April 20, 2024

Search
Close this search box.

KPT Salur Bantuan Kewangan dan Pelan Data Kepada Pelajar Baharu Sesi Akademik 2020/21

JOHOR BAHRU, 11 Nov. — Impak pandemik COVID-19 telah meningkatkan bilangan golongan B40 di negara apabila ada yang kehilangan pekerjaan dan mengalami susut sumber pendapatan.

Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa peka dan memahami kegawatan kewangan terutama yang dihadapi oleh pelajar dari keluarga golongan B40.

Menurut beliau, sektor pengajian tinggi adalah antara sektor yang paling terkesan di mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian bagi menggantikan kaedah bersemuka yang lazimnya diamalkan sebelum ini.

“Justeru menyedari akan kepentingan dan keperluan kaedah PdP normal baharu yang menekankan aspek pengkomputeran awan atau cloud computing, KPT terpanggil untuk menyantuni para pelajar IPT dengan menawarkan pelbagai bantuan dan inisiatif yang mampu memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta seimbang dengan pendekatan PdP secara dalam talian.

Dalam usaha meringankan beban pelajar untuk menanggung kos bagi mengikuti PdP secara dalam talian, KPT
menawarkan Pemberian Bantuan Tunai Sebanyak RM50 secara one off kepada semua Pelajar Baharu Sesi 2020/2021 yang keseluruhannya bernilai RM3.8 juta.

Melalui bantuan tunai ini, seramai 76,153 orang pelajar bakal menikmati faedah dan diharap dapat membantu mereka mengikuti PdP secara dalam talian mengikut jadual kuliah yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan universiti masing-masing,” kata beliau.

Menurut beliau, Kementerian turut meneruskan kesinambungan terhadap Bantuan Pelan Data yang sehingga kini telah melibatkan seramai 320,396 orang pelajar kategori B40.

“Melalui bantuan Pelan Data tersebut, sebanyak 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dan dianggarkan peruntukan sebanyak RM24 juta disediakan bagi tujuan penyaluran inisiatif Bantuan Pelan Data tersebut.

Kerajaan dan KPT sangat prihatin dengan impak pandemik COVID19 yang dihadapi oleh masyarakat khususnya pelajar di IPT.

Justeru besarlah hasrat Kementerian agar bantuan dan inisiatif yang ditawarkan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar dalam situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 ini dan dimanfaatkan sebaiknya,” tambah beliau lagi.

YB Datuk Seri Dr Noraini berucap semasa merasmikan Majlis Pelancaran Pakej Pelan Data & Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada 30 Oktober lalu.

Dalam majlis tersebut juga beliau turut melancarkan satu inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa melalui kerjasama dengan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Prof. Dr. Durrishah binti Idrus Photo credit : Bernama

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia(UTM), Prof. Dr. Durrishah binti Idrus ketika dihubungi berkata, sumbangan tersebut amat bermakna kepada pelajar-pelajar IPT khususnya pelajar UTM yang sebilangan pelajar adalah terdiri daripada golongan B40.

“Pada saat getir Covid-19 yang kembali meruncing serta pelaksanaan pDp secara dalam talian, bantuan ini boleh membantu pelajar mendapat akses lebih kepada data untuk kegunaan pembelajaran tanpa memerlukan pelajar mengeluarkan kos sendiri.

Kita faham kemampuan sesetengah pelajar yang mempunyai kekangan kewangan serta berada di luar liputan untuk akses kepada internet.

Oleh itu sumbangan ini akan dapat membantu pelajar untuk menghadiri kelas dalam talian dan lain-lain aktiviti pembelajaran tanpa gangguan,” kata beliau.

Menurut beliau, seramai 2,964 orang pelajar Sarjana Muda bakal menikmati bantuan tersebut yang akan disalurkan bermula 17 November 2020 secara berperingkat.

“UTM menyambut baik sumbangan dari KPT dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan.

Bagi pihak pengurusan universiti, saya amat berharap pelajar-pelajar kita akan memanfaatkan sumbangan ini  sebaiknya untuk kegunaan pembelajaran,”akhiri beliau.

Explore More