April 26, 2024

Search
Close this search box.

‘TEGUH KITA, MENANG BERSAMA’ MARTABATKAN PENYELIDIKAN NEGARA

Kredit Gambar : www.permohonan.my

Ulasan Belanjawan 2021 Oleh :

PROF DATUK TS DR AHMAD FAUZI BIN ISMAIL

Menjalankan Fungsi sebagai Naib Canselor UTM

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM

JOHOR BAHRU, 8 Nov — Dengan kenaikan 13.15% daripada peruntukan yang diterima sebelum ini, warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat menyokong serta menyambut baik belanjawan kali ini walaupun Negara sedang menghadapi isu besar Pendemik COVID-19 yang sedikit sebanyak dilihat memberi kesan kepada ekonomi negara.

Peruntukan RM14.4 bilion yang disalurkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2021 dengan tema Teguh Kita, Menang Bersama dilihat dapat memberikan impak yang besar kepada keseluruhan ekosistem penyelidikan negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang juga sedang Menjalankan Fungsi sebagai Naib Canselor berkata, merujuk kepada lapan inisiatif utama belanjawan yang telah dibentangkan terdapat beberapa inisiatif yang secara khususnya dapat mengalakkan serta memartabatkan penyelidikan dalam usaha membantu Universiti Awam untuk sentiasa cemerlang bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dikongsi bersama masyarakat luar dan dalam Malaysia.

Antara yang dilihat akan memberi impak besar ialah inisiatif bagi Sains, Terknologi dan Inovasi di mana Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM400 juta ringgit khusus bagi tujuan R&D.

Kerajaan juga dilihat amat menyokong usaha yang selama ini telah dihasilkan oleh 20 Universiti Awam tempatan dengan menyediakan inisiatif penggalakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D berasaskan bukan sumber dan ianya turut akan diperluaskan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi Swasta dalam usaha untuk memperkasakan lagi ekosistem Penyelidikan di Malaysia.

Beliau juga turut percaya dengan memperkasakan kolaborasi di antara kerajaan, komuniti, industri dan academia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi ekonomi negara melalui aktiviti perundingan, pengkomersilan, latihan professional disamping peningkatan dari segi jumlah penerbitan berimpak melalui dana yang diberi oleh kerajaan.

Ahmad Fauzi juga berkata, dasar Industry4WRD juga turut diberi penekanan oleh Kerajaan pada hari ini dengan memperuntukkan RM20 juta bagi program Malaysia Techlympics dan Science Space yang mana akan berfokus kepada bidang kecerdasan buatan atau AI dan robotic dalam kalangan belia dan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan yang mana ianya selaras dengan revolusi IR4.0.

Beliau juga berkata apa yang lebih menarik berkaitan belanjawan kali ini ialah perhatian Kerajaan terhadap kemudahan infrastruktur dan juga peralatan penyelidikan sedia ada yang rata-ratanya telah berada dalam keadaan usang dan memerlukan penyelenggaraan.

Oleh itu dengan adanya peruntukan RM50 juta bagi projek membaikpulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti awam ianya akan dapat membantu memperkasakan lagi kemudahan penyelidikan di Malaysia.

Ahmad Fauzi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia juga amat berterima kasih kepada Kerajaan atas belanjawan yang dibentangkan semalam memandangkan ianya turut mengambil kira keperluan semasa pelajar pada era Pendemik Covid-19.

Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Bin Ismail

UTM juga amat menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu graduan baharu dengan memperuntukkan dana sebanyak RM150 juta di bawah program KPT PACE di mana graduan baharu akan ditawarkan baucar RM3,000 seorang untuk mengambil kursus sijil professional.

Ini dilihat dapat membantu graduan yang masih menganggur untuk mengikuti kursus ini bagi mempertingkatkan kemahiran diri.

Peruntukan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit- i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba dengan kadar keuntungan hanya serendah 2% setahun juga dapat membantu pelajar untuk membeli keperluan yang mana umum mengetahui penggunaan komputer riba merupakan keperluan utama pelajar pada era COVID-19 ini.

Peruntukan RM50 juta yang turut diberikan oleh Kerajaan melalui MYREN dari 500Mbps kepada 10Gbps juga dilihat dapat membantu pelajar dalam mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Secara kesimpulannya warga UTM, amat menyokong Belanjawan yang telah dibentangkan yang mana ianya bertepatan dengan usaha UTM menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2024 (Pendidikan Tinggi) – PPPM (PT) 2015 -2024 dan selari dengan matlamat Blueprint R&I 2025 UTM di mana sasaran utama UTM pada 2021 adalah untuk mencapai 6 ‘Grand Vision’ R&I iaitu:

  1. Mewujudkan Kumpulan Pakar dan Dana bagi pelaksanaan Signature Research Area.
  2. Merealisasikan Ekosistem Kondusif Innovasi dan Entrepreneurial dengan memperkasakan peranan Taman Teknologi (Tech Park) yang mampan dan berdaya saing.
  3. Memperkasakan platform networking atau kerjasama yang dikenali sebagai AIMS4STAR antara akademia, badan kerajaan, industri dan komuniti bersama bagi melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi kepada industri dan masyarakat.
  4. Merancang, mengaktifkan serta memperkasakan kewujudan makmal satelit di UTM.
  5. Mengenalpasti dan melaksanakan program mentorship bagi mengalakkan penubuhan pusat penyelidikan (HiCoE) yang berteraskan transdisiplin serta
  6. Mewujudkan sekaligus memperkasakan Schorlarly Research Excellence bagi semua aktiviti penyelidikan dan inovasi serta menerapkan nilai-nilai murni, integrity dan beretika di dalam budaya kerja.

“Oleh itu, dengan pelbagai inisiatif yang telah dikemukakan oleh Kerajaan bagi membantu dalam konteks Penyelidikan, pastinya akan melahirkan warga penyelidik yang akan sentiasa memberikan kerjasama yang jitu kepada Kementerian untuk merancakkan lagi pelan penyelidikan negara yang lebih transformatif dan bermanfaat serta selaras dengan keperluan negara.

Untuk ini apa yang telah dibentangkan oleh Kerajaan haruslah diberi pujian,” katanya.

Explore More