Kumpulan Penyelidikan Research Group of Urban Design and Environmental (UDE), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM telah menerima geran industri bernilai RM20,040 daripada pihak Infinity FM Sdn. Bhd. bagi menjalankan kajian penyediaan strategi perancangan dan pembangunan konsep Smart City untuk pihak Forest City, Johor.

Satu majlis ringkas penyerahan surat pelantikan (LoA) telah diadakan di pejabat Infinity FM Sdn. Bhd, Sunway Iskandar, Iskandar Puteri pada 13 Oktober 2020. Penyerahan dokumen tersebut telah disampaikan oleh Encik Zul Azhan Abu Bakar, Pengarah Teknikal bersama En. Ahmad Farid Mat Misiah selaku Pengurus Projek kepada Dr. Noor Aimran Samsudin yang dilantik sebagai Ketua Penyelidik. 

Sebelum itu, Encik Mohd. Farizal Rashid, Pegawai Penyelidik Research Management Centre (RMC) UTM telah menyampaikan taklimat insentif pengurangan cukai kepada pihak industri.

Kerjasama antara industri-universiti seperti yang diusahakan oleh Infinity FM Sdn. Bhd. amatlah dialu-alukan oleh pihak RG baharu Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM tersebut.

Pihak industri sentiasa dialu-alukan untuk berkolaborasi mendapatkan perkhidmatan kepakaran universiti penyelidikan tempatan serta inovasi baharu oleh penyelidik dari pelbagai kumpulan dan pusat penyelidikan yang terdapat di UTM dengan menaja lebih banyak geran penyelidikan pada masa hadapan khususnya melalui Geran Penyelidikan Kontrak DTD.

Objektif geran tersebut adalah menggalakkan lebih ramai industri untuk berkolaborasi dengan kumpulan penyelidikan dari UTM.

Melalui usaha tersebut, para penyelidik UTM turut berpeluang untuk memohon insentif geran tambahan melalui Industry/ International Incentive Grant (IIIG). Hasil kajian para penyelidik UTM berpotensi untuk diadaptasi oleh pemain industri dan pemegang taruh secara langsung melalui kerjasama strategik tersebut. 

RG UDE yang dianggotai oleh pensyarah FABU telah ditubuhkan secara rasmi pada 21 September 2020 menawarkan kepakaran penyelidikan berkaitan reka bentuk bandar, sains petempatan, pengurusan bandar warisan dan alam sekitar. 

Sumber : Dr. Noor Aimran Samsudin, Ketua Research Group of Urban Design and Environmental (UDE), Fakulti Alam Bina dan Ukur.