April 25, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: Ana Haziqah A Rashid, Shah Rollah Abdul Wahab dan Najua Syuhada Ahmad Alhassora

Biarpun pandemik Covid-19 menyekat kehadiran secara bersemuka, Jawatankuasa Pembangunan dan Kecemerlangan Pelajar (JKPKP), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa cakna akan keperluan mahasiswa dengan menganjurkan program-program kepada pelajar.

Kluster First Year Experience (FYE) dan Graduate Employability (GE) di bawah JKPKP, FSSK, telah menganjurkan program “Haluan Kerjaya: Apa Perancangan Seterusnya?” di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, (SHARPS) pada 17 November 2020.

Program ini dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Webex dan Facebook Live. Program ini telah berjaya mendapat penyertaan seramai 214 orang pelajar daripada pelbagai tahun pengajian dalam program SHAR/SHMR (Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia)) dan SHAY/SHMY (Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia) di SHARPS.

Program ini berlangsung selama hampir dua jam dan dipengerusikan oleh Dr. Noraini Rusbadrol.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai haluan kerjaya yang boleh diceburi dalam bidang pembangunan sumber manusia dan psikologi.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu para pelajar merancang dan membangunkan haluan kerja mereka setelah tamat pengajian di SHARPS dan bergelar graduan UTM.

Dua penceramah yang merupakan alumni SHARPS telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tersebut.

Program ini dimulakan dengan slot pertama, yang disampaikan oleh En Syahrul Nizam bin Hj Abdul Rahman, Penolong Pengarah Kanan di Unit Hal Ehwal Pelajar, Institut Kraf Negara yang merupakan graduan kumpulan pertama bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia), ambilan pada tahun 1997.

Slot kedua pula disampaikan oleh En Mohamad Kamis bin Baharudin, Penolong Pengarah Tenaga Kerja di Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia pada tahun 2015.

Penceramah berkongsi pengalaman berkenaan perjalanan kerjaya mereka sebaik sahaja bergraduan sehingga menjawat jawatan yang terkini. Perkongsian tersebut merangkumi cabaran-cabaran yang dihadapi ketika membina kerjaya serta panduan untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi.

Perkongsian ini juga secara tidak langsung memberikan gambaran awal kepada para pelajar tentang perjalanan kerjaya mereka selepas menamatkan pengajian di SHARPS, FSSK, UTM.

Medium seperti video dan gambar telah digunakan oleh kedua-dua penceramah untuk menunjukkan situasi sebenar dunia pekerjaan berkaitan bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi.

Melalui perkongsian pengalaman ini, pelbagai manfaat telah diperolehi pelajar terutamanya tentang kepentingan penguasaan kemahiran generik yang bersesuaian dalam dunia pekerjaan yang sebenar.

Sebelum program berakhir, Dr. Ana Haziqah A. Rashid selaku penyelaras FYE, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi telah menyampaikan satu taklimat ringkas kepada semua pelajar pra-siswazah tahun pertama SHARPS.

Taklimat ringkas ini menjelaskan kepada para pelajar tentang peluang untuk menguasai kemahiran seperti kemahiran belajar dan attibut graduan yang disediakan oleh pihak UTM melalui platform UTM e-learning.

Secara keseluruhannya, peserta program memberikan maklum balas yang positif dan terlibat secara aktif dalam sesi soal jawab.

Poster Program

 

Dr Noraini Rusbadrol

 

En Mohamad Kamis bin Baharudin, Penolong Pengarah Tenaga Kerja di Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor

En Syahrul Nizam bin Hj Abdul Rahman, Penolong Pengarah Kanan di Unit Hal Ehwal Pelajar, Institut Kraf Negara

 

Explore More