Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 29 Dis – Sejumlah RM 1 juta telah disumbangkan oleh Johor Port Berhad sebagai sokongan kepada inisiatif prihatin Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) kampus Johor Bahru pagi tadi.

Penyerahan sumbangan itu dilakukan sempena Lawatan Muhibah syarikat fasiliti perkapalan itu ke UTM.

Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Senat itu, sumbangan telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Port Berhad, Md Derick Basir kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail yang juga menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor.

Prof. Fauzi dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih kepada pihak Johor Port diatas keprihatinan syarikat itu yang membantu UTM secara berterusan khususnya dalam membantu pelajar universiti ini yang kurang berkemampuan dan amat memerlukan bantuan kewangan.

“Johor Port pada tahun 2013 telah menyumbang ke tabung Endowmen UTM sejumlah RM6 juta dengan sumbangan secara tetap sebanyak RM1 juta setahun selama enam tahun.

“Hibah pelaburan dari dana yang disumbangkan merupakan sebahagiaan dari dana yang berjumlah RM25 juta yang telah digunakan dari Tabung Endowmen UTM untuk membantu mahasiswa kurang berkemampuan (B40) yang amat memerlukan bantuan kewangan ini,” katanya lagi.

Prof. Fauzi berkata antara bantuan yang diberikan ialah pemberian biasiswa kepada 630 orang mahasiswa, pemberian bantuan kewangan secara ‘one-off’ kepada 250 pelajar, membiayai program makanan percuma kepada lebih 2,000 orang pelajar serta memberi sumbangan tetap sebanyak RM1,000.00 sebulan bagi penyediaan makanan kering di ‘Almari Kasih Sayang’.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengurus Besar Kewangan Johor Port Berhad, Syahrul Nazri Mohd Sai’on, Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin dan Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon.

Menurut Prof. Fauzi lagi, sumbangan yang diterima dari Johor Port oleh Endowmen UTM akan dilaburkan dalam simpanan tetap patuh syariah dan hasil pendapatan hibah pelaburan akan dimanfaatkan bagi membantu pelajar dalam meneruskan pengajian mereka di universiti ini.

Sebagai menghargai sumbangan yang diberikan oleh Johor Port Berhad, UTM juga telah membuat penjenamaan semula nama Tabung Endowmen kepada Tabung Endowmen Al-Bukhary di samping turut juga menamakan Pusat Teknologi Marin (MTC) miliknya sebagai UTM-Johor Port Marine Technology Centre bagi tempoh 10 tahun.

“UTM juga berterima kasih dan berbesar hati sekiranya pihak Johor Port Berhad dapat menggunakan segala peralatan dan kemudahan serta tenaga pakar di pusat ini untuk faedah semua,” katanya lagi.

Sementara itu Md Derick Basir dalam kenyataannya telah mengucapkan tahniah kepada UTM kerana berjaya mewujudkan Tabung Endowmen untuk membantu pelajarnya yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan kewangan.

“Pihak kami amat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian dari penyumbang dana Tabung Endowmen universiti ini.  Kami yakin dengan kewujudan tabung ini dapat memainkan peranan yang sangat penting dan signifikan dalam memberikan bantuan kepada perkembangan kepimpinan akademik dan memperkasakan pembangunanan bakat bagi institusi pengajian tinggi di seluruh negara,” katanya lagi.

Sesi lawatan delegasi Johor Port ke UTM Johor Bahru diakhiri dengan lawatan ke UTM-Johor Port Marine Technology Centre.

Dari kiri, Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr Yusof Boon, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md Derick Basir dan Pengurus Besar Kewangan Johor Port Berhad, Syahrul Nazri Mohd Sai’on ketika majlis penyampaian sumbangan ke Tabung Endowmen UTM pagi tadi.

Explore More