semangat yang berilmu kepada pelajar supaya pelajar dapat memanfaatkan apa yang dikongsikan. Pensyarah juga boleh memberi bimbingan dan jalan penyelesaian kepada pelajar sekiranya pelajar buntu untuk membuat keputusan.

Inisiatif lain yang boleh dilakukan ialah dengan mengadakan fun quiz online. Terdapat banyak laman web yang boleh digunakan sebagai platform fun quiz antaranya ialah laman web Quizizz, Kahoot! dan Quizlet. Pensyarah boleh menyediakan kuiz berkenaan subjek yang dipelajari ataupun mengenai tajuk-tajuk umum yang boleh meningkatkan pengetahuan pelajar.

Dengan mengadakan aktiviti seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar mengurangkan tekanan dan melupakan sebentar permasalahan yang dihadapi. Tanpa disedari, jalinan hubungan sosial yang sihat dapat dipupuk dan dieratkan walaupun ianya secara maya.

Pelajar Mengikuti Fun Quiz Online Bersama Penasihat Akademik

Inisiatif lain yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan sesi bersenam di waktu petang bersama penasihat akademik. Seperti yang kita ketahui, aktiviti bersukan ini memberi banyak manfaat kepada individu. Bersukan ialah sebuah aktiviti yang paling sesuai untuk mengurangkan tekanan. Hal ini demikian kerana, kajian menunjukkan bahawa aktiviti bersukan menyebabkan otak melepaskan bahan kimia neurotransmitter yang dikenali sebagai endorfin. Endorfin akan menghasilkan perasaan euphorik dan mampu mengurangkan tekanan.

Dalam kata yang lebih mudah, apabila bersukan, minda akan difokuskan kepada permainan dan tidak akan tertumpu kepada kebimbangan dan keresahan yang melanda diri. Aktiviti bersukan juga dapat meningkatkan pengeluaran peluh dan meningkatkan suhu badan manusia. Sebagai pelajar yang aktif, pelajar lebih banyak terdedah dengan persekitaran yang sihat. Oleh sebab itu, mereka lebih cenderung untuk mengamalkan gaya kehidupan yang sihat.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dibuat dalam waktu yang singkat dan mampu mengeluarkan peluh. Antaranya ialah sit up, push up, plank, mountain climber atau aktiviti penuh seperti HIIT workout dan TABATA workout. Aktiviti ini merupakan aktiviti senaman yang efektif dan mampu mengeluarkan peluh dengan banyak. Selain itu, kelebihan aktiviti sukan ini adalah ianya mudah dilakukan kerana tidak memerlukan sebarang alat bantuan senaman kerana banyak bergantung kepada pergerakan otot itu sendiri.

Justeru, dengan adanya sesi senaman petang bersama PA seperti ini, sedikit sebanyak ia dapat memberikan ruang kepada pelajar untuk keluar dari dunia akademik sebentar dan membolehkan mereka melupakan sejenak masalah yang dihadapi.

Pelajar Mengikuti Sesi Senaman Waktu Petang

Sebagai penghias bicara akhir, PA memainkan peranan yang penting kepada mahasiswa dan mahasiswi di institut pengajian tinggi. PA merupakan seorang individu yang berperanan sebagai penasihat, pembimbing dan pemantau untuk pelajar-pelajar di universiti agar mereka tidak mengalami sebarang masalah. Ianya jelas menunjukkan sekiranya pelajar memerlukan bantuan dan bimbingan nasihat, mereka digalakkan untuk merujuk kembali kepada PA mereka.

Belajar secara dalam talian ini bukanlah satu alasan untuk prestasi pelajar semakin menurun. Ia merupakan satu norma baharu yang boleh menjadi manfaat yang baik kepada pelajar. Justeru itu, marilah kita jadikan norma baharu ini perkara yang bermanfaat dalam menuntut ilmu.

Seperti pepatah ada mengatakan menuntut ilmu biarlah sampai ke negara China, jangan pernah penat dan berputus asa dalam menuntut ilmu. Memiliki bekalan ilmu yang cukup akan membuat seseorang lebih bijak dalam bersikap mahupun bertindak. Dengan bekal ilmu yang cukup, seseorang juga akan lebih hati-hati dalam hidup bermasyarakat.

“Raihlah ilmu, dan untuk meraih ilmu belajarlah untuk tenang dan sabar.” – Khalifah Umar

DR. ADJAH NAQKIAH MAZLAN

Pensyarah Kanan (Sains Sukan)

Sekolah Pendidikan,

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

adjahnaqkiah@utm.my

Explore More