April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pelbagai perbincangan dan keluhan sering kita dengar tentang peluang pekerjaan dalam kalangan graduan di Malaysia.

Perkara ini dilihat serius sehingga ianya menjadi sesuatu yang digeruni dalam kalangan mahasiswa kita hari ini apabila mereka untuk mendapatkan pekerjaan akan datang.

Sehubungan itu, sebagai usaha persiapan yang lebih awal dalam membantu pelajar mereka, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS),  Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah memberi pendedahan kepada pelajar Tahun 1 dengan mengadakan sesi bersama industri.

Sesi pertama yang telah diadakan pada 19 November 2020 merupakan ceramah daripada pengasas Intelek Staffing Services Sdn Bhd iaitu Puan Prema Ponnusamy.

Sesi ceramah yang telah diadakan secara dalam talian ini telah dihadiri oleh seramai 260 orang pelajar Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia dan Sarjana Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia.

Ceramah yang bertajuk “How Do Companies Recruit?” telah berjaya memberi pendedahan kepada pelajar tentang fungsi pengambilan dan pemilihan pekerja.

Selain itu, pelajar juga telah didedahkan dengan faktor utama dalam pemilihan pekerja.

Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang pengurusan sumber manusia dan kepimpinan korporat, Puan Prema telah menasihatkan para pelajar untuk sentiasa menyiapkan diri dengan maklumat terkini, proaktif dan mempunyai tingkahlaku yang sesuai yang dapat menyokong organisasi dalam mencapai objektifnya.

Melalui usaha pensyarah kursus Pengenalan Pengurusan Sumber Manusia iaitu Dr Azlineer Sarip dan Dr Irza Hanie Abu Samah, sesi bersama industri ini akan diteruskan dengan beberapa lagi siri pada masa akan datang bersama wakil PETRONAS, Schlumberger, IKEA dan Shell.

Explore More