April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pada 13 hingga 22 Oktober 2020, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2019/2020 telah menganjurkan Kem Pembentukan JKM sesi 2020/2021, juga dipanggil sebagai Virtual Camp (VCamp).

Kem Pembentukan ini merupakan kem tahunan bagi JKM KTDI, yang dijalankan di sekitar kampus UTM.

Buat pertama kalinya, Kem Pembentukan JKM sesi 2020/2021 ini dilaksanakan secara maya, dalam talian menggunakan aplikasi persidangan video Google Meet bagi menyantuni norma baharu akibat penularan wabak COVID-19.

Kem ini disertai oleh 35 calon ahli jawatankuasa bagi sesi 2020/2021 untuk memberi pendedahan teras dan ilmu mengatur dan mengendali program kepada mereka dan seterusnya pemilihan dan pelantikan rasmi ahli JKM KTDI bagi sesi 2020/2021 oleh barisan Majlis Felow Kolej Tun Dr.Ismail.

Kem Pembentukan secara atas talian bersama peserta kem, kru dan penasihat kem.

Kem Pembentukan bermula pada 13 Oktober pada pukul 9.00 malam, dengan ucapan perasmian oleh felo dan penasihat felo bagi kem.

Kemudian diteruskan dengan sesi perkongsian bersama kru kem yang merupakan ahli JKM KTDI sesi 2019/2020 dan diakhiri dengan taklimat mengenai aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) secara maya yang bakal dijalankan.

Terdapat 4 aktiviti yang dijalankan iaitu:

  • LDK 1: Poster dan video kreatif berkumpulan
  • LDK 2: Penulisan Surat Rasmi
  • LDK 3: Proposal Program
  • Majlis Penutup secara Maya

Poster peserta kumpulan 8

Bagi LDK 1, peserta perlu membuat poster dan video kreatif pengenalan berkumpulan yang merangkumi pengenalan ahli, cogan kata dan juga cheers kumpulan. Wakil kumpulan kemudian perlu memuat naik poster dan video kumpulan mereka ke dalam Google Drive pada 14 Oktober bagi sesi penilaian oleh panel felo dan penasihat felo kem.

Seterusnya diikuti dengan aktiviti penulisan surat rasmi di slot LDK 2, dimana peserta perlu mengarang contoh surat rasmi yang biasa digunakan di dalam sesebuah program dan memuat naik dokumen pada 15 Oktober.

Aktiviti ini dijalankan bagi memperkenalkan dan memberi pendedahan awal cara penulisan surat rasmi bagi menganjur sesebuah program.

Bagi LDK 3, peserta diberikan masa 4 hari untuk berbincang dan merancang bersama ahli kumpulan proposal program kumpulan mereka. Pada 20 Oktober, setiap kumpulan perlu membuat pembentangan proposal program kumpulan masing-masing dihadapan panel felo dan penasihat felo kem dan juga kru kem.

Proposal program ini merupakan cadangan aktiviti yang mereka ingin menganjurkan sekiranya mereka dilantik sebagai ahli JKM KTDI sesi 2020/2021.

Backdrop Majlis Penutup Kem Pembentukan yang dihasilkan peserta kem.

Akhir sekali, penganjuran majlis penutup secara maya bagi kem pembentukan dijalankan pada 22 Oktober oleh peserta kem.

Semua peserta kem bekerjasama sebagai satu pasukan menganjurkan majlis penutupan kem menggunakan aplikasi persidangan Google Meet.

Aktiviti ini bertujuan menguji sifat kepimpinan dan kerjasama berpasukan mengendali sesebuah program.

Kesimpulannya, kem ini berjalan dengan lancar walaupun tidak dapat dijalankan bersemuka secara fizikal.

Kem diharapkan dapat mensiap siagakan ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail sesi 2020/2021 untuk menjalankan tugas dan program-program bagi sesi 2020/2021, dan juga mengeratkan silaturrahim dalam kalangan mereka agar lebih utuh dan bersemangat tinggi dalam menempuhi segala cabaran.

Selain itu, diharapkan kem ini dapat menggalakkan mereka berjasa dan cinta akan kolej.

Explore More