Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

Prof. Emeritus Dr. Ismail Kailani Kongsi Suka Duka Dunia Pendidikan di UTM

SIRI KULIAH PROFESOR EMERITUS FSSH oleh Prof. Emeritus Dr. Ismail Kailani

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah mengadakan satu siri kuliah Profesor Emeritus FSSH pada 23 Ogos 2020 dengan sebuah perkongsian yang telah disampaikan oleh Prof. Emeritus Dr Ismail Kailani.

Beliau telah menyampaikan sesi perkongsian dengan tajuk yang sangat menarik iaitu “Pendidikan Dulu, Kini dan Kesinambungannya”.

Perkongsian yang penuh ilmiah dan bermakna ini telah disampaikan menerusi Webex dan Facebook secara langsung dengan tontonan mencecah 1.3k tontonan.

Moderator bagi program ini ialah Pengerusi Sekolah Pendidikan, Prof. Dr. Fatin Aliah Phang dan ucapan aluan daripada Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Ts. Dr. Zaidatun Tasir.

Program ini telah dijalankan secara langsung di Bilik Seminar, Sekolah Pendidikan, FSSH dengan mematuhi SOP (Standard Operating Procedure) kerana masih lagi dalam Pandemik COVID-19.

Turut hadir bersama di dalam Bilik Seminar adalah Dekan, Pengerusi Sekolah Pendidikan, Timbalan Dekan Akademik, Prof Madya Dr Azlina Kosnin, Pengarah Jabatan, Dr Megat Aman Zahiri Megat Zakaria dan Prof Madya Dr Yusri Karmin, dan Bekas Dekan Fakulti Pendidikan Prof Dr Muhammad Sukri Saud serta pengendali program Dr Noorzana Khamis dibantu oleh En Mohd Fakhrulradzi Bin Baharuddin dan En Aziz Yakob.

Warga FSSH sangat bertuah kerana Prof Emeritus Dr Ismail Kailani ialah bekas Dekan Fakulti Pendidikan yang ketiga selepas Dr Ramli Salleh dan Dr Abu Bakar Hashim. Beliau telah berkongsi dengan penonton tentang sejarah wujudnya Fakulti Pendidikan (yang kini Sekolah Pendidikan) di UTM.

Menurut Prof Emeritus Dr Ismail Kailani, pada awalnya UTM adalah sebuah pusat latihan guru-guru bagi program sains tulen. Setelah beberapa tahun penubuhan sebagai Sekolah Teknik Treacher, akhirnya menjadi sebuah kolej dan maktab teknik.

Pada tahun 1971, UTM menjadi Institut Teknologi bertaraf universiti yang mana telah dirasmikan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong pada ketika itu dengan tarikh keramat 14 Mac 1972.

UTM bermula dengan 5 bidang diploma iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Elektrik, Mekanikal, Alam Bina dan Ukur dan pada tahun 1994, Fakulti Pendidikan telah ditubuhkan dengan 5 program iaitu Pendidikan Matematik, Fizik, Kimia, Pengajian Islam dan Bahasa Inggeris.

Program pendidikan pascasiswazah juga turut mula ditawarkan. Sehingga kini telah banyak program-program dan kursus di UTM menawarkan pelbagai program merangkumi asasi, diploma, ijazah, sarjana dan kedoktoran.

Kewujudan fakulti juga telah bercambah daripada 3 fakulti pada tahun 1972 kepada 17 fakulti sehingga tahun 2018 sebelum menjadi 5 fakulti pada tahun 2019 selepas berlakunya sinergi fakulti-fakulti di UTM.

Sebelum menamatkan sesi kuliah, beliau sempat berpesan agar para pensyarah dan penyelidik terus melakukan kajian-kajian pendidikan yang menerobos ke semua tempat sama ada di universiti, politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan kolej vokasional tempatan dan luar negara.

Beliau turut memberikan ucapan dan semangat kepada warga FSSH agar terus memberikan kualiti yang setaraf dengan antarabangsa dan mengekalkan kedudukan ranking pertama dalam pendidikan di Malaysia. Perkongsian yang disampaikan oleh beliau sangat memberikan inspirasi khasnya kepada warga FSSH dan umumnya kepada warga UTM.

Untuk menonton siaran ulangan, boleh layari https://www.facebook.com/humanities.utm/videos/640263746873822

Disediakan oleh Dr Noorzana Khamis dan Dr Chuzairy Hanri dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

Explore More